Categories
KENYATAAN MEDIA

Perutusan Tahun Baharu 2015 Dato’ Menteri Besar Selangor

Kita meninggalkan tahun 2014 dengan pelbagai kenangan, yang manis dan yang pedih, dan kita perlu mengharungi tahun 2015 dengan kecekalan untuk menghadapi apa jua cabaran dan segala kemungkinan.

Dalam tahun 2014, kita diuji dengan pelbagai tragedi dan malapetaka yang datang bertubi – tubi. Seawal 8 Mac yang lalu, kita tersentak dengan tragedi pesawat MH 370 yang hilang di Lautan Hindi bersama 227 penumpang dan 12 anak kapalnya. Pesawat tersebut tidak ditemui kesannya hingga sekarang. 131 hari kemudian (17 Julai) pesawat MH 17  bersama  298 penumpang dan anak kapal ditembak di ruang udara Ukraine.

Derita dan kesedihan akibat dua tragedi tersebut belum hilang, kita dikejutkan lagi dengan pesawat Air Asia QZ 8501 yang terhempas di Laut Belitung. Ingatan dan simpati saya untuk waris dan sahabat handai yang terlibat dengan semua kemalangan tersebut.

Sejak dua minggu yang lalu, kita bergelut pula dengan malapetaka banjir terburuk yang menimpa Negeri Kelantan dalam tempoh 43 tahun yang lalu. Malapetaka tersebut turut menimpa beberapa negeri lain di Semenanjung Malaysia. Puluhan nyawa terkorban. Rumah, warong, motosikal dan kereta hanyut dan musnah. Pelbagai harta benda yang lain rosak dan segala sumber mata pencarian hilang. Penderitaan dan kesusahan yang alami oleh ratusan ribu mangsa tidak dapat diukur dan usaha untuk memulakan kehidupan baru selepas banjir amat mencabar.

Dalam menghadapi semua tragedi dan malapetaka ini, saya melihat ketabahan dan rasa kebersamaan (empathy) bangsa Malaysia. Mereka bersama dalam kesedihan. Mereka menghulurkan tangan simpati, datang memberikan pertolongan, meringankan beban. Mereka membina tali persaudaraan kemanusiaan yang merentasi kaum, agama dan pendirian politik. Melalui derita ini, saya yakin, secara bersama kita akan memupuk dan menebalkan semangat kekitaan yang inklusif, dan memperkukuhkan kewargaan dan rupa bangsa Malaysia.

Rentetan tragedi dan malapetaka, 2015 juga dijangka berdepan dengan cabaran ekonomi yang getir. Nilai ringgit jatuh merudum. Kehidupan rakyat berpendapatan sederhana dan rendah dicengkam oleh kenaikan harga barang akibat antara lain dari penarikan subsidi. Perlaksanaan GST akan menambah kesukaran.

Kita melihat dalam sejarah, kesulitan ekonomi sering menjadi persekitaran tumbuhnya rasa tidak selamat golongan tertentu, konflik sosial dan ketegangan politik. Anasir pelampau, golongan fasis dan opportunis akan mengeksploitasi suasana ini dengan menampilkan diri mereka sebagai juara kumpulan dan kaum.

Jika kecenderungan ini tidak dibanteras ia akan menghakis sendi – sendi identiti kebangsaan. Jika tidak dibendung, semangat yang terkandung dalam Permasyhuran Kemerdekaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang berdaulat dan merdeka berlandaskan prinsip keadilan dan kebebasan akan tergugat dan projek nasional untuk membentuk satu rupa bangsa dalam kepelbagaian kaum dan agama akan tergasir.

Dari rasa simpati, semangat setiakawan, ruh kekitaan dan kebersamaan yang ditampilkan dalam menghadapi tragedi dan malapetaka, rakyat bersedia bersama meredah untuk membina masa depan yang lebih cerah, membina sebuah negara yang gagah dan mampu bersaing di arena abad ini, yang pasti menjadi milik Asia. Mereka bersedia untuk merebut peluang sebagai warga Asean Economic Community, membuat lompatan setelah beberapa dekad ditinggalkan dari segi ekonomi untuk kembali bersama dalam kumpulan pelari terkehadapan.

Persoalan dan cabarannya adalah kepada elit kepimpinan. Adakah mereka bersedia meninggalkan politik sempit perkauman, politik adu domba untuk mendapat sokongan sementara dan mendiskriminasi rakyat berdasarkan fahaman politik? Rakyat tidak mahu kepada sikap tuding menuding. Mereka mahu pemimpin membina keyakinan untuk menyegarkan kembali semangat toleransi, keluar dari pemikiran sempit melalui pencerahan dan mematangkan demokrasi.

Dengan semangat tahun baru, saya menyeru kepada wacana baru (new discourse), politik yang lebih matang dan bertanggungjawab. Kepada rakyat Negeri Selangor, anggota perkhidmatan awam, ketua – ketua kampung, para pemimpin masyarakat dan Lembaga Swadaya Masyarakat, saya mengucapkan terima kasih di atas sokongan dan dukungan tuan – tuan dan puan – puan sekalian bagi menjayakan 100 hari pertama pentadbiran baru Negeri Selangor yang bertemakan ‘Pembangunan Berkualiti, Rakyat Dipeduli’.

Leave a Reply

Your email address will not be published.