Categories
BERITA UTAMA

