Categories
SELANGOR

RM91.6 juta selenggara infrastruktur, kemudahan awam Petaling Jaya

Oleh: AFEEQA AFEERA

PETALING JAYA, 28 JAN: Sejumlah RM91.6 juta diperuntukkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dalam Bajet 2015 bagi urusan menyelenggara infrastruktur dan kemudahan awam yang berkualiti untuk kepentingan penduduk di kawasan itu.

Pemangku Datuk Bandar Petaling Jaya, Puasa Md Taib berkata, tumpuan khusus kepada budaya menyelenggara dalam Bajet 2015 boleh dilihat apabila ia dijadikan hala tuju utama yang memberi fokus kepada penyelesaian masalah sistem perparitan dan saliran.

Tasik Aman MBPJ 01Katanya, RM11.08 juta diperuntukkan untuk menaik taraf longkang bagi mengatasi masalah banjir, manakala RM20.48 juta bagi penyelenggaraan longkang dan saliran termasuk kemudahan awam, di samping RM1.29 juta untuk lantikan perunding bagi penyediaan Pelan Induk Sistem Saliran.

“Kemampuan MBPJ bukan hanya dilihat kepada penyediaan prasarana tetapi perkhidmatan penyelenggaraan secara berkala dan efisyen.

“Ia bertujuan memastikan penduduk menikmati kemudahan yang selesa dan selamat daripada kecederaan atau kemalangan ketika menggunakan infrastruktur disediakan,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBPJ, di sini, hari ini.

PuasaPuasa berkata, MBPJ turut memperuntukkan RM11.85 juta bagi penyelenggaraan lampu jalan, perabot jalan, menurap jalan, lampu hiasan dan lampu isyarat serta RM24.26 juta bagi kemudahan awam juga perniagaan.

Sementara itu, penyelenggaraan pejabat dan bangunan pula menerima peruntukan RM7.11 juta dan RM15.53 juta untuk kerja penyelenggaraan landskap, pembangunan koridor hijau, pembangunan Taman Tasik Komuniti Kelana Jaya serta Taman Rimba Riang.

“MBPJ juga akan memastikan kontraktor yang dilantik melaksanakan tugas penyelenggaraan dengan beretika, berkualiti dan sempurna.

“Diharap dengan meningkatnya budaya menyelenggara, MBPJ akan berjaya mencapai matlamat menyediakan kemudahan awam yang baik, persekitaran kondusif dan selesa serta bersih,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.