Categories
SELANGOR

RM91.6 juta selenggara infrastruktur, kemudahan awam Petaling Jaya

Oleh: AFEEQA AFEERA

PETALING JAYA, 28 JAN: Sejumlah RM91.6 juta diperuntukkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dalam Bajet 2015 bagi urusan menyelenggara infrastruktur dan kemudahan awam yang berkualiti untuk kepentingan penduduk di kawasan itu.

Pemangku Datuk Bandar Petaling Jaya, Puasa Md Taib berkata, tumpuan khusus kepada budaya menyelenggara dalam Bajet 2015 boleh dilihat apabila ia dijadikan hala tuju utama yang memberi fokus kepada penyelesaian masalah sistem perparitan dan saliran.

Tasik Aman MBPJ 01Katanya, RM11.08 juta diperuntukkan untuk menaik taraf longkang bagi mengatasi masalah banjir, manakala RM20.48 juta bagi penyelenggaraan longkang dan saliran termasuk kemudahan awam, di samping RM1.29 juta untuk lantikan perunding bagi penyediaan Pelan Induk Sistem Saliran.

“Kemampuan MBPJ bukan hanya dilihat kepada penyediaan prasarana tetapi perkhidmatan penyelenggaraan secara berkala dan efisyen.

“Ia bertujuan memastikan penduduk menikmati kemudahan yang selesa dan selamat daripada kecederaan atau kemalangan ketika menggunakan infrastruktur disediakan,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBPJ, di sini, hari ini.

PuasaPuasa berkata, MBPJ turut memperuntukkan RM11.85 juta bagi penyelenggaraan lampu jalan, perabot jalan, menurap jalan, lampu hiasan dan lampu isyarat serta RM24.26 juta bagi kemudahan awam juga perniagaan.

Sementara itu, penyelenggaraan pejabat dan bangunan pula menerima peruntukan RM7.11 juta dan RM15.53 juta untuk kerja penyelenggaraan landskap, pembangunan koridor hijau, pembangunan Taman Tasik Komuniti Kelana Jaya serta Taman Rimba Riang.

“MBPJ juga akan memastikan kontraktor yang dilantik melaksanakan tugas penyelenggaraan dengan beretika, berkualiti dan sempurna.

“Diharap dengan meningkatnya budaya menyelenggara, MBPJ akan berjaya mencapai matlamat menyediakan kemudahan awam yang baik, persekitaran kondusif dan selesa serta bersih,” katanya.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Ucapan perbahasan Bajet 2015- Mohamed Azmin Ali

Sejak Bank Dunia memperkenalkan konsep “middle-income trap” dalam penerbitan tahun 2007 yang bertajuk “An East Asian Renaissance” perbincangan yang rancak telah berlaku. YAB Perdana Menteri dalam beberapa ucapannya telah mengangkat isu tersebut kepada perhatian nasional.

Kajian tersebut yang dilakukan sempena 10 tahun kegawatan ekonomi Asia 1997 menyebut Asia Timur, kecuali Myanmar dan Korea Utara, menuju rantau berpendapatan pertengahan (middle income).

Persoalan yang ditanyakan laporan tersebut adalah, apakah rantau ini mampu untuk terus maju menjadi rantau berpendapatan tinggi atau terperangkap dalam pendapatan pertengahan.

Dalam tahun 1960 terdapat 101 negara di dunia yang berada dalam taraf berpendapatan pertengahan. Setelah hampir 50 tahun hanya 13 negara yang mampu membuat lonjakan dari pendapatan pertengahan kepada pendapatan tinggi.

Malaysia sendiri telah memasuki kumpulan negara berpendapatan menengah rendah dalam tahun 1969 dan memasuki peringkat pendapatan menengah tinggi dalam tahun 1996 dan hingga sekarang masih kekal dalam kumpulan tersebut.

Persoalannya berapa lama lagikah Malaysia akan terus terperangkap dalam taraf negara berpendapatan pertengahan?, sedangkan jiran kita, Singapura, sudah melonjak ke dalam golongan negara berpendapatan tinggi.

Begitu juga negara-negara yang suatu ketika dahulu lebih miskin dari Malaysia seperti Taiwan dan Korea Selatan telah menjadi negara maju. Apakah kita mampu keluar dari perangkap ini dalam tahun 2020?

Meskipun Kerajaan telah membentangkan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) semenjak 2010 dengan tujuan untuk mencapai taraf Negara Berpendapatan Tinggi pada 2020, namun pelbagai petunjuk membayangkan pelan tersebut berdepan dengan masa depan yang gelap.

Pelan Transformasi Ekonomi ini umpama stesyen keretapi yang elok, keretapi yang bagus akan tetapi keretapi tersebut tidak pernah meninggalkan stesyen itu. Dengan izin Tuan Yang Di Pertua, the train never leaves the station.

Projek yang disenaraikan oleh PEMANDU yang dikenali sebagai Entry Point Projects untuk bidang Petroleum dan Gas adalah sebanyak 13 EPP, tidak satu pun disenaraikan sedang beroperasi.

Dalam bidang perladangan kelapa sawit dan getah, ETP menyenaraikan 9 EPP, tidak satupun berstatus beroperasi dan dalam perkhidmatan kewangan ada 10 EPP dan tidak ada satupun yang berstatus beroperasi. Jikalau tidak beroperasi bagaimana mahu mencapai matlamatnya?

Pentadbiran sekarang meneruskan projek mega yang menelan belanja berbillion ringgit sedangkan 40% dari Keluaran Dalam Negara Kasar adalah dari sektor Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS).

