Categories
KENYATAAN MEDIA

Isu pasangan mualaf, Abim gesa rujuk pakar

Oleh: Muhammad Faisal Abdul Aziz

Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) merujuk kepada cadangan kerajaan Negeri Sembilan untuk mewajibkan pasangan yang ingin memeluk agama Islam untuk menyelesaikan pembubaran perkahwinan di Mahkamah Sivil dahulu sebelum boleh didaftarkan sebagai mualaf yang akan dikuatkuasakan dalam Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003.

Abim membantah cadangan tersebut sebaliknya Abim mengulangi pendirian untuk Mahkamah Syariah membuka pintu kepada pasangan bukan Islam untuk mendapatkan hak untuk didengari dan dibicarakan.

Keperluan “kedua-dua pihak hendaklah Islam” dalam peruntukan enakmen negeri perlu dipinda terlebih dahulu supaya Mahkamah Syariah khususnya di Negeri Sembilan dapat membuka pintunya kepada orang bukan Islam, dalam keadaan haknya bertindan dengan hak pasangan Islam, supaya hukum Islam yang mengambilkira prinsip keadilan dan hak pasangan bukan Islam dapat digunakan untuk mengadili pertikaian sebegini di Mahkamah Syariah.


Abim berpandangan, sekiranya pihak yang berhasrat memeluk Islam perlu menyelesaikan urusan perceraian di Mahkamh Sivil terlebih dahulu, maka ia akan menjadi satu halangan buat pihak tersebut untuk memeluk agama Islam serta merta.

Ini memandangkan, di peringkat Mahkamah Sivil, petisyen penceraian akan turut melibatkan tuntutan nafkah, penjagaan anak serta beberapa permohonan ansilari lain.dan terdapat kes penceraian yang dipertikaikan yang boleh berlanjutan hingga bertahun.

Maka, si bakal mualaf secara tidak langsung akan “dipaksa” untuk membekukan hasratnya untuk bertahun-tahun demi menyelesaikan fail penceraian terlebih dahulu.

Dalam pada itu Abim juga menyatakan bahawa ia akan menjadi suatu yang lebih sulit apabila semasa pendengaran petisyen perceraian di Mahkamah Sivil, pasangan yang tidak berhasrat untuk memeluk Islam membantah penceraian di atas alasan pihaknya tidak inginkan perceraian walaupun pasangannya ingin memeluk Islam.

Abim khuatir perkara ini akan dipertimbangkan oleh hakim Mahkamah Sivil di atas prinsip penceraian sivil, yang berkemungkinan menimbulkan prinsip penukaran agama tidak semestinya menjadi asas penceraian.

Sekiranya persoalan ini berlaku adakah pihak yang ingin memeluk Islam itu terus terlarang dari segi undang-undang negeri daripada menjadi Islam yang mana ia secara jelas bercanggah dengan prinsip kebebasan beragama yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, cadangan ini juga dilihat sebagai suatu yang bersifat sub judis memandangkan kes konflik antara pasangan yang melibatkan muallaf di Negeri Sembilan iaitu Deepa Subramaniam v Izwan Abdullah kini masih dalam pendengaran di peringkat Mahkamah Persekutuan.

Dalam perkembangan berkaitan, Abim menyambut baik usaha semua pihak yang berhasrat untuk membawa jalan penyelesaian dalam perkara ini sekaligus menjernihkan kekusutan antara agama yang berlaku dalam masyarakat.

Bagaimana pun sebarang usaha dan cadangan yang dibuat harus dilaksanakan berlandaskan rujukan pakar yang meliputi semua bidang khususnya bidang agama dan perundangan sendiri. – 7 Februari, 2015.

# Muhammad Faizal adalah Setiausaha Agung Abim dan Penyelaras Grup Peguam Abim.

Leave a Reply

Your email address will not be published.