Categories
NASIONAL

Harga baharu bahan bakar: Pengguna mahu situasi menang-menang

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 3 JAN: Ramai pihak menganggap pelarasan harga baharu bahan bakar oleh kerajaan mulai Selasa lalu sebagai langkah yang memberi manfaat kepada pengguna.

Mahfuz Mahmood, 28, dari Putrajaya, berkata langkah itu sedikit sebanyak membantu dirinya menjimatkan belanja, seraya membolehkan beliau mengagihkan lebihan wang untuk kegunaan lain.

mahfuzmahmood“Saya dapat berjimat sedikit dan menggunakannya untuk keperluan lain yang memerlukan.

“Soal dakwaan Persatuan Peniaga Petrol Malaysia mengalami kerugian, saya berpandangan ia mungkin tidak ketara dan tentunya kerajaan akan meneliti perkara ini supaya golongan terbabit tidak terbeban,” katanya.

Chia Sih Lin, 33, dari Shah Alam, berkata dakwaan persatuan itu mungkin benar kerana harga bahan bakar adalah harga yang dikawal. Beliau merasakan situasi menang-menang untuk kedua-dua pihak perlu diwujudkan.

chiasihlin“Mungkin bila harga turun, pengusaha rugi tetapi pengguna turut akan rugi bila harga naik.

“Sebaiknya kepentingan kedua-dua pihak dijaga dalam perkara ini,” katanya.

Bagaimanapun bagi Nasaruddin Aris, 50, dari Kota Damansara, harga yang diumumkan kerajaan hanyalah harga baharu dan tidak boleh dianggap sebagai turun harga.

nasaruddinaris“Sebagai pengguna, saya tidak bersetuju dengan istilah turun harga tetapi saya bersetuju dengan istilah harga baharu.

“Namun bila berbelanja membeli petrol, ia membawa kebaikan dan memberi manfaat kepada pengguna seperti saya,” katanya.

Berbicara isu kerugian yang ditanggung pengusaha petrol, Nasaruddin berkata hal itu perlu diselidik mengikut ketetapan ‘Free On Board’ (harga invois memasukkan caj meletakkan barangan di atas kapal yang berlabuh di pelabuhan berlepas yang ditetapkan oleh pembeli, berserta kos insuran keatas barangan dari kilang asal ke pelabuhan itu) dan kos yang berkaitan.

“Dari situ baru kita boleh menilai sama ada mereka menghadapi kerugian atau sebaliknya,” katanya.

Presiden Persatuan Peniaga Petrol Malaysia, Hashim Othman sebelum ini dalam satu laporan media berkata pengusaha petrol berhadapan kerugian diantara RM20,000 hingga RM100,000 kesan daripada penurunan harga minyak.

Berkuatkuasa 1 Januari lalu, Kerajaan Persekutuan mengumumkan harga runcit bagi RON95 ditetapkan pada RM1.91 seliter, RON97 pada RM2.11 seliter manakala diesel berharga RM1.93 seliter.

Leave a Reply

Your email address will not be published.