Categories
SELANGOR

Rakyat sambut baik penubuhan jawatankuasa khas SOP pembangunan

Oleh : NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 8 JAN: Hasrat Kerajaan Selangor menubuhkan Jawatankuasa Khas memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi setiap projek pembangunan di negeri itu mendapat reaksi positif rakyat.

Shaifudin Mohamed, 48, berkata setiap pembangunan akan dilakukan mengikut perancangan dan dibina dengan lebih berhati-hati dengan adanya jawatankuasa khas itu.

Shaifudin Mohamed,48“Ini satu perkembangan yang baik, tidak perlu tunggu musibah baru cari punca dan jalan penyelesaian.

“Ia jelas membuktikan Kerajaan Selangor peduli rakyat dan mahukan setiap pembangunan yang dibina merangkumi elemen manusiawi,” katanya ketika ditemui Selangor Kini di Pusat Perdagangan Worldwide, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri akan memastikan kelulusan setiap pembangunan di Selangor akan dilakukan dengan lebih berhati-hati iktibar daripada musibah bencana alam di Pantai Timur, baru-baru ini.

Justeru, Kerajaan Negeri berhasrat menubuhkan satu jawatankuasa khas memastikan SOP diikuti seperti yang diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MKKN), baru-baru ini.

Nazri Abd Malik,44Sementara itu, Nazri Abd Malik, 44, berkata usaha itu wajar ekoran banyak projek pembangunan hari ini gagal dibina mengikut SOP yang akhirnya menyebabkan insiden tidak diduga.

“Wajar ditubuhkan, kerana banyak kes yang didedahkan di media. Tanah runtuh, banjir kilat dan rekahan pada asas bangunan berpunca dari kegagalan pembangunan mengikut SOP.

“Sudah tentu rakyat mahu yang terbaik untuk masa depan jika musibah sama (banjir) berlaku di Selangor,” katanya.

Bagi, Borhan Muse, 37,  dia berjarap Kerajaan Negeri menjalinkan usaha yang sama di kawasan berisiko banjir bagi memastikan kes banjir dapat dicegah selain memberi jaminan kehidupan lebih berkualiti kepada rakyat.

“Di kawasan yang kerap berlaku banjir, kita dapat lihat selain faktor muka buminya yang rendah, ia juga berpunca dari masalah sampah dalam sungai, longkang cetek dan ketiadaan kawasan tebatan banjir.

“Perkara ini harus diambil berat supaya kes banjir dapat dihindar pada masa hadapan,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.