Categories
SELANGOR

Tak perlu semak belanjawan, ekonomi Selangor kukuh

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 21 JAN: Tiada keperluan Kerajaan Negeri menyemak semula Belanjawan Selangor 2015 berikutan ia memadai untuk perbelanjaan pembangunan dan pengurusan.

Adun Sekinchan, Ng Suee Lim berkata hasil pendapatan Selangor dijangka tidak terjejas kerana tidak bergantung kepada hasil penjualan minyak mentah.

Bajet MS2Katanya, beliau juga yakin kutipan daripada pungutan cukai dan pendapatan lain mencukupi untuk merealisasikan belanjawan yang diumumkan November lepas.

“Tidak perlu untuk kita ikut jejak Kerajaan Pusat kerana situasi kita dan dia (pusat) adalah berbeza sama sekali.

“Pusat bergantung lebih 30 peratus kepada penjualan minyak mentah sementara kita tidak. Tiada minyak pun di Selangor ini,” katanya kepada Selangor Kini.

Semalam, Kerajaan Pusat mengumumkan pelarasan strategi Belanjawan 2015 ekoran kejatuhan harga minyak mentah dunia.

Sementara itu, Adun Hulu Kelang, Saari Sungib langkah Kerajaan Negeri melebihkan peruntukan pembangunan mampu melonjakkan aktiviti ekonomi negeri.

“Apabila ada pembangunan, maka aliran wang dan ekonomi juga berjalan seterusnya memberi manfaat kepada rakyat.

“Saya percaya jika segala dilaksanakan dengan integriti tanpa ketirisan dan sebagainya, maka ekonomi Selangor tidak terjejas dan berjalan stabil,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri membentangkan belanjawan tertinggi dalam sejarah Selangor dengan peruntukan RM2.42 billion.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM1.29 bilion (53.19 peratus) diperuntukan bagi perbelanjaan mengurus sementara RM1.13 bilion (46.81 peratus) bagi perbelanjaan pembangunan.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.