Modenisasi sektor ini adalah melalui inovasi dan ianya salah satu dari langkah strategik untuk kita keluar dari perangkap pendapatan pertengahan.

Akan tetapi sekiranya pelaburan untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) tidak mencukupi, bagaimana kita mahu menjana peningkatan kemahiran, melakukan percambahan ilmu serta mempunyai keupayaan inovasi?

Belanjawan 2015 memperuntukkan RM 1.3 billion buat Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi. Secara puratanya Singapura memperuntukkan sekitar RM 6 billion untuk penyelidikan dan pembangunan setiap tahun.

Ekoran dari dana penyelidikan dan pembangunan yang kecil telah menyebabkan pengusaha serta usahawan bersaing hanya dari aspek kos dan harga. Mereka seharusnya menjurus kepada tambahan nilai dan produktiviti.

Akibatnya para usahawan membawa masuk tenaga kerja murah dari negara luar. Justeru itu industri tempatan tidak meningkat kemajuannya dan pada ketika yang sama banyak peluang pekerjaan hilang kepada pekerja asing.

Cita-cita untuk menjadi negara maju pudar apabila kita menyaksikan merudumnya tahap pendidikan negara seperti yang dilaporkan melalui Programme for International Student Assessment atau PISA.

Berdasarkan Kajian tersebut mencatat purata pencapaian membaca pelajar Malaysia yang berumur 15 tahun adalah 398 mata sedangkan purata kebolehan membaca bagi negara negara OECD adalah 496 mata.

Kebolehan dalam matematik bagi pelajar Malaysia yang berumur 15 tahun adalah 421 mata sedangkan purata bagi negara-negara OECD adalah 494 mata.

Sementara itu dalam kecelikan sains bagi yang berumur 15 tahun hanya sekadar 420 mata berbanding purata pencapaian sekitar 501 mata bagi negara-negara OECD.

Kita ternyata jauh tertinggal di belakang Singapura apabila purata pencapaian dalam membaca bagi yang berumur 15 tahun di Singapura adalah 542 mata. Kebolehan dalam matematik bagi yang berumur 15 tahun adalah 573 mata.

Sementara itu dalam kecelikan sains bagi yang berumur 15 tahun adalah 551 mata. Korea Selatan juga mencatat pencapaian yang baik dengan purata pencapaian membaca bagi yang berumur 15 tahun adalah 536 mata, kebolehan dalam matematik adalah 554 mata dan kecelikan sains adalah 538 mata.

Taraf pendidikan tinggi negara juga merudum teruk jika dibandingkan dengan negara-negara jiran.

Menurut Laporan Bank Dunia yang berjudul China 2030: Building A Modern, Harmonious and Creative Society, China kini mempunyai 22 universiti dalam senarai 500 terbaik dunia, bertambah lebih dua kali ganda dari tahun 2003.

Korea Selatan mempunya 9 universiti yang tersenarai dalam 500 universiti terbaik di dunia, Taiwan mempunyai 6 universiti dalam senarai 500 terbaik dunia. Hong Kong mempunyai 6 universiti dan Singapura mempunyai 2 universiti dalam senarai tersebut.

Amat malang sekali Malaysia yang mahu menjadi negara maju 6 tahun dari sekarang tidak mempunyai satu pun universiti dalam senarai 500 terbaik.

Untuk memberhentikan kemerosotan dan kemuruduman pendidikan di semua peringkat dari pendidikan rendah kepada pendidikan tinggi, dan untuk menyuntik dinamisme baru dalam sistem pendidikan negara satu reformasi pendidikan yang menyeluruh, total reform diperlukan.

Reformasi ini perlu meliputi aspek kurikulum, latihan pendidikan, taraf gaji yang mencerminkan kedudukan pendidikan sebagai sektor strategik negara dan persekitaran yang merangsang kreativiti dan pemikiran kritis.

Aspek rasionaliti dan pembinaan pemikiran luas serta berpencerahan perlu ditekan kepada pelajar apabila mereka meninggalkan alam remaja memasuki alam dewasa. Kebebasan akademik perlu dikembalikan.

Bagaimana para pensyarah dan profesor boleh berfikir secara dinamik, meneroka ide-ide baru jikalau mereka dibelenggu Aku Janji. Pelajar-pelajar universiti merupakan “the cream of the young generation.”

Jangan layan mereka bagaikan burung belatuk melalui AUKU. Jadikan mereka sebagai Generasi Pencerahan dengan slogan Sapere Aude; Berani Berfikir Sendiri!

Dipandang secara menyeluruh, Belanjawan 2015 tidak menampakkan kesungguhan fiskal untuk menjadi sebuah negara maju. Belanjawan ini tidak bersifat pembangunan atau non-developmental. 82% dari belanjawan digunakan untuk tujuan mengurus.

Hanya 18% digunakan untuk tujuan pembangunan sedangkan belanjawan ini dicanang sebagai “Ekonomi Keperluan Rakyat.” Tidak ada komitmen untuk mengawal ketirisan. Terlalu banyak pembaziran dan unsustainable economic activities.

Seharusnya kita berbelanja untuk meningkatkan daya produktiviti rakyat, raising people’s productive capacity. Rasa Keadilan – Sense of Justice dan semangat penyayang menuntut kita menjaga mereka yang daif, cacat dan kurang upaya.

Tetapi untuk menjadi sebuah negara maju membantu rakyat perlu mengambil pendekatan pembangunan atau developmental approach. Dan pembangunan itu seperti yang ditegaskan oleh philosopher-economist Amartya Sen adalah the expansion of human capability ; pengembangan dan peningkatan kebolehan manusia.

