Categories
EKONOMI

CATATAN PERJALANAN (ii): Hari-hari ‘telan’ pasta dan tuna

Siri 2: Siri ekspedisi kayuhan UK-Malaysia seperti diceritakan Badrul Hisham Baharuddin kepada wartawan Selangor Kini, NAZLI IBRAHIM

Hari pertama kayuhan dari London ke Paris agak meletihkan. Terpaksa bawa barangan seberat lebih 40 kilogram. Saya dan rakan dari Kelab Sick Siders Malaysia, Hafidz Abdul Hamid hanya mampu berbasikal sejauh 60 kilometer.

Selain beg berat, terpaksa membiasakan diri tidur dalam khemah – sesuatu yang asing bagi saya. Terpaksa mendirikan khemah dan memasak.

Perkhemahan kali pertama agak unik. Terjumpa ladang anggur yang cantik dengan bayaran lima pound. Bayangkan, kami berkhemah dikelilingi anggur, juga lembu dan kambing. Pemandangan mengkagumkan.

DCIM108GOPROMenu kami setiap hari hanya pasta yang dimasak dengan tuna. Itulah yang kami ‘hadap’ siang malam sepanjang perjalanan merentasi pendalaman di Eropah.

Jika di bandar, mudah temui makanan halal seperti kebab, kentang goreng, daging tetapi di pendalaman, agak sukar. Kami kena masak sendiri.

Kalau di bandar kecil, saya ke Carefour untuk membeli makanan segera dalam cawan yang dipanggil kus-kus seperti nasi kecil berlauk sayuran.

Makanan antara cabaran besar kerana kami memerlukan 4,000 kalori berbanding orang biasa, 2,000. Pasta dan tuna murah dan mudah didapati serta membekal tenaga.

Pada hari kedua, kami memasuki Perancis sejauh 40 kilometer yang dipisahkan Selat Inggeris. Bermakna kami perlu berbasikal dari untuk mengambil feri merentasi selat itu.

10442382_1053812251312601_48313844007028978_nKami tiba pada malam kedua. Agak kekok kerana negara itu amalkan sistem pemanduan kiri. Beberapa kali tersalah lorong. Mujur tiada sebarang kejadian buruk.

Kemudian, terjumpa taman lalu berkhemah dan tidur. Pada paginya, sebelum matahari naik, kami segera beredar bagi mengelakkan masalah dengan pihak berkuasa.

Sebenarnya, penduduk Perancis sangat ‘friendly’. Bila berjumpa pelancong terutama yang berbasikal, mereka menyapa: “Bonjour” yang bermakna hai. Ada mengajak minum kopi dan berbual-bual.

Mereka bertanya hala arah dan terkejut apabila kami menjawab: ‘Malaysia’. Mereka makin terperanjat mengetahui perjalanan kami memakan masa enam bulan.

Tapi, hampir semua penduduk pedalamannya tidak mengetahui kewujudan Malaysia. Cuma tahu Singapura dan Thailand. Jadi, saya beritahu Malaysia terletak antara kedua-dua negara itu.
Kami tiba di Paris pada hari kelapan dan disambut pihak kedutaan di Paris yang memberi layanan baik. Makanan, tempat tinggal dan sokongan moral.

DCIM115GOPROPaling mengujakan, kami ditempatkan di bilik hotel lima bintang betul-betul berhadapan Eiffel Tower. Tentunya kami tidak mensia-sia peluang ke Ei-fel Tower.

Cabaran ketika itu cuaca berubah mendadak, dari panas sepanjang hari kepada hujan sepanjang hari. Iklim tiba-tiba berubah dengan hujan lebat.

Kami turut menghadapi keadaan sama ketika berkayuh ke Stuggart, Jerman. Hujan sepanjang perjalanan. Sejuk. Tangan juga kebas.

Hujan menyukarkan kami untuk mendirikan khemah. Strategi kami, cepat-cepat buka khemah dan barulah buka zip pintu khemah itu untuk masuk ke dalam.

Satu lagi ialah gangguan sejenis siput berlendir yang tiada cengkerang. Terlalu banyak hingga menimbulkan rasa tidak selesa. Ia menjalar di khemah, bahkan basikal dan peralatan kami.

Selain itu, Musée du Louvre iaitu tempat menyimpan artifak berharga dari serata dunia semasa Napoleon menjajah dunia, juga tidak kurang menariknya. Semua artifak dari Mesir, Jerman, England, Afrika ada di situ.

Paling tak dilupakan, roti croisant yang enak sekali. Walaupun mahal – RM4 satu tetapi berbaloi. Mereka betul-betul menguasai resepi pembuatan roti itu berbanding  England dan Jerman.

Dalam perjalanan, kami juga bertemu penganut Islam Nigeria di satu pangsapuri yang dijadikan masjid di Perancis. Rata-ratanya orang Afrika. Mereka memberi kami makanan dan tempat tidur.

Selepas 15 hari, kami pun berkayuh ke Jerman.

Siri 3: Berdiri di sempadan tanpa sempadan

Leave a Reply

Your email address will not be published.