Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Datum Jelatek: Cerita lama jadi ungkitan

Isu Datum Jelatek banyak diperdebat kebelakangan ini berikutan ada beberapa perkara dibangkitkan Badan Bertindak Datum Jelatek (BBDJ) walaupun banyak penjelasan diberi. Wartawan Selangor Kini, NAZLI IBRAHIM menemu bual Pemangku Pengurus Besar PKNS merangkap Pengerusi Datumcorp International, Azlan Md Alifiah. Turut sama ialah Ketua
Perancang Projek Datum Corporation International, Ahmad Zaidee Leham.

Sebelum projek itu dihebah kepada umum, adakah PKNS menjalankan kajian impak dari segi kesan ekonomi dan lain-lain. Jika ada, adakah kesimpulan kajian itu?

PKNS menjalankan kajian bagi projek Datum Jelatek. Kelulusan Kebenaran Merancang (KM) diperoleh dari Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pada 11 November 2011. Dalam keputusan KM mengandungi kelulusan kajian Impak ke atas Ekonomi setempat, Kesan Sosial dan Kesan Penilaian Trafik (TIA) kepada kawasan sekitar.

Kesimpulannya, projek itu bukan sahaja tidak mengakibatkan kesan negatif, malah meninggikan lagi nilai hartanah dan ekonomi setempat, seterusnya meningkatkan gaya hidup sosial Melayu bandar dengan kadar kesesakan trafik yang terkawal kerana adanya transit yang diintegrasi secara terus dengan projek berkenaan.

Interview Khas PKNS isu Datum jelatek (1)PKNS didakwa membuat notis mengelirukan penduduk hingga menganggap lot kedai mampu milik tidak menggambarkan projek sebenar. Komen?

PKNS mengambil semula Pusat Bandar Keramat untuk dibangunkan sebagai kawasan pembangunan yang ada nilai ekonomi tinggi.

PKNS membayar pampasan RM250,000 hingga RM350,000 untuk unit rumah terlibat. Bagi unit rumah kedai, pampasan dibayar RM450,000 hingga RM500,000 mengikut keluasan unit.

Jadi tidak wujud perkara serah balik pemilikan hartanah kerana semua penduduk yang terlibat setuju mengambil pampasan kecuali sebahagian kecil. Hal itu sudah diselesaikan oleh mahkamah.

PKNS ada sediakan lot kedai mampu milik seluas 40,000 kaki persegi atau 200 unit ruang niaga mampu milik yang diberi keutamaan kepada anak-anak di Taman Keramat untuk memilikinya.

Berkenaan 200 unit ruang niaga mampu milik, adakah ia sudah dimiliki atau masih terbuka untuk dibeli?

Masih terbuka. Kita belum buat jualan. Cuma, kita menerima pendaftaran bakal pembeli. Data menunjukkan 1,097 bakal pembeli Bumiputera yang berminat membeli rumah atau unit kedai. Kita mengalu-alukan mereka.

Benarkah wujud satu papan tanda bertulisan Cina dinaikkan pada awal 2013, berbeza kandungannya dengan notis awal hingga menyebabkan ramai tertanya-tanya motif projek berkenaan?

Datum JelatekIa isu lama. Ketika itu, PKNS melantik Wiramas Sdn Bhd untuk kerja pemasar-an. Selepas itu, semua urusan diambil alih sepenuhnya oleh Datumcorp International Sdn Bhd (DCI) iaitu anak syarikat milik penuh PKNS, semua perjanjian bersama Wiramas, dibatal. Ini kerana mereka melanggar terma dan syarat kontrak.

Cerita lama itu tidak relevan. Saya ulangi, Datumcorp, anak syarikat 100 peratus milik PKNS adalah pemaju yang akan memastikan segala pembelian dan penjualan unit dilakukan oleh Datumcorp International, bukan Wiramas.

