Categories
SELANGOR

SSIC berwajah baru, berjaya pacu pelaburan Selangor

Oleh: NAEEM RAFFI

SEPANG, 19 NOV: Pusat Pelaburan Selangor (SSIC) selaku agensi pemudah cara dalam urusan berkaitan pelaburan negeri bakal dijenamakan dalam usaha memacu pelaburan.

Exco Pelaburan, Datuk Teng Chang Kim berkata, prestasi pelaburan Selangor bermula tahun 2000 hingga 2014 terus cemerlang dengan mencatatkan nilai pelaburan tertinggi RM117.75 bilion daripada 4,173 projek perkilangan iaitu 19 peratus daripada semua pelaburan yang diluluskan seluruh negara.

Katanya, RM60.45 bilion adalah daripada pelaburan tempatan dan RM57.30 bilion membabitkan pelaburan asing sepanjang tempoh 14 tahun itu, manakala 328,168 potensi peluang pekerjaan diwujudkan.

Lawatan Bersama SSIC (13) (1)“Selepas ini, SSIC diberi imej baru dan usaha itu masih diperingkat perancangan, apabila mendapat kelulusan ia akan diumumkan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dalam masa terdekat.

“Kita sedar, cabaran hari ini lebih besar untuk terus meningkatkan prestasi pelaburan. Sebab itu, kita mulakan dengan memberi wajah baru kepada SSIC,” katanya.

SSIC Berhad adalah salah sebuah anak syarikat Kerajaan Negeri yang beroperasi sejak 1999 dan berperanan mempromosikan Selangor sebagai destinasi pelaburan terbaik di Malaysia dan rantau Asia.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam bersama media sempena program ‘Media Selangor Discovery’ anjuran Selangor State Invesment Centre (SSIC) di Avani Sepang Goldcoast, di sini, semalam.

Lawatan Bersama SSIC (17)Hadir sama, Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Azlan Md Alifiah; Ketua Pegawai Eksekutif SSIC Berhad, Hasan Azhari Idris dan Timbalan Presiden Eksekutif Sepang Goldcoast Sdn Bhd, MC Wong.

Media Selangor Discovery adalah program khas SSIC bersama wakil media melawat kawasan perindutrian di Selangor.

Melalui program sehari itu, media dibawa meninjau perkembangan terkini kawasan perindustrian di Selangor Halal Hub dan Port Klang Free Zone di Pulau Indah, selain Selangor Science Park 2 dan Cyberjaya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Selangor laksanakan kajian kenal pasti keperluan pihak industri

Oleh: Lizawati Madfa

SHAH ALAM 19 APRIL : Kerajaan Negeri menjalankan kajian khusus bagi mengenal pasti keperluan dan permintaan warga industri di Selangor.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Kampung Baharu dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata, kajian dijalankan Selangor State Investment Centre Berhad (SSIC) dengan kerjasama Monash University Malaysia.

ssicdownloadKatanya, dengan adanya kajian itu, Kerajaan Negeri berupaya memahami isu dan kekangan warga industri di Selangor secara lebih mendalam.

“Kita memberi kebenaran kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) menggunakan sebahagian peruntukan MARRIS bagi menyelesaikan masalah jalan dan longkang di kawasan industri.

“PBT boleh mengemukakan permohonan kepada MIDA setiap tahun untuk mendapatkan peruntukan khas menaik taraf infrastruktur di kawasan industri,” katanya sewaktu penggulungan usul Penyata JP-ABAS berkenaan SSIC.

Terdahulu, perbahasan usul berkenaan disertai Yeo Bee Yin (DAP-Damansara Utama), Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku) dan Ng Sze Han (DAP-Kinrara).

Dalam penggulungannya, Ean Yong juga menyatakan persetujuan untuk mengadakan satu pelan tindakan (blueprint) bagi menentukan arah pembangunan industri di Selangor.

“Ini adalah masa sesuai supaya SSIC boleh menggunakan sumber yang terhad dengan lebih berkesan dan fokus dalam usaha mempromosikan Selangor sebagai destinasi pelaburan,” katanya lagi.

SSIC merupakan sebuah agensi Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab menarik dan memberi perkhidmatan kepada pelabur-pelabur di negeri ini.

EZY

Categories
SELANGOR

Warga Shah Alam Bayar Cukai Melalui ‘MyMobile’

MB MY Mobile 01

SHAH ALAM, 15 APRIL : Bagi memudahkan pembayaran cukai taksiran, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melancarkan aplikasi ‘MyMobile’ yang menggunakan telefon mudah alih tanpa perlu ke kaunter.

Melalui aplikasi ini, pemilik harta khususnya di Shah Alam hanya perlu mendaftar di portal institusi kewangan, CIMB Bank Berhad di www.cimbclicks.com.my.

Majlis pelancaran itu dirasmikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sambil diiringi Datuk Bandar MBSA, Datuk Mohd Jaafar Atan di Dewan Jubli Perak sempena Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan.

“Sistem bayaran melalui sistem pesanan ringkas (SMS) yg digabungkan dengan CIMB di mana pengguna boleh mengakses kepada pembayaran kewangan CIMB yang dibuat melalui telefon.