Kerajaan memang bertanggungjawab membina dan menaiktaraf pelbagai infrastruktur untuk keselesaan rakyat dan meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan. Antaranya:-

I. RM 5.3 billion untuk membina Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang.
II. RM 5 billion untuk membina Lebuhraya Pantai Barat dari Taiping ke Banting.
III. RM 4.2 billion membina Lebuhraya Damansara-Shah Alam.
IV. RM 23 billion untuk membina MRT jajaran kedua dari Selayang ke Putrajaya.
V. RM 9 billion ringgit untuk projek LRT 3 untuk menghubungkan Bandar Utama sehingga Shah Alam dan Klang.

Perancangan dan perlaksanaan projek-projek mega ini melibatkan kepentingan berjuta-juta manusia di Lembah Kelang dan Selangor.

Adakah kajian dilakukan untuk mendapatkan pandangan rakyat yang terlibat? Apakah kesan kepada penduduk yang terlibat dalam jajaran yang dirancangkan?

Mengapa tidak ada perbincangan sama sekali dengan Kerajaan Negeri Selangor yang bertanggungjawab dan yang telah dipilih oleh rakyat untuk menjaga kepentingan mereka?

Sebuah negara maju bukan sahaja diukur dari aspek fizikal dan angka-angka ekonomi. Aspek politik, pembinaan institusi, urus tadbir dan tata kelola juga merupakan prasyarat untuk menjadi negara mJUsteru itu keterbukaan dan ketelusan dalam pengurusan tidak boleh dipandang remeh.

Bagaimana kita boleh menjadi sebuah negara maju jika perjanjian-perjanjian yang melibatkan kepentingan berjuta-juta rakyat dilakukan secara sembunyi-sembunyi di mana segala terma-termanya diletakkan di bawah OSA. Apakah yang mahu disembunyikan dari rakyat?

Dalam konteks ini saya ingin mempersoalkan perjanjian untuk projek Langat II.
Isu Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Selangor

Saya tidak menafikan keperluan untuk menerokai sumber-sumber air baru bagi menampung permintaan terhadap bekalan air yang semakin meningkat disebabkan oleh pertambahan penduduk dan pembangunan ekonomi.

Namun demikian, dalam menerokai pembangunan sumber air yang baharu, iaitu pelaksanaan dan Pembangunan Projek Loji Rawatan Air Langat 2, ia hendaklah dilaksanakan dengan mengambil kira faktor-faktor kepentingan pengguna dan berasaskan prinsip – value for money bukan sahaja dari segi kos pembangunan fizikal tetapi juga hendaklah merangkumi kos operasi yang akan terlibat di masa akan datang.

Saya berpendapat, inilah perkara pokok yang selama ini saya dan rakan-rakan tekankan kerana setiap kos yang dibelanjakan itu akhirnya akan diterjemahkan dalam bentuk tarif yang akan ditanggung oleh pengguna.

Saya tidak mahu kejadian-kejadian yang lazim berlaku iaitu kos sesebuah pembangunan yang tidak terkawal dan mengakibatkan kos operasi dan penyelenggaraan turut melambung tinggi dari tahun ke tahun seperti pembinaan lebuh raya.

Akhirnya, yang menanggung kos tersebut adalah rakyat. Kos sara hidup meningkat, pendapatan benar mereka menurun. Mereka tiada pilihan lain. Air adalah keperluan asas bukan hanya kepada manusia malah kepada haiwan, pertanian malah industri juga turut memerlukan air.

Oleh yang demikian, saya sekali lagi menyarankan agar Kerajaan memastikan supaya setiap kontraktor yang terlibat di dalam Projek Pembangunan Loji Rawatan Air Langat 2 hendaklah dilantik melalui sistem tender terbuka yang telus bagi memastikan kontraktor yang dilantik itu kelak adalah kontraktor yang benar-benar mahir dan berpengetahuan.

Ini adalah untuk memastikan setiap komponen projek yang disiapkan oleh kontraktor yang telah dilantik itu benar-benar boleh beroperasi dengan baiknya tanpa memerlukan sebarang kos pembaikan sebaik sahaja projek itu diserahkan kepada operator yang akan mengoperasikan loji tersebut.

Kerajaan Negeri Selangor telah bersetuju dengan pelaksanaan Projek Pembangunan Loji Rawatan Air Langat 2.

Memandangkan apabila siapnya Projek Pembangunan Loji Rawatan Air Langat 2 ini, bayaran harga air mentah akan dibayar oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui Perjanjian Jual Beli Air Mentah Pahang ke Selangor, maka saya dengan tegas menyarankan supaya Negeri Selangor turut terlibat dan diberi peranan dalam membuat keputusan berkenaan pelaksanaan projek ini.

Mengikut perancangan asal sebelum penubuhan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Projek Pembangunan Loji Rawatan Air Langat 2 ini akan dibiayai oleh Kerajaan Negeri Selangor.

Kerajaan Negeri melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) telah memulakan kerja-kerja perancangan awal sejak tahun 2001 bagi mereka bentuk dan membina Loji Rawatan Air ini.

Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan sejumlah 443 ekar tanah milik Kerajaan Negeri daripada 990 ekar keseluruhan tanah untuk Projek Pembangunan Loji Rawatan Air Langat 2 tanpa sebarang balasan.