BBDJ mendakwa projek itu sebahagian program ‘Malaysia Rumah Ke-duaku’ berkonsep ‘Chinese Mainstream Districts’ untuk pelabur asing dari China mahupun Singapura. Benarkah?

Tidak benar sama sekali. Tiada satu unit pun yang terjual kepada warganegara asing. Malah, projek Datum Jelatek mendapat sambutan luar biasa khususnya dari Bumiputera. Seramai 1,097 Bumiputera mendaftar dan 20 peratus penduduk Keramat sendiri.

Jadi, konsep Chinese Mainstream District itu ada kaitan dengan Wiramas?

IMG_9771Saya rasa perkara itu dikaitkan kerana ia mungkin strategi pemasaran Wiramas. Isu itu sudah tamat. Kita sudah tamatkan kontraknya.

Mengikut BBDJ, harga unit sangat tinggi dan tidak mampu dimiliki kebanyakan penduduk asal Taman Datuk Keramat. Komen?

Memanglah projek ‘high rise’ kediaman tinggi. Harganya antara RM500,000 hingga RM2 juta tetapi kita tawarkan pada harga RM1,000 setiap kaki persegi berbanding harga pasaran – RM1,400 atau RM1,500 sekaki persegi. Ia berpatutan untuk satu kediaman tinggi.

Pembangunan itu bakal memberi pulangan kepada PKNS untuk digunakan bagi membina rumah mampu milik. Kita anggarkan, daripada keuntungan itu, antara 3,000 hingga 5,000 unit rumah mampu milik dapat dibina.

PKNS tidak ada geran membina rumah mampu milik. PKNS menanggung kerugian kerana memberi subsidi membina rumah mampu milik. PKNS cuma dapat melaksanakannya apabila ada keuntungan dari projek lain.

Kita harapkan keuntungan untuk menampung kos subsidi rumah mampu milik melalui projek Datum Jelatek. Kita melaksanakan projek rumah kos tinggi di sini manakala rumah mampu milik dapat dibina di tempat lain.

BBDJ mendakwa menjemput PKNS ke majlis penerangan bersama penduduk tetapi ditolak atas alasan pertemuan sudah diadakan di Masjid Al-Ansar tetapi mendakwa tidak pernah berlaku. Komen?

datumjelatek02Program penjelasan kepada penduduk pada 31 Mac 2013 dibuat di Dataran Masjid Al Ansar memang ada. Ia dinamakan ‘Sepetang Bersama Pemimpin’ anjuran JKP Zon 7, Taman Keramat dan disampaikan sendiri Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali serta dihadiri pegawai PKNS dan penduduk setempat. Kita ada bukti.

(Ahmad Zaidee mencelah menyatakan PKNS ada beberapa gambar termasuk Mohamed Azmin berucap depan hampir 400 penduduk)

Jadi, pertemuan itu ada tetapi BBDJ menafikan. Komen?

Mungkin BBDJ tidak hadir pada hari berkenaan. Program ada. Kita juga buat program pada November tahun lalu dan banyak lagi secara berkala. Malah kita juga jemput penduduk ke pejabat. Lebih 100 penduduk datang dan kita tunjukkan ‘mock-up’ projek. Mereka menerima dan ramai antara mereka atau anak, mendaftar sebagai pembeli.

BBDJ mahu menggunakan Akta Kebebasan Maklumat Negeri Selangor bagi mendapatkan maklumat projek itu. Komen?

Itu hak mereka mengikut Akta Kebebasan Maklumat Negeri Selangor. PKNS tiada apa-apa yang mahu disembunyikan di sebalik projek Datum Jelatek. Semuanya jelas dan telus.

BBDJ juga mahu memohon pendengaran awam Selcat daripada Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), malah mahu melaporkannya kepada SPRM? Komen?

Kita tidak menghalang mana-mana pihak memohon pendengaran awam. Itu terletak kepada DNS. Kalau hendak laporkan kepada SPRM, kita juga tiada halangan. Terpulang kepada BBDJ.

Leave a Reply

Your email address will not be published.