Categories
NASIONAL

Harga petrol turun 35 sen, diesel 30 sen mulai hari ini

SHAH ALAM, 1 JAN: Kerajaan Pusat akhirnya akur dengan desakan yang dibuat PR dan rakyat apabila menurunkan harga bahan api, berkuatkuasa tengah malam ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hasan Malek dalam satu kenyataan sebentar tadi, mengumumkan harga baru runcit bagi petrol RON95 adalah RM1.91 seliter, manakala RON97 adalah RM2.11 seliter.

Memetik Berita Harian Online, harga baru petrol turun 35 sen berbanding sebelum ini iaitu RM2.26 seliter bagi RON95 dan RM2.46 seliter (RON97).

RON 97Sementara itu, harga baru runcit bagi diesel turut turun 30 sen daripada RM2.23 kepada RM1.93.

Pada 21 November lalu, kabinet memutuskan penetapan harga runcit bagi petrol RON95 dan diesel adalah mengikut kaedah pengapungan terkawal seperti dilakukan untuk penetapan harga RON97, sejak Julai 2010.

Berikutan itu, pada 1 Disember lalu, harga jualan runcit RON95 diturunkan empat sen kepada RM2.26 seliter, manakala diesel dinaikkan kepada RM2.23 seliter.

Terdahulu, beberapa pimpinan PR antaranya Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli lantang mengemukakan fakta kukuh mengapa Kerajaan Pusat perlu meneliti semula harga bahan api itu di saat harga minyak dunia turun.

Rakyat juga turut melahirkan keresahan ekoran sara hidup yang semakin tinggi di tambah pelaksanaan GST, bermula April 2015.

Leave a Reply

Your email address will not be published.