Malah terdapat juga keputusan Jemaah Menteri pada 16/1/2008 yang menyatakan persetujuan untuk KDEB di lantik sebagai Syarikat Pengendali dan Penyelenggaraan (O & M) LRAL 2 setelah ia siap di bina. Selepas pertukaran Kerajaan pada 08 Mac 2008, tiada sebarang maklumat dan keputusan yang dibuat mengenai syarikat pengendali dan penyelenggaraan (O & M).

Tuan Yang Dipertua,

Kerajaan Persekutuan tidak membincangkan mengenai apakah spesifikasi teknikal Projek Pembangunan Loji Rawatan Air Langat 2 dengan Kerajaan Negeri Selangor sebaliknya hanya mengemukakan permohonan untuk membuat pengambilan balik tanah milik individu yang terletak di Negeri Selangor khususnya di Hulu Langat dan permohonan untuk mendapatkan Kebenaran Merancang.

Setelah kontraktor dilantik oleh Kerajaan Persekutuan, barulah Kerajaan Negeri Selangor mendapat peluang untuk meneliti spesifikasi teknikal Loji Rawatan Air Langat 2 untuk fasa pertama.

Kerajaan Negeri Selangor berpandangan beberapa spesifikasi yang dibuat untuk projek ini adalah berlebihan (excessive). Ini sudah tentu akan melibatkan peningkatan kos pembangunan dan kos operasi.

Tuan Yang Dipertua,

Saya ingin menarik perhatian ahli-ahli Yang Berhormat bahawa di dalam spesifikasi sistem proses yang dicadangkan untuk Pembangunan Loji Rawatan Air Langat 2, ia akan melibatkan dual media yang menggunakan granular activated carbon (GAC).

Penggunaan sistem proses dual media yang menggunakan granular activated carbon (GAC) adalah sesuai untuk sumber air yang tercemar yang mencapai tahap kelas 4 iaitu pengkelasan air yang terburuk.

Persoalan saya adalah apakah air yang mengalir di Sungai Semantan yang akan dialirkan ke Negeri Selangor berada pada tahap kelas 4 iaitu sumber air yang mempunyai kualiti yang rendah? Mengapa sungai ini dipilih dan mengapa kerajaan Persekutuan mengambil opsyen ini sebagai jalan penyelesaian menyelesaikan masalah air di negeri Selangor.

Kerajaan Negeri Selangor akan membayar kadar sepuluh sen per cubic meter kepada Kerajaan negeri Pahang bagi bayaran air mentah tersebut.

Pada ketika ini, pihak operator air negeri Selangor hanya membayar sebanyak satu sen per cubic meter sahaja. Semua kos ini, akhirnya akan dipindahkan kepada pengguna melalui bayaran tariff air.

Persoalan-persoalan beginilah yang menyebabkan Kerajaan Negeri Selangor berpendirian bahawa dalam melaksanakan Projek Pembangunan Loji Rawatan Air Langat 2, Kerajaan Negeri Selangor hendaklah juga mempunyai kuasa dalam membuat keputusan.

Memang tidak dinafikan Kerajaan Persekutuan telah membentuk jawatan kuasa Pemandu pelaksanaan Projek Pembangunan Loji Rawatan Air Langat 2 dan sistem agihan (JKPPP LRAL2) di mana YAB Dato’ Menteri Besar Selangor dan agensi Kerajaan Negeri Selangor merupakan ahli di dalam jawatan kuasa tersebut.

Namun persoalannya, sejauh manakah teguran dan pandangan dari Kerajaan Negeri Selangor boleh didengar dan dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan di dalam pelaksanaan projek ini.

Tuan Yang Dipertua,

Satu lagi aspek yang ingin saya sentuh dalam perbahasan saya adalah usaha mengatasi masalah kehilangan air tidak berhasil atau NRW.

Pengurangan NRW merupakan usaha yg baik untuk meningkatkan kecekapan sistem agihan. Peningkatan kecekapan sistem agihan boleh mengelakkan pembaziran di mana air yang dikeluarkan dari loji rawatan air dapat disampaikan sepenuhnya kepada pengguna dan tidak hilang begitu sahaja, sedangkan dalam pengiraan tarif yang kenakan kepada pengguna, jumlah pengeluaran air dari loji rawatan air telah diambil kira.

Bagi Negeri Selangor, sejumlah RM1,169 juta telah dibelanjakan untuk menurunkan kadar NRW, namun setakat tahun 2012, kadar pencapaian NRW masih pada kadar 33%.

Kegagalan menurunkan NRW sebagaimana yang termaktub dalam perjanjian konsesi ini bukanlah berpunca dari kekurangan peruntukan tetapi sebenarnya berpunca dari kelemahan operator agihan tunggal di Negeri Selangor dalam merancang dan melaksanakan program penurunan NRW secara berkesan.

Kegagalan penurunan NRW itu juga menyebabkan Negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya secara relatifnya terlepas peluang untuk mendapatkan penjimatan yang dianggarkan sebanyak 663JLH yang sepatutnya dihasilkan dari penurunan NRW yang telah dijanjikan.

Kerajaan Negeri Selangor tidak mahu sekiranya kadar NRW masih gagal diturunkan, ia akan memberikan kesan pembaziran ke atas sumber-sumber air sedia ada dan sumber air baru yang akan dikeluarkan dari Loji Rawatan Air Langat 2 sedangkan semua pihak menyedari hakikat bahawa sumber air telah semakin berkurangan.

Saya berpendirian bahawa adalah menjadi kewajipan untuk mempertahankan dan mengutamakan kepentingan rakyat sebagai pengguna dan bukannya membebankan rakyat dengan membayar tarif bagi perbelanjaan yang sia-sia.

