Categories
KENYATAAN MEDIA

Tak letak calon di DUN Chempaka, bukti Umno gentar lawan PAS

Oleh: DATUK HUSAM MUSA

Pengumuman Presiden Umno bahawa Umno BN tidak akan meletakkan calon untuk PRK Chempaka membuktikan kekuatan Umno BN di era kepimpinan beliau sudah menurun ke tahap tidak lagi berani berhadapan dengan lawan tradisinya.

Sekaligus membuktikan kata-kata keramat al Marhum Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat: ‘Tak dok sebab demo nak lawan kawe’ menjadi kenyataan hari ini.

Selepas pemergian Tok Guru, Umno BN mengakui kehebatan perjuangan beliau dan yang lebih penting, mesej perjuangan beliau – Islam dan bukan kebangsaan – adalah benar. Alhamdulillah.

Sekalipun tanpa penyertaan Umno BN, isu negara yang melibatkan DS Presiden Umno secara langsung iaitu 1MDB dan misteri pembunuhan Altantuya tetap akan diketengahkan dan tetap memerlukan tindak balas meyakinkan dari PM Malaysia.

Saya tidak nampak perpaduan ummah boleh ditegakkan tanpa ketelusan dalam isu kenegaraan yang besar seperti 1MDB dan isu jenayah seperti Altantuya.

Perpaduan Ummah hanya akan menjadi alat politik jangka pendek untuk menyelamatkan hayat politik individu dan parti tertentu semata-mata.

Bahkan, sebelum ini BN juga gagal meletakkan calon di Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang dan ia tidak membawa apa-apa makna kepada perpaduan ummah atau negara.

# Datuk Husam Musa adalah Naib Presiden PAS

Leave a Reply

Your email address will not be published.