Categories
KENYATAAN MEDIA

JAIS lancar misi bantuan banjir Pantai Timur, berjaya kutip RM294,000

Oleh: DATUK DR AHMAD YUNUS HAIRI

Kerajaan Negeri Selangor, melalui Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi telah berkerjasama dengan Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Selangor membuat kutipan derma kilat daripada masjid-masjid di seluruh Negeri Selangor untuk disumbangkan kepada mangsa-mangsa banjir di Negeri Pantai Timur.

Kutipan pertama telah dibuat pada hari Jumaat, 26 Disember 2014 manakala kutipan kedua pula pada Jumaat, 02 Januari 2015.

Jumlah keseluruhan kutipan yang berjaya dikutip  setakat hari ini (06 Januari 2015) adalah berjumlah RM 294,000.00. Sejumlah RM 95,000.00 daripada jumlah tersebut telah digunakan untuk membeli pelbagai barangan seperti water jet, generator, dapur gas, barangan makanan, peralatan, kelengkapan pembersihan logistik pengangkutan dan peralatan ibadah. Baki kutipan akan diserahkan kepada mangsa banjir melalui EXCO Agama Negeri Kelantan.

Konvoi bantuan Mangsa Banjir ke Pantai Timur pada malam ini (06 Januari 2015) adalah melibatkan seramai 120 orang sukarelawan yang melibatkan pegawai kanan daripada JAIS bersama Yayasan Amal Malaysia Cawangan Selangor serta Briged Amal Selangor. Kenderaan yang mengiringi bantuan ini adalah 3 buah bas, 3 buah lori dan sebuah van. Mereka akan berlepas ke Kelantan dalam misi untuk menyampaikan bantuan serta misi pembersihan pasca banjir. Antara lokasi bantuan banjir adalah Kg. Laut Pasir Pekan, Tumpat, Tanah Merah dan Kuala Krai, Kelantan.

Saya bagi pihak Kerajaan Negeri Selangor  amat berterima kasih kepada seluruh rakyat Negeri Selangor yang prihatin dan yang telah memberikan sumbangan ikhlas kepada mangsa-mangsa banjir. Dikesempatan ini juga, saya ingin mengajak seluruh rakyat Selangor untuk terus mengadakan solat hajat di masjid-masjid dan surau-surau seluruh negeri Selangor bagi memohon kepada Allah S.W.T agar musibah banjir ini dapat dipulihkan serta memohon agar diberikan perlindungan dan keselamatan kepada mangsa-mangsa banjir serta dipermudahkan segala urusan harian mereka.

 # Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi adalah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.