Categories
NASIONAL

Banjir makin buruk, 100 pelancong terperangkap di Taman Negara Pahang

SHAH ALAM, 24 DIS: Lebih 100 pelancong dari luar negara dan tempatan terperangkap di Mutiara Taman Negara Resort selepas Sungai Tembeling di Kuala Tahan, Jerantut, melepasi paras bahaya 76.56 meter (paras bahaya 68.00 meter).

Difahamkan paras itu yang tertinggi pernah dicatat selepas banjir besar pada 1971.

Keadaan itu juga menyebabkan arus deras dan jeti pelancongan Kuala Tahan terpaksa ditutup sehingga menyukarkan perkhidmatan bot untuk membawa keluar pelancong yang dijadual pulang pada hari ini.

banjirMemetik Bernama, seorang kakitangan resort berkenaan yang enggan dikenali, berkata semua pelancong asing itu datang dari tujuh negara termasuk Kanada, Jerman, Perancis dan Belanda selain pelancong tempatan.

Beliau berkata, pelancong terbabit seharusnya pulang semalam, namun disebabkan hujan lebat dan air sungai naik mendadak mengakibatkan hubungan terputus serta bekalan makanan habis.

“Namun, kami tetap memastikan semua pelancong berkenaan berada dalam keadaan selamat,” katanya.

Kataya, mesyuarat khas diadakan petang ini dengan pihak yang berkaitan termasuk polis dan Pejabat Daerah Jerantut, untuk membincangkan langkah yang perlu sementara operasi untuk mengeluarkan semua pelancong terlibat dilakukan.

Kuantan Banjir-1Sementara itu, di Kuantan, lebih 5,000 penduduk di Sungai Lembing terperangkap selepas tiga jalan utama yang menghubungkan kawasan pelancongan itu dengan bandar Kuantan ditenggelami air sehingga 1.5 meter pada jarak 200 hingga 400 meter sejak tengah hari kelmarin.

Ketua Balai Polis Sungai Lembing, Sarjan Mejar Arshad Yacob berkata, tiga jalan terlibat adalah Jalan Sungai Lembing-Kuantan (Simpang Tiga Panching), KM31 Jalan Sungai Lembing-Kuantan dan Jalan Kampung Nadak.

“Jalan terbabit ditutup kepada semua jenis kenderaan menyebabkan penduduk terputus hubungan untuk keluar mendapatkan barangan keperluan di Kuantan.

“Jumlah mangsa banjir yang masih ditempatkan di pusat pemindahan banjir Balai Polis Sungai Lembing setakat ini adalah 10 orang daripada dua keluarga,” katanya.

Penghulu Kampung Ulu Kuantan Roslan Amat berkata, Pekan Sungai Lembing mulai dinaiki air tengah hari kelmarin sebelum surut jam 3 petang, namun kembali dinaiki air jam 4 petang sehingga mencecah paras dada, pada tengah malam kelmarin.

“Walaupun terputus hubungan, namun bekalan barangan makanan setakat ini masih mencukupi untuk dua hari bagi penduduk yang terperangkap di Sungai Lembing.

“Pada masa sama, kita sudah  menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat meminta bekalan,” katanya.

Sementara itu, pengusaha chalet pelancongan Time Capsule, Young Yeong Leong, 56, berkata dua pelanggannya turut terperangkap di Pekan Sungai Lembing dan beliau sendiri tidak dapat menghantar bekalan makanan, sejak kelmarin.

“Saya difahamkan 30 pengunjung dan pelancong di sebuah chalet lain juga terperangkap,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.