Setiap sen yang dibelanjakan dalam program menurunkan NRW ini akhirnya akan diterjemahkan dalam bentuk tarif yang akan dibayar oleh rakyat jelata di dalam bil bulanan mereka.

Kerajaan Negeri Selangor sentiasa mengutamakan kebajikan serta kemapanan generasi sekarang dan generasi akan datang supaya tidak terbeban dengan pelbagai hutang (unnecessary debt).

Bagi Kerajaan Negeri Selangor, penyelesaian ke atas semua masalah pembaziran ini boleh diatasi dengan memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air sebagaimana yang telah pun dipersetujui di antara Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan.

Kerajaan Negeri Selangor menggesa supaya semua pihak yang terlibat hendaklah menghormati segala terma dan syarat yang telah dipersetujui dalam memuktamadkan penstrukturan semula itu.

Intipati penstrukturan semula itu adalah untuk mengujudkan perkhidmatan air kepada rakyat yang hendaklah diuruskan oleh agensi milikan Kerajaan bukan di tangan swasta yang boleh menggunakannya sebagai senjata untuk memeras ugut sebuah Kerajaan dan menindas rakyat dalam hal kenaikan tarif serta memberi perkhidmatan sewenangnya apatah lagi keperluan kepada air tidak ada gantinya.

Lebih malang lagi apabila perkhidmatan ini dimonopoli oleh syarikat yang berorientasi untung semata-mata.

Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri Selangor menekankan supaya dalam keghairahan untuk membelanjakan peruntukkan sebanyak RM112 juta bagi tujuan menurunkan kadar NRW, wajiblah mengunakan kaedah tender terbuka yang telus dan adil.

Penilaian ke atas setiap projek yang telah dilaksanakan sebelum ini hendaklah juga dinilai semula untuk melihat sejauh mana keberkesanan program yang telah dilaksanakan berbanding dengan peruntukan yang telah dibelanjakan.

Pihak-pihak yang terlibat di dalam meluluskan program penurunan NRW ini juga hendaklah bersikap lebih terbuka untuk menerima pandangan dari pihak-pihak lain dan bukan semata-mata menerima sebulat-bulatnya segala cadangan yang dikemukakan oleh satu-satu pihak itu.

YAB. TUAN MOHAMED AZMIN BIN ALI
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR

Categories
NASIONAL

Bajet 2015: Nafi peruntukan pembangunan Kelantan, Kerajaan Pusat terus berdendam

Oleh: AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Ahli Parlimen Kelantan melahirkan kekecewaan terhadap pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana terus meminggirkan negeri itu dalam Bajet 2015.

Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar menjelaskan, suatu yang memeranjatkan apabila Kerajaan Pusat terus berdendam dengan Kelantan apabila menafikan peruntukan pembangunan untuk negeri itu.

Beliau berkata, peruntukan yang kecil diberikan hanya menaik taraf landasan keretapi dengan peruntukan RM150 juta sahaja membabitkan laluan Gua Musang ke Tumpat.

Datuk Kamarudin Jaffar“Kita ikuti pembentangan bajet yang diumumkan itu, banyak tempat disediakan kemudahan awam seperti lebuh raya termasuk Sabah dan Sarawak.

“Kita menyokong apa yang Sabah dan Sarawak dapat tetapi paling memeranjatkan bila Kelantan tidak tersenarai langsung dalam pelaksanaan lebuh raya.

“Nampaknya, Kelantan terus menjadi mangsa kerana tidak mengundi Barisan Nasional (BN), bila kita tidak pilih maka tiada peruntukan diberikan,” katanya di Lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff, menegaskan atas prinsip Persekutuan, kerajaan seharusnya mengagih kekayaan negara dengan adil.

“Rakyat Kelantan turut membayar cukai termasuk GST yang akan dilaksanakan nanti. Tetapi cukai yang rakyat Kelantan bayar itu tidak dikembalikan untuk pembangunan serta kemudahan awam, ini satu sikap yang tidak adil,” katanya.

Najib bajetKatanya, sikap kerajaan yang berat sebelah itu akan mengakibatkan jurang kekayaan antara Kelantan dan Pantai Barat tidak seimbang.

Kekecewaan itu turut dikongsi Ahli Parlimen Kubang Kerian, Pengkalan Chepa dan Bachok yang turut menyifatkan Najib gagal berlaku adil dalam pentadbirannya serta menjadikan Kelantan sebagai dendam politik.

Pada masa sama, mereka turut kesal apabila tidak ada seorang ahli parlimen BN Kelantan yang berani menegur Perdana Menteri kerana meminggirkan negeri itu.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

Bajet 2015: Roh siapa bakal tergantung di langit?

Oleh: Aina Sayuty

PM Najib dalam pembentangan Bajet 2015 lalu, dengan penuh kesombongan, mengingatkan anak-anak muda bahawa roh mereka bakal tergantung di langit jika tidak membayar hutang PTPTN.

Anak-anak muda penghutang PTPTN adalah sebenarnya mangsa kepada penswastaan dan rasuah dalam pendidikan.

Isu PTPTN dan IPTS adalah dua isu yg dicipta oleh pemerintah BN dalam menjayakan agenda menjarah hartabenda rakyat.

Anak-anak muda Malaysia yang sepatutnya berhak untuk mendapat pendidikan percuma, sebaliknya diganti dengan pendidikan berbayar, berhutang dan berisiko disekat dari ke luar negeri. Bahkan, mereka ditakut-takutkan bahawa nanti roh- roh penghutang tegar PTPTN akan juga tergantung di langit!

