Categories
SELANGOR

Syarikat korporat digalak bantu bina masjid

Oleh: HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 30 JAN: Pembangunan masjid bagi memenuhi keperluan qariah di seluruh Selangor kini penting berikutan peningkatan jumlah penduduk tinggi.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Haris Kasim, berkata berdasarkan bancian, pembinaan lebih 100 masjid perlu dilakukan bagi tujuan berkenaan.

masjid03Katanya, sehingga kini terdapat 410 masjid di seluruh Selangor dan masjid di Ara Damansara adalah yang ke 411.

“Kita membuat analisis keperluan sebenar mengikut kehendak qariah maka lebih 100 masjid perlu dibina di Selangor. Keperluan penyediaan masjid begitu tinggi di sesebuah kawasan.

“Usaha Sime Darby Property Bhd membina masjid ini sesuatu yang amat baik dan dihargai bukan sahaja umat Islam tetapi Kerajaan Negeri sendiri,” katanya.

Haris berkata demikian ketika berucap dalam majlis penyerahan masjid dibuat Sime Darby Property Bhd kepada Jais di Ara Damansara di sini, semalam.

Beliau berkata, kekurangan dinyatakan bukan bermakna Kerajaan Negeri tidak mampu membina 20 hingga 30 masjid dalam masa setahun tetapi banyak faktor lain menyebabkan usaha menjadi terhad terutama berkaitan tanah.

Katanya, Jais merancang pelbagai program dan aktiviti bagi mengimarahkan masjid supaya segala kemudahan tersedia digunakan sebaiknya selain memberi manfaat kepada umat Islam dalam memenuhi kehendak mendalami ilmu agama.

masjid01“Kita menyusun beberapa program contohnya Multaqa Imam. Ia salah satu program di mana kita ingin melihat imam dilantik untuk masjid di Selangor adalah imam yang profesional.

“Imam sekarang ini tidak seperti dulu dan ia membina satu persepsi baharu. Selain menjadi imam, dia juga tokoh masyarakat, boleh memimpin, memberi ceramah, membaca khutbah dan sebagainya,” katanya.

Penyerahan masjid disempurnakan Ketua Hartanah Malaysia, Sime Darby Propery Bhd, Mohd Salem Kailany kepada Haris dan seterusnya menyampaikan kepada Nazir masjid, Datuk Abdul Rahim Mokti.

Masjid di Ara Damansara dibangunkan Sime Darby Property Bhd dengan kos RM15 juta di kawasan seluas enam ekar berkonsep teknologi hijau.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.