Categories
SELANGOR

31 Jan: Mengenang R. Arumugam, penjaga gol digelar ‘Spiderman Malaysia’

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 31 JAN: Memiliki sepasang tangan yang lebih panjang berbanding orang lain dan kecekapannya ‘menerbangkan’ dirinya untuk menyambar bola sepakan kencang penyerang lawan menyebabkan mendiang Datuk R Arumugam digelar ‘Spiderman Malaysia’.

Pengulas sukan terkenal, Datuk Hasbullah Awang ketika mengimbau kembali era kegemilangan Arumugam bersama pasukan kebangsaan dan Selangor berkata, gelaran ‘Spiderman Malaysia’ itu dimulakan oleh seorang wartawan sukan sebuah akhbar ketika itu.

Arumugam“Dia memang ada keupayaan sebagai penjaga gol memang diakui. Orang kata salah satu sebab tangannya lebih panjang. Memang lebih panjang dari kita. Kalau kita lebih kurang hingga paras paha tetapi dia memang lebih sikit.

“Dia juga digelar spiderman kerana kebijaksanaan dan keberanian beliau ‘menerbangkan’ diri menyelamatkan gol dari dibolosi,” kata Hasbullah ketika dihubungi Selangor Kini baru-baru ini.

Selain itu, Arumugam juga mempunyai jeritan yang nyaring sehingga mampu didengari rakan sepasukan yang berada agak jauh dari pintu gol.

Keadaan ini menyebabkan Arumugam dengan mudah dapat memberi arahan kepada pemain pertahanan untuk menutup ruang kosong supaya tidak mudah dibolosi penyerang lawan dan sekaligus juga menaikkan semangat rakan sepasukan lain.

Tambah Hasbullah lagi, Arumugam juga pernah beberapa kali diberi kepercayaan sebagai kapten pasukan kebangsaan apabila ketiadaan Soh Chin Aun dan Shukor Salleh yang lebih senior dari mendiang.

“Dia juga beberapa kali diberi kepercayaan mengambil sepakan penalti. Sebagai penjaga gol biasanya bila mengambil sepakan penalti dia perlukan keberanian serta dah tahu kelemahan penjaga gol lawan itu dan dia mengambil kesempatan itu. Itulah yang digunakan Arumugam.

“Bagaimanapun saya masih ingat kata-kata Allahyarham Datuk Mohktar Dahari, Arumugam seorang pemain yang ada naik, turun dia. Ada masa dia naik dan ada masa turun.

“Apa pun memang tak syak lagi, dia adalah ‘Spiderman Malaysia’ juga sebutir bintang yang pernah Selangor dan Malaysia miliki suatu ketika dahulu. Sukan bola sepak negara khususnya Selangor amat terasa kehilangan beliau seperti mana kehilangan Mokhtar Dahari,” kata beliau lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.