Adakah ulamak-ulamak terompah kayu di sekeliling PM Najib tidak mengingatkan sama, akan apa risiko sebagai pemerintah yang zalim dalam rujukan Sunan Sittah (Enam kitab hadis muktabar)

Dan adakah PM Najib tidak mengetahui bahawa orang yang berhutang adalah termasuk 8 asnaf (kategori) yang perlu dibantu oleh kerajaan melalui sistem Zakat.

Zaman dimana anak muda mahasiswa diberi biasiswa, makanan dan yuran pendidikan percuma, kian tinggal sejarah.

Zaman kini di bawah pemerintah zalim PM Najib, anak muda mahasiswa bukan setakat diikat kaki mereka di dunia, bahkan menurut kepercayaan PM, roh-roh penghutang tegar PTPTN ini bakal tergantung dilangit.

Persoalannya bagaimanakah bentuk perjalanan roh pemerintah yang zalim?

* Aina Sayuty adalah Presiden Kelab Srikandi Urduja Kelantan/Anggota AMK Kelantan

Categories
KENYATAAN MEDIA

Bajet 2015: Pengharapan yang kecundang

Oleh: Hj Osama

Setiap tahun rakyat Kelantan termanggu di depan televisyen melihat Menteri Kewangan membentangkan belanjawan. Pengharapan yang cukup tinggi untuk melihat sesuatu mengalir ke bumi Kelantan.

Tahun ini sekali lagi bajet yang kononnya untuk rakyat mengecewakan rakyat Kelantan. Di saat rakyat Sabah mendapat manfaatnya bila PM mengumumkan pembinaan lebuhraya Borneo sejauh 1000 kilometer lebih. Rakyat Kelantan masih bergelut dengan lebuhraya maut.

Lebih memeritkan, disaat hasil bumi Kelantan yang disedut secara rakus oleh Petronas seolah kami ini umpama tidak mempunyai apa-apa hak yang sewajarnya.

Dato Mustapha Mohd yang juga Menteri penuh dalam kabinet Najib seakan mengiyakan dan membiarkan Kelantan diperlakukan sedemikian.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Kelantan melihat situasi ini dengan cukup serius. Adakah hanya kerana perbezaan politik yang berlainan, Kerajaan Pusat menafikan hak rakyat Kelantan? Apakah rakyat Kelantan tidak mempunyai maruah sehingga begitu teganya Kerajaan Pusat mempermainkannya.

Selain lebuhraya, rakyat Kelantan juga melihat isu Royalti dan menaiktaraf Lapangan Sultan Ismail sepatutnya diberikan keutamaan dan hak yang sepatutnya. Namun seperti tahun-tahun sebelumnya ia hanya mimpi.

SAMM Kelantan berjanji, akan bersama-sama rakyat Kelantan mengembeleng tenaga untuk menuntut hak ini. Hak yang dinafikan oleh rejim zalim BN.

* Hj Osama adalah Penyelaras SAMM Kelantan

Categories
NASIONAL

Pencerobohan nelayan asing patut ditangani elak nasib nelayan tempatan terjejas

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Belanjawan 2015 yang dibentangkan semalam tidak menyentuh isu pencerobohan nelayan asing di kawasan perairan negara.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Kamarul Bahrin Raja Ahmad berkata, perkara ini sepatutnya diberikan tumpuan berikutan kepentingan nelayan tempatan semakin terancam disebabkan kegiatan nelayan asing yang semakin bermaharajalela.

Kamarul Bahrin“Saya baru melawat Pelabuhan Chendering di Terengganu dan didapati banyak nelayan asing seperti Vietnam sebagainya menggunakan pelabuhan itu sebagai pengkalan mereka untuk keluar masuk dengan pergerakan mereka sangat bebas, keluar masuk, tanpa kuarantin dan sebagainya.

“Bila bercakap dengan orang kampung, mereka kata kalau di darat macam itu, di laut lagilah macam-macam masalah.

“Penguatkuasaan masih tidak menampung keperluan nelayan dan bila kita adu, Menteri memang berjanji untuk selesaikan tetapi apa yang berlaku banyak serah tanggungjawab, orang ini kata tanggungjawab Maritim, yang ini kata Jabatan Perikanan, yang ini pula kata polis laut dan sebagainya,” kata Raja Kamarul Bahrin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai Belanjawan 2015 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat petang semalam.

nelayanJelas beliau lagi, rata-rata bot yang digunakan nelayan asing seperti Vietnam jauh lebih besar dari bot tempatan dan sesetengah mereka dikatakan membawa senjata api.

Keadaan ini menyebabkan nelayan asing ini mampu ‘berkuasa’ di perairan negara sehingga menjejaskan pendapatan nelayan tempatan.

“Kita perlukan sistem kawalan yang betul dan cekap bagi memastikan kawasan perikanan kita dilindungi,” kata beliau lagi.

EZY

Categories
NASIONAL

Zairil: Pembangunan guru dikurangkan RM600 juta rugikan pelajar

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Pengurangan peruntukan bagi pembangunan perguruan berjumlah RM600 dalam Belanjawan 2015 memberi impak negatif terhadap usaha melahirkan pelajar berkualiti.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berkata pembangunan guru merupakan perkara penting untuk pendidikan kerana kualiti guru secara langsung memberi impak yang besar kualiti murid,

zairil wacana dap“Saya lihat pembangunan profesional untuk guru sudah turun banyak kira-kira RM600 juta,” kata Zairil ketika ditemui selepas selesai Belanjawan 2015 dibentangkan di Dewan Rakyat semalam.

