Categories
SELANGOR

Hadiah barangan digital menanti pengunjung bertuah Pesta Buku Selangor

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 15 JAN: Pelbagai hadiah barangan digital disediakan untuk pengunjung bertuah di Pesta Buku Selangor 2015 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini mulai 29 Januari hingga 8 Februari ini.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mastura Mohamad, berkata hadiah barangan digital itu adalah antara kelainan dalam pesta buku anjuran Kerajaan Negeri dan pihaknya kali ini bersesuaian dengan tema ‘Evolusi Buku dan Digital’.

FLYERS_PBS15“Ia berita gembira kepada semua pengunjung kali ini apabila dalam cabutan bertuah kita adakan bukan setakat diberi ipad mini tetapi antara hadiah tersenarai ialah kamus digital, Al-Quran digital, ‘power bank’, ‘thumb drive’ dan semua yang lain. Semua hadiah ini lebih pelbagai.

“Kita berikan hadiah ini untuk insentif supaya orang ramai hadir khususnya ibu bapa membawa anak-anak bersama dan membeli buku supaya dapat menyemai tabiat minat membaca di kalangan anak-anak bagi melahirkan masyarakat berilmu,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Mastura berkata, PPAS juga membuat kelainan dalam penganjuran pesta buku kali ke sepuluh sejak 2006 yang mana diadakan pada awal tahun berbanding sebelumnya selepas pertengahan tahun.

Katanya, dengan berlangsungnya pesta buku tahun ini, PPAS turut menjalankan program Hari Ilmu Selangor bermula dari awal hingga akhir tahun.

“Kita bermula dengan pesta buku disusuli program ‘Lets Read Together’ dijangka pada 23 April diikuti pesta buku mini di setiap daerah yang akan dimaklumkan kemudian.

“Ia bersambung dengan sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos dan selepas itu juga diadakan ‘Kid’s Foundation’ dan ‘Back To School’ pada November,” katanya.

Dengan musibah banjir yang berlaku di tanahair baru-baru ini khususnya Pantai Timur, PPAS juga menyediakan tabung derma selain sebahagian hasil keuntungan dalam penjualan buku daripada pempamer akan disumbangkan kepada misi bantuan banjir Pantai Timur.

Pusat maklumat sehenti dikendalikan agensi Kerajaan Negeri di bawah Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) juga disediakan untuk kemudahan orang ramai mendapat maklumat lanjut.

Pesta buku terbabit dijangka akan dirasmikan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali pada 31 Januari jam 3 petang.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.