Categories
SENI

CERPEN: Bangku tolol di kafe mini berhantu

Oleh: MONALITA MANSOR

test copy

Aku tidak fikir kalian akan sealiran dengan aku. Lebih-lebih lagi apabila aku ceritakan bangku itu berkata-kata denganku. Kalian tentu memikirkan aku ini semacam bangku itu juga, kayu dan tolol kerana sudah tidak cukup manusia di dunia ini hendak diajak berpencak kata. Namun, kalau bangku yang kalian kira kayu dan tolol itu lebih memahami, berlebih bagus lagi berbicara dengan sesuatu seperti itu.

Kisahnya begini, terjadi di sebuah kafe mini berhantu. Kafe itu tidak kelihatan berhantu sebenarnya melainkan ia tidak pernah dihuni lebih daripada 40 hari. Diceritakan dek bangku itu tuannya sudah diserang wabak yang sangat serius yang menyerang organ dalaman umat manusia yang gemar beralasan. Bagaimana bangku yang kayu dan tolol itu tahu?

Bangku itu letaknya di sudut yang paling hujung di dalam premis tersebut. Premis itu, selain menempatkan kafe mini, ia juga merupakan tempat berlonggoknya segala ilmu dan wasilah yang disimpan di dalam bentuk kertas berjilid. Premis itu pula dipunyai oleh orang yang berkuasa menentukan ia bersesuaian untuk dikongsikan dengan umum dan masyarakat sekitarnya.

Begitu berbelit-belit cerita si bangku yang kayu dan tolol ini kan? “Ceritanya harus begitu kerana jika aku mengungkapkan yang benar kejadiannya, ada kemungkinan nasibku berakhir di dalam kandang pertuduhan,” kata si bangku.

“Kau sudah mengumpat dan mengajak aku mengumpat!” tuduhku kepada si bangku. Aku, seperti mana wanita lainnya, sentiasa takut menjadi  berwajah anjing di akhirat nanti. Sentiasa berikrar untuk mencubit mulut sendiri tatkala ingin membuka pekung di dada orang lain. Namun, itulah keseronokan dan kebahagiaannya. Mengetawakan kedukaan orang lain.

“Ada beberapa perkara mengumpat yang dibolehkan contohnya, menyampaikan kebenaran,” ajar si bangku yang kayu dan tolol di hujung bar kafe mini berwarna putih.

“Apa benarnya yang ingin kau sampaikan, bangku?” Tanyaku dalam bahasa yang aku sendiri tidak fahami, pada bangku berkaki empat berwarna coklat yang divarnish dengan warna merah. Nampak anggun dan bersahaja, juga nampak elemen kebijaksanaan sesuai dengan kedudukannya untuk mengalas tubuh mereka yang dahagakan ilmu.

“Aku hairan dengan kafe mini yang berhantu ini,” bilang bangku setinggi pinggangku itu. Aku sedikit tersentak mendengar perkataan yang terakhir itu. Umat akhir zaman di tanah ini, walaupun lahirnya dengan azan, masih dibedung sedikit sebanyak dengan karut animisme mengenai hantu dan kerabatnya.

“Aku tidak merasakan kehadiran hantunya,” kataku, takut-takut berani. Bukanlah aku ini pencari hantu, bomoh handal mahupun pawang sakti. Hanya, kenyataanku berdasarkan mata kasarku yang melihat kafe mini itu tidak ‘sakit’.

“Ia memang berhantu!” tegas bangku kayu yang tolol yang menjadi saksi sedikitnya manusia yang keluar masuk ke dalam premis ini berbanding premis kafe siber yang mempunyai kuda maya berlari di dalam skrin empat segi. Di sana, meskipun aroma tembakau bersengkelit, ia lebih menyeronokkan kerana ruang mayanya terbuka luas. Selain mengejar kuda, anak-anak semuda tujuh tahun pun boleh mengejar apa sahaja tanpa perlu endah jeling atau pekik emak dan bapak. Abaikan tuan punya kafe yang hanya tahu mengembungkan poketnya tanpa hirau moral anak-anak yang tanggal.

“Apa buktinya?” Aku menekankan suara. Bagaimanapun, aku lepaskan seperlahan mungkin kerana ada sedikit kebimbangan mengenai tanggapan manusia. Maklum sahaja, kita ini hidup berasaskan pandangan makhluk, bukan pandangan Allah.

“Kau ada nampak tuan kafe ni?” tanya bangku tolol itu. Aku menggeleng-geleng.

“Aku nampak,” katanya bangga. Aku menelan liur.

“Kau ada nampak makanan dan minuman dijual di atas bar?” tanyanya lagi. Lagi sekali aku menggeleng.

“Aku nampak,” ujarnya, berlebih bangga.

“Mana ada!” tukasku. Yang ada di atas bar putih itu adalah buku-buku yang tidak dapat diletakkan kerana rak-rak buku sudah dipenuhi oleh buku-buku yang tidak dipinjam. Rak-rak baru sudah dipinta, namun masih belum tiba kerana alam sudah kehabisan sumber dan gajah serta banjir lumpur berleluasa yang merencatkan segala.

“Kau tak terbau aroma roti bakar yang harum?” Si tolol itu bertanya. Aku, tanpa diminta mengembang-kempiskan hidung. Bau itu cuma wujud di dalam mindaku sahaja apabila aku terpandangkan pembakar roti yang tersadai bersebelahan sinki kembar di belakang bar itu.

“Aku ni bodoh kerana percaya pada kau!” Akui diriku sendiri. Agaknya kalau si tolol itu boleh ketawa atau setidak-tidaknya menghentakkan kakinya, ia sudah menghentakkan kaki.

“Aku tak menipu. Aku bukannya macam manusia yang menipu untuk mendapat apa yang dia hajati.”

“Itu kan lumrah manusia!” Aku tegaskan kerana zahirnya manusia itu tercipta untuk akhirnya menjadi penghuni neraka ataupun syurga. Aku menggaru-garu rambut yang tersembunyi di balik tudung yang tiba-tiba terasa miang. Aku memutar pandangan pada persekitaran yang lengang. Sedih memanggang perasaan saat premis ini mencernakan pandangan benar bahawa umat bangsaku begitu takut dengan buku. Apatah lagi jika isinya menagih pemerahan otak ke tahap maksimum.

“Di mana boleh kutemui hantu kalau benar ada hantunya?” tanyaku kembali. Noktah. Aku sudah penat melayan perihal hantu dan bangku.

“Sudah namanya hantu, mana boleh dilihat,” tempelak si bangku. “Tapi kelibatnya boleh kelihatan di ibu pejabat premis ini. Ia datang menganggu melalui kabel di sana. Dan akan terus menganggu melalui tangkal berwarna putih di dinding itu. Selagi kabel di sana tidak telus, azimat itu akan terus berkuasa.” Aku memerhati azimat yang dimaksudkan di dinding belakang kafe mini tersebut dan hanya mampu mengukir senyum pahit. Begitu ceritanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.