Categories
SELANGOR

MBSA PBT pertama kemuka pelan perangi rasuah dalaman

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 18 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) muncul sebagai pihak berkuasa tempatan pertama yang mempunyai Pelan Strategik Pencegahan Rasuah.

Timbalan Pengarah Korporat, Shahrin Ahmad berkata, inisiatif itu diambil sebagai langkah menangani gejala rasuah dan masalah intergriti di kalangan kakitangan MBSA.

Katanya, langkah itu juga bertujuan meningkatkan kefahaman dan kesedaran berhubung kesalahan jenayah rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan yang boleh menggugat kepentingan orang ramai.MBSA

“Pelaksanaan pelan ini juga bertujuan melahirkan warga MBSA yang berintergriti tinggi serta berpegang teguh kepada undang-undang, peraturan dan etika organisasi.

“Di samping itu, kita juga mahu mendidik dan menimbulkan kesedaran di kalangan kakitangan MBSA terhadap kepentingan sikap kebertanggungjawaban dalam melaksanakan tugas harian dan mempunyai sifat kepunyaan atau sense of belonging terhadap organisasi MBSA,” katanya selepas majlis pelancaran Pelan Strategik Pencegahan Rasuah 2014-2016 MBSA yang diadakan di Auditorium MBSA, pagi tadi.

Pelan berkenaan dirangka dengan kerjasama pintar di antara MBSA dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mula dimeterai pada tahun 2011.

“Dengan pelaksanaan Pelan Strategik Pencegahan Rasuah ini, pihak MBSA berharap dapat melahirkan warga kerja yang berintergriti dan dapat memberikan komitmen untuk menangani jenayah rasuah,” katanya lagi.

Majlis disempurnakan Timbalan Datuk Bandar, Mokhtar Hani dan turut dihadiri Pengarah SPRM Selangor, Datuk Simi Abdul Ghani dan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd Jamil.

Pada majlis yang sama juga, turut diadakan Penyerahan Buku Pelan Strategik Pencegahan Rasuah kepada setiap Pengarah Jabatan, Ketua Bahagian dan Pengurus Pejabat Cawangan.

editor: gambar utama sumber dariĀ http://adamhariez.deviantart.com/art/Anti-rasuah-345981892

Leave a Reply

Your email address will not be published.