Categories
NASIONAL

Kerajaan Pusat perlu sedia peruntukan khas pelajar jadi mangsa banjir

MARANG 28 DIS: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan khas untuk setiap keluarga mangsa banjir, khususnya pelajar yang bakal memulakan sesi persekolahan tidak lama lagi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang turut meminta seluruh petugas dari badan dan agensi kerajaan agar menguruskan bantuan dengan penuh amanah dan adil tanpa mengira latar belakang politik.

10449975_10152471112730685_5830290159622054236_n“Insya-Allah, dedikasi anda akan dihitung pahala serta bakal beroleh ganjaran di sisi ALLAH kelak,” katanya dipetik Sinar Harian.

Abdul Hadi berkata, jentera PAS di semua peringkat juga sedang digerakkan bagi menghulur bantuan sedaya termampu.

“Kita berharap ia diterima seadanya. Pas juga mengarahkan seluruh jenteranya untuk meneliti keperluan munasabah kepada mangsa banjir dan memberi khidmat dengan ikhlas,” katanya.

Beliau yang turut bersimpati dengan nasib mangsa banjir berkata, bencana yang berlaku wajib dihadapi dengan sabar dan dalam menghadapi pelbagai situasi tidak terduga, semua pihak perlu saling tolong-menolong dan cakna antara satu sama lain.

Menyahut saranan itu, Pemuda Pas Dun Rhu Rendang melancarkan Tabung Bencana Banjir bagi mengumpulkan sumbangan untuk disalurkan kepada mangsa banjir di Kelantan.

Ketuanya, Mohd Aswadi Mohamad, 34, berkata, tabung berkenaan adalah tanda solidariti Pemuda Pas Dun Rhu Rendang bersama ratusan ribu mangsa banjir di negeri berkenaan.

“Sebagai permulaan, kita berjaya mengutip derma awal lebih RM5,000 dan barang keperluan harian untuk dihantar ke Kelantan menggunakan lebih 20 pacuan empat roda esok.

“Kita putuskan untuk salurkan bantuan ini secara berterusan dengan bantuan NGO seperti Marang Care, Ameerah, Unit Amal dan ahli Kelab Pacuan Empat Roda ‘Pasak’ sehingga banjir di Kelantan reda,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.