Categories
SELANGOR

JAIS sumbang RM300,000 bantu beban mangsa banjir

Oleh : AFEEQA AFEERA

SIJANGKANG, 11 JAN : Meskipun keadaan banjir di Pantai Timur mulai surut, namun bantuan secara berterusan dihulurkan Kerajaan Selangor bagi meringankan beban mangsa yang terlibat.

Terbaru, sejumlah RM300,000 disumbangkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berupa bantuan kewangan dan barangan keperluan seperti generator, pam air, 300 unit dapur dan sebagainya.

Dr YunusExco Hal Ehwal Agama, Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata pelbagai bentuk sumbangan akan terus diberikan kepada mangsa banjir bagi memastikan keperluan mereka mencukupi untuk meneruskan kehidupan seharian.

“Di pihak Kerajaan Negeri pula hampir RM6 juta diperuntukkan bagi menampung pembangunan kediaman mangsa yang kebanyakannya musnah dalam banjir tempoh hari.

“Selain itu kita juga berhasrat untuk memberi peruntukan tambahan sebanyak RM200,000 bagi pakaian sekolah dan akan dilakukan dalam masa terdekat,” katanya kepada Selangor Kini.

Menceritakan lawatannya ke Kelantan semalam, Ahmad Yunus berkata terdapat beberapa kawasan di negeri itu yang masih berdepan banjir, malah hujan lebat terus berlarutan terutama di Dewan Undangan Negeri (DUN) Meranti.

Malah katanya banyak perkara masih belum diselesaikan terutama di daerah Kuala Krai yang kebanyakan kediaman penduduk hanyut dan tidak boleh didiami.

“Ini satu ujian yang besar kepada mereka, insyaAllah akan ada kebaikan yang akan berlaku selepas ini.

“Ramai pihak tampil memberi khidmat kepada mangsa banjir kerana ia adalah tanggungjawab kita bersama untuk membantu mereka yang memerlukan,” katanya lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.