“Pemilik harta yang mempunyai akaun CIMB boleh menggunakan aplikasi tersebut untuk menyelesaikan bayaran cukai taksiran kepada pihak MBSA,” kata Abdul Khalid dalam sidang media.

Dalam majlis sama, Abdul Khalid turut melancarkan ‘Shah Alam City Council Industrial Directory 2013’ berkaitan sektor perkilangan yang diterbitkan dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Pusat Pelaburan Negeri Selangor (SSIC).

Menurut Abdul Khalid, penerbitan buku ini bertujuan sebagai rujukan kepada bakal pelabur dan pelabur sedia ada untuk mendapatkan maklumat mengenai kilang yang beroperasi di Shah Alam.

Katanya, direktori ini juga boleh dijadikan panduan dan rujukan untuk memulakan pelaburan di bandaraya Shah Alam.

“Hampir 7,000 pelabur direkodkan dan dimasukkan tempat operasi mereka seterusnya dibukukan supaya ia menjadi punca maklumat kepada mana-mana pihak yang ingin membuat hubungan dengan pengilang tersebut.

“Direktori ini sangat berguna dan menjadi bahan untuk kita mengiklankan kepada pelabur dalam dan luar negara tentang pelaburan yang sudah berlaku dan beberapa kawasan yang boleh mereka tumpukan sebagai alat kluster dalam industri,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

Toyota, Microsoft, Western Digital Antara Syarikat Besar Sertai SITEX Selangor

rodziah exco pc grey 01

SHAH ALAM 20 MAC : Beberapa syarikat besar seperti Toyota, Microsoft, Western Digital dan juga beberapa organisasi seperti SIRIM Bhd dan Majlis Reka Bentuk Malaysia akan menyertai pameran Sains Inovasi dan Teknologi (SITEX Selangor 2013) yang akan berlangsung pada 4 hingga 6 April 2013 ini.

Pameran perdagangan anjuran Kerajaan Negeri ini diadakan untuk menyediakan satu landasan terbaik kepada penyelidik, usahawan dan syarikat untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan terbaru kepada pembeli dan pelabur yang berpotensi.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata, pameran ini bertujuan bagi menjadi saluran untuk pemasaran, rangkaian, perangsang hubungan perniagaan di antara usahawan tempatan dan luar negara yang berasaskan produk berteknologi.

“Bersama-sama dengan itu juga, penyelidik, usahawan dan syarikat yang menyertai pameran ini juga boleh memberi penerangan tentang produk dan perkhidmatan mereka di atas pentas nanti untuk pelawat-pelawat yang datang,” katanya dalam satu sidang media di Bangunan SUK hari ini.

SITEX Selangor 2013 yang dianjurkan anak syarikat Kerajaan Negeri, Selangor State Investment Council (SSIC), turut menyediakan landasan kepada para pelajar sekolah menengah dan universiti untuk terlibat di dalam sains, teknologi dan inovasi.

“Pelajar-pelajar universiti yang terpilih di dalam pertandingan reka bentuk seni bina akan mempersembahkan rekaan mereka semasa pameran itu nanti,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

Orang Ramai Dijemput Ke Ekspo Kesihatan Dan Kecantikan Selangor Bulan Depan

SHAH ALAM, 25 OKT : Sebanyak 132 gerai daripada 80 syarikat dalam dan luar negara akan terlibat dalam Ekspo Kesihatan Dan Kecantikan 2012 pada 9 – 11 November ini yang akan diadakan di Shah Alam Convention Centre (SACC) di sini.

Ekspo itu dianjurkan oleh Multi Mutual Resources dengan sokongan penuh daripada Selangor State Investment Center (SSIC) dan Selangor Times.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok berkata, ekspo diharap dapat merancakkan industri kecantikan dan kesihatan dan meningkatkan pelaburan dalam negara.

“Semasa saya dan pihak SSIC mengadakan lawatan ke Australia, ramai pelabur khususnya industri bio-farmasutikal yang menyatakan hasrat untuk datang melabur ke Selangor,” kata Teresa semasa sidang media di SACC di sini.

Katanya, permintaan terhadap produk-produk farmasautikal dan kesihatan semakin meningkat daripada pengguna yang pastinya mampu merancakkan lagi industri itu.

“Kerajaan Negeri dan SSIC mengalu-alukan pelaburan ke Selangor untuk meningkatkan peluang pekerjaan dan potensi perniagaan kepada penduduk dan graduan yang mencari pekerjaan,” katanya.

Pameran amalan dan gaya hidup sihat turut diadakan bagi orang awam.

Antara acara yang akan diadakan adalah peperiksaan jantung dan mata secara percuma, kempen menderma darah, ceramah kesihatan dari doktor terkenal, demo kecantikan dan pertandingan mewarna.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dijadualkan akan merasmikan ekspo itu pada 10 November.

Orang ramai dijemput untuk hadir dan masuk adalah percuma dengan setiap 500 pelawat akan diberikan bag cenderhati setiap hari.

Untuk keterangan lanjut boleh layari laman sesawang www.mmr.my atau hubungi 03-89577533.