Categories
SELANGOR

APA KES? Penduduk Kampung Sungai Salak tuntut selesai masalah banjir lumpur

Oleh: AFEEQA AFEERA

GOMBAK, 13 JAN : Penduduk Kampung Sungai Salak, Batu 10, dekat sini menuntut supaya masalah banjir lumpur yang sering melanda kediaman mereka sejak 10 tahun lalu diambil perhatian serius oleh Kerajaan Negeri ekoran beberapa siri aduan sudah dibuat sebelum ini.

Wakil penduduk, Sheh Mohamad Hasan Sheh Mohd Yusof, 73, berkata penduduk terpaksa berdepan masalah sama setiap kali hujan lebat turun dan dianggarkan hampir 40 kediaman terjejas, bahkan insiden itu turut menyulitkan laluan keluar masuk utama kenderaan.

sungai salak 3-(jln hancor dan takda kesan)Katanya, kejadian itu disebabkan ketiadaan sistem perparitan dan longkang yang sistematik untuk mengalirkan air dari kawasan atas bukit ke sungai berhampiran.

“Apabila hujan lebat dalam jangkamasa satu atau dua jam, aliran air tidak dapat berjalan lancar disebabkan ketiadaan longkang yang menyebabkan banjir di kawasan kediaman dan merosakkan tanaman penduduk setempat.

“Penduduk sudah berulang kali membuat aduan kepada pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia, Majlis Perbandaran Selayang serta Pejabat Tanah dan Daerah Gombak berhubung masalah ini, namun sehingga hari ini tiada tindakan susulan diambil pihak berkenaan.

“Kami mahu masalah ini diselesaikan segera kerana ia mendatangkan kesusahan dan penduduk terpaksa membersihkan rumah setiap kali bencana itu berlaku,” katanya kepada Selangor Kini.

interview salak BSementara itu, seorang lagi penduduk, Jamaluddin Adnan, 63, berkata sudah lebih tiga kali kediamannya terjejas disebabkan masalah banjir sejak mula mendiami kawasan berkenaan lebih 30 tahun lalu.

Beliau berkata, walaupun ada menerima bantuan daripada pihak bertanggungjawab setiap kali musibah itu berlaku, namun masalah banjir tetap tidak berjaya diselesaikan.

“Pelbagai bentuk aduan sudah dibuat kepada pihak berwajib, tetapi tiada tindakan diambil setakat ini, cuma baru-baru ini wakil pejabat DUN ada turun memantau.

“Kami amat berharap masalah ini dapat diselesaikan segera kerana sudah terlalu lama keadaan ini berlaku, sampai bila kami perlu menunggu,” katanya.

interview salak CBagi Deraman Lamat, 77, kawasan perkampungan itu terlalu ketinggalan dari sudut pembangunan, ditambah dengan pelbagai masalah infrastruktur yang perlu diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri.

Katanya, laluan keluar masuk utama ke kawasan itu juga tidak diselenggara dengan baik sejak tahun 2004 selain masalah perparitan.

“Apabila terlalu banyak pembangunan yang dilakukan di atas kawasan bukit, ia menghalang sistem saliran hingga menyebabkan air yang turun dari atas tidak dapat melimpah secara betul ke dalam sungai.

“Wakil rakyat ada turun baru-baru ini dan kita masih menunggu tindakan selanjutnya,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.