Categories
NASIONAL

Geramm: Gesaan pemberhentian Ketua Editor Harakah ada motif lain

SHAH ALAM, 8 JAN: Gerakan Media Marah (Geramm) bimbang isu permintaan supaya Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman meletak jawatan dilakukan atas motif lain bukan disebabkan faktor kesihatan.

Perikatan longgar pengamal media itu berkata, ia berikutan permintaan itu dibuat tidak lama selepas penamatan dua kakitangan akhbar berkenaan iaitu Tarmizi Mohd Jam dan Roslan Hamid, selain berakhirnya kolum tulisan Dinsman.

Katanya, Geramm juga sentiasa mengikuti rapat dan mengambil berat perkembangan semasa Harakah sejak akhbar itu menjadi kontroversi beberapa bulan kebelakangan ini.

lutfi harakah“Kalau tiada angin bertiup, takkan pokok bergoyang?

“Geramm khuatir wujud unsur penindasan terhadap mereka melalui tekanan politik dalaman tetapi berselindung atas alasan lain termasuk faktor kesihatan.

“Sekalipun Harakah adalah akhbar kepartian, kebajikan kakitangan sama ada berpangkat tinggi atau rendah harus dipelihara sebaik-baiknya,” katanya dalam satu kenyataan.

Perikatan itu turut menegaskan nilai kebebasan media perlu diangkat dan bukan sekadar melukut di tepi gantang.

Katanya, hal itu membabitkan pemilik organisasi penerbitan yang turut sama melaungkan kebebasan bersuara secara bertanggungjawab.

GERA“Geramm berharap kemelut itu berakhir dengan damai tanpa menjejaskan kewibawaan akhbar, pemilik organisasi atau kakitangan editorialnya,” katanya.

Terdahulu Ahmad Lutfi berkata beliau tidak tahu sama ada hasrat untuk memberhentikannya mempunyai kaitan dengan penyiaran artikel yang dikatakan mengkritik ulama dalam PAS.

Sebaliknya, kata Lutfi, beliau hanya dimaklumkan melalui sepucuk surat bahawa keputusan itu dibuat ahli lembaga pengarah atas faktor kesihatan.

Leave a Reply

Your email address will not be published.