Categories
SELANGOR

100 HARI: Pentadbiran baharu rai Adun Pembangkang

Oleh:  LIZAWATI MADFA

BAGI Adun Kota Damansara dari BN, Halimaton Saadiah Bohan, pentadbiran Kerajaan Negeri kini sanggup menjemput pembangkang Selangor untuk turut sama dalam program.

“Kalau dibandingkan memang dulu setahu saya tiada jemputan untuk turut hadir ke program Menteri Besar.

“Namun kini, keadaan itu sedikit berbeza apabila kami dijemput bersama-sama memeriahkan seperti dalam program turun padang dan terjah.

halimaton“Ini beri peluang kepada kami untuk sama-sama terlibat dalam memperjuang kepentingan rakyat. Langkah itu lebih mesra pembangkang berbanding dahulu,” kata wakil rakyat Umno itu.

Halimaton mengakui penampilan dan ketokohan Mohamed Azmin pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) baru-baru ini lebih menyakinkan.

“Ada perbezaanya apabila Mohamed Azmin boleh menjawab soalan dan tangani isu diaju dengan berkeyakinan. Tetapi, kita perlu lihat bagaimana pula pelaksanaannya kelak.

“Kerana akhirnya orang tidak mahu mendengar kata-kata sahaja, tetapi tindakan yang membawa kepada manfaat keseluruhannya,” katanya.

Adun Permatang, Sulaiman Abdul Razak turut memuji usaha terjah dan turun padang yang dipraktik Mohamed Azmin dalam mendekati dan menyelesaikan isu rakyat.

sulaiman abdul razak“Kita alu-alukan strategi yang membolehkan beliau selaku pemimpin tertinggi negeri turun, terjah dan teliti sendiri kehidupan rakyat.

“Usaha seperti itu membolehkan agensi terbabit bekerja dengan lebih tekun dan efektif menangani isu berbangkit.

“Bagaimanapun, program turun padang dan terjah perlu diperluas lagi ke banyak lapangan dan kawasan lain,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengakui kemurahan hati Mohamed Azmin memberi peruntukan sehingga RM200,000 kepada Adun pembangkang walaupun timbul isu ‘keikhlasan’ berhubung hal itu.

Mengenepi soal keikhlasan yang dianggap sukar dinilai dan ditafsir, Sulaiman berkata sekurang-kurangnya usaha berkenaan suatu permulaan baik kepada kematangan pentadbiran negeri.

Sebelum ini, wakil rakyat pembangkang tidak pernah diberi peruntukan Belanjawan negeri.

Sidang DUN 24.11.2014 (2)“Begitu juga dengan peluang diberi kepada wakil rakyat daripada pembangkang untuk dimuat di akhbar rasmi Selangor Kini.

“Dahulu, tidak ada peluang sedemikian sedangkan dana disalur menggunakan duit rakyat yang pelbagai aliran dan fahaman politik.

“Saya harap ia berkekalan, malah turut memberi laporan seimbang dan bukan sekadar laporan  semata-mata tetapi juga kritikan dan teguran kepada pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Ini bukan sesuatu yang bermotif politik tetapi ketelusan maklumat dan kebebasan media sepertimana diperuntuk enakmen negeri,” katanya.

Mohamed Azmin sebelum menyatakan kesungguhannya untuk mengangkat tradisi Bugis ‘amaradekangeng’ sebagai ilham untuk merai pembangkang dalam pentadbiran kerajaan Selangor.

Leave a Reply

Your email address will not be published.