Categories
NASIONAL

Lutfi masih Ketua Pengarang Harakah

SHAH ALAM 10 JAN: Ketua Pengarang Harakah Ahmad Lutfi Othman berkata bahawa beliau masih lagi memimpin redaksi Harakah dan tidak pernah dipecat atau digantung tugas.

Katanya, soal mengenai keperluan beliau untuk meletak jawatan akan dibincangkan dalam mesyuarat ahli lembaga pengarah Harakah yang akan diadakan pada pertengahan Februari depan.

lutfi harakahBagaimanapun, beliau tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan berhubung isu permintaan ahli lembaga pengarah lidah rasmi PAS itu supaya beliau meletakkan jawatan, katanya dipetik Malaysiakini.
“Saya tak nak keruhkan lagi suasana. Saya cuma nak beritahu yang saya masih lagi berkhidmat sebagai ketua pengarang kumpulan Harakah.

“Selepas perkara ini timbul, saya ada buat pertemuan dengan Pengarah Urusan Harakah Dr Rosli Yaakob untuk berbincang mengenai perkara ini,” katanya.

Selain itu, Lutfi memberitahu, tawaran ‘pencen illat’ dengan bayaran separuh gaji oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tidak boleh dilaksanakan kerana kriterianya tidak mencukupi.

Ini kerana, doktor yang merawatnya memberitahu, penyakit yang dihidapinya mempunyai tanda positif untuk pulih memandangkan pencen illat hanya boleh diberikan kepada individu yang mempunyai cacat kekal.

“Apabila berjumpa dengan Dr Rosli, dia maklumkan pada saya, sekiranya tak cukup kriteria, saya akan terus bertugas. Harakah dan Dr Rosli memberi jaminan akan memberi keutamaan dan perhatian dari segi kebajikan saya.

“Kes saya berbeza dengan dua pengarang (Tarmizi Md Jam dan Roslan Hamid) kerana saya kakitangan tetap. Mereka bekerja secara kontrak,” katanya lagi.

Ketika ditanya mengenai tahap kesihatannya kini dan adakah beliau boleh bertugas, Lutfi berkata keadaannya kini bertambah baik.

Namun, Lutfi berkata, beliau tidak mempunyai masalah sekiranya di letakkan jawatan yang bersesuaian sekiranya tahap kesihatannya tidak mengizinkan.

“Saya amat memahami sekiranya kesihatan saya tak mengizinkan. Saya pun tak akan gagahi juga. Walaupun komitmen nak beri sumbangan pada parti tinggi, tapi saya tak akan sama sekali meletakkan diri saya ke peringkat meyusahkan Harakah dan parti.

“Sekiranya tak mampu, saya rasa tak ada masalah kalau nak diletak dalam post yang lebih sesuai,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.