Kata Zairil, kerajaan perlu meneliti lebih mendalam bagi memastikan tahap profesionalisme perguruan sentiasa dipertingkatkan.

“Saya lihat ini suatu perkara yang perlu diteliti kerajaan dan saya akan bangkitkan semasa perbahasan nanti,” kata beliau lagi.
EZY

Categories
NASIONAL

Respon Bajet: BRIM umpama gula-gula, tak kena GST bukan jaminan harga kekal

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 11 OKT: Kerajaan Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya lebih bijak dalam mengurangkan beban rakyat dan bukan sekadar menabur gula-gula seperti Bantuan Rakyat 1 Malaysia sahaja.

Bagi Zuriati Musa, 30, yang menetap lebih 10 tahun di Lembah Klang berkata peruntukan BRIM melebihi RM 4 billion setahun lebih baik digunakan untuk mengawal harga barang asas.

BzkkMesCUAARs1LKatanya, peruntukan sebanyak itu juga lebih baik disalurkan untuk mengekalkan subsidi petrol yang lebih berkuasa dalam mengawal rantaian harga barang keperluan.

“Saya tidak nampak bagaimana BRIM itu mampu untuk membantu rakyat mengurangkan beban hidup yang semakin tinggi kosnya.

“Menteri pun cakap gaji RM6,500 itu sampai ikat perut, jadi apalah sangat BRIM yang tak sampai RM1,000 itu.

respon“Dapat tak Menteri bayangkan apa yang kami rakyat marhaen terpaksa ikat,” luah Zuriati kepada Selangor Kini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembentangan Bajet 2015 yang didakwa pro-rakyat dan mampu membantu rakyat menghadapi kos sara hidup yang tinggi.

Selain pemberian BRIM yang dinaikkan sehingga RM950, Najib juga mengumumkan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) bermula April tahun hadapan.

Berhubung pelaksanaan GST, pegawai eksekutif, Manisa Mohd Azman, 28, pula menyifatkan pengecualian sesetengah barangan daripada GST sebagai drama BN semata-mata.

respon1“Memanglah dikecualikan kononnya petrol RON 95, roti putih, ubat-ubatan dan sebagainya, tetapi adakah bermakna harga barang tidak naik. Tidak. Tiada jaminan kan.

“Bagi saya, nak naikkan harga barang, nak laksana GST seperti lebih 120 buah negara boleh, tetapi naikkanlah tangga gaji rakyat sekali.

“Kalau tangga gaji masih macam 10 tahun dulu, adakah adil harga barang terus meningkat.

“Ya, kami memang hidup lagi, masih ‘survive’, tetapi sedarkan Najib bagaimana kami bergelut untuk teruskan hidup,” tegasnya.

EZY

Categories
SELANGOR

Azmin: Bajet 2015 ibarat ekonomi kapital kroni bukan ekonomi kapital

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Belanjawan 2015 Kerajaan Persekutuan yang diumumkan semalam bercorak ekonomi kapital kroni dan bukanlah kapital ekonomi seperti diumum Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkannya semalam.

Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata, ini berikutan, belanjawan itu tidak menumpukan kepada ekonomi rakyat sebaliknya terus memberikan subsidi besar kepada syarikat kroni mereka.

“Saya melihat bajet ini tak memberikan fokus terhadap ekonomi rakyat seperti yang diumumkan Perdana Menteri kerana ekonomi rakyat memerlukan pendidikan berkualiti, latihan dan inovasi.

“Kalau kita tengok peruntukan Jabatan Inovasi Malaysia RM50 juta sahaja sedangkan subsidi syarikat besar berbilion jumlahnya.

” Jadi, mana fokus kerajaan melihat ekonomi rakyat terus subur dan bagi saya ini bukan “capital economy’ tetapi ‘crony capitalis economy’ yang memberikan keuntungan kepada tauke dan membebankan rakyat,” kata Mohamed Azmin ketika ditemui sejurus Belanjawan 2015 dibentangkan di Dewan Rakyat semalam.

Sementara itu, Najib dalam belanjawannya juga tidak menyentuh isu membenteras rasuah, ketirisan dan pembaziran yang berlaku dalam pentadbirannya.

Hal ini berbeza dengan Belanjawan Alternatif Pakatan Rakyat (PR) yang dibentangkan sehari sebelumnya yang banyak mengambil kira isu terbabit.

EZY

Categories
NASIONAL

Pemikir: “Bagaimana roh kroni kapitalis hutang ratusan juta?”

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 11 OKT: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diingatkan untuk menggunakan hadith berkaitan hutang terhadap kroni Barisan Nasional (BN) dan bukan kepada peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan TInggi Nasional (PTPTN) sahaja.

Pengarah Pemikir Kaum Muda, Asrul Nizam mengingatkan Najib untuk tidak mensasarkan kelompok rakyat biasa dengan mempergunakan dalil dan hadith bagi tujuan mengutip hutang.

hutangTetapi, kata Asrul, kelompok kapitalis kroni ini pula terus dibiarkan bebas berkeliaran walaupun mempunyai bebanan hutang ratusan juta ringgit.

“Jangan Najib lupa bagaimana pentadbirannya melupuskan hutang berjumlah RM589 juta oleh Tan Sri Tajuddin Ramli daripada Pengurusan Danaharta Nasional Berhad.

“Ini adalah satu contoh paling klasik bagaimana pihak Kerajaan Persekutuan memberikan layanan sungguh istimewa kepada kaum kapitalis kroni terpilih.

“Adakah hanya roh peminjam PTPTN sahaja yang akan tergantung-gantung tetapi kelompok kapitalis kroni terpilih ini tidak termasuk dalam golongan seperti diriwayatkan hadith itu,” kata Asrul dalam satu kenytaan hari ini.

Semalam, Najib dalam pembentangan bajet di Dewan Rakyat mengingatkan peminjam PTPTN untuk membayar hutang PTPTN sebelum dikenakan tindakan tegas.

Najib juga menawarkan 20 peratus kepada peminjam yang mahu menjelaskan sepenuhnya hutang PTPTN sehingga Mac tahun depan sementara 10 peratus diberikan kepada mereka yang membayar secara konsisten selama 12 bulan.

“Menyakitkan hati rakyat apabila Kerajaan Persekutuan menawarkan pelan pelupusan hutang atau pelan penstrukturan hutang kepada kroni seperti saudagar permaidani, Deepak Jaikishan.

“Tambah pedih luka di hati rakyat, apabila kerap kali kerajaan menggunakan pelan tindakan bail-out menyelamatkan syarikat kapitalis kroni mempunyai beban hutang berbillion ringgit.

“Tetapi, memilih mempergunakan hadith dan tindakan penyenaraian nama di CCRIS untuk mengugut rakyat dalam isu hutang PTPTN,” tegasnya lagi.

Pada masa sama, Asrul menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pelaku-rasuah sama ada di kalangan penjawat awam biasa, pegawai kerajaan, Menteri Kabinet dan kelompok kapitalis kroni tanpa ada sikap memilih.

Katanya, tanpa iltizam politik untuk mengheret jerung rasuah ke muka pengadilan, negara terus hilang daya saing dan reputasi di pentas dunia.

EZY

Categories
NASIONAL

Bajet 2015: Kerajaan sembunyi hutang sebenar disebalik penurunan defisit

SHAH ALAM 11 OKT: Kerajaan Pusat sebenarnya menyembunyikan jumlah hutang dan perbelanjaan besar yang tidak dimasukkan dalam belanjawan di sebalik penurunan defisit kepada tiga peratus dalam Belanjawan 2015.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berkata, berbanding angka dibentangkan, tipu-helah yang berlaku di sebaliknya adalah lebih membimbangkan.

pix-for-wawancara-tony-pua-DALAM1“Angka dilihat nampak bagus sebenarnya menutup hakikat bahawa kebanyakan perbelanjaan berkaitan kerajaan dibuat di luar kerangka belanjawan.

“Ini bermakna kerajaan ada ruang untuk memanipulasi perakaunan inovatif (bagi menyembunyikan angka sebenar) untuk terus berbelanja besar dan menghabiskan berbilion ringgit dengan hutang tambahan, tanpa mengubah peratusan defisit dalam belanjawan rasmi,” kata Tony Pua dalam kenyataan media.

Tony Pua berkata, ia dapat dilihat melalui tahap ‘beban bergantung’ (contingent liability) melalui hutang oleh syarikat milik kerajaan.

“Ini merujuk kepada hutang tersembunyi yang tidak termasuk dalam hutang rasmi, tetapi kerajaan bertindak sebagai penjamin kepada hutang tersebut,” katanya.

Tambah Tony Pua, hutang itu meningkat dari RM84.3 bilion pada 2009 ketika Najib mula menjadi Perdana Menteri, kepada RM157.5 bilion sehingga Disember 2013.

Bermakna, hutang tersembunyi kerajaan meningkat sebanyak 86.8 peratus sepanjang Najib mula mengetuai pentadbiran negara.

Katanya, angka itu dijangka bertambah berikutan pelbagai projek infrastruktur yang dikendalikan syarikat milik kerajaan seperti MRT Corp dan Syarikat Prasarana Negara Bhd.

Tahun lalu, kerajaan menjamin RM6.5 bilion untuk projek pembinaan MRT, yang mencatat peningkatan daripada jangkaannya pada 2012, iaitu RM2.4 bilion.

“Malah ia dijangka akan meningkat tahun ini kerana kos fasa pertama MRT yang masih berlangsung sahaja melebihi RM22 bilion,” kata Tony Pua.

Katanya, peningkatan besar dalam ‘beban bergantung’ menunjukkan peratusan defisit dalam belanjawan rasmi jauh berbeza daripada defisit sebenar yang ditanggung.

“Ia juga menunjukkan perwakilan yang salah (under-representation) tentang hutang tersembunyi, kerana kebanyakannya secara tersirat dijamin oleh kerajaan,” katanya lagi.

EZY

Categories
SELANGOR

MB: Terima kasih PM ikut langkah Selangor potong gaji pemimpin

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana mengikut langkah Kerajaan Negeri itu memotong gaji Menteri Besar.

“Perdana Menteri mengikut langkah Negeri Selangor, saya ucapkan terima kasih,” kata Mohamed Azmin ketika ditemui di pekarangan Dewan Rakyat elepas pembentangan Belanjawan 2015 semalam.

Najib bajetJelas Mohamed Azmin langkah pemotongan gaji diambil itu bagi mengurangkan belanja pengurusan dan menumpukan belanja pembangunan sekaligus menjana ekonomi rakyat.

Bagaimanapun tambah beliau lagi, ini bertentangan dengan Belanjawan 2015 Kerajaan Persekutuan yang walaupun membekukan kenaikan gaji Perdana Menteri dan Menteri Kabinet lain tetapi memperuntukkan belanja pengurusan lain yang besar.

Beliau turut memberitahu pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) tidak banyak memberi kesan dalam membantu pertumbuhan ekonomi rakyat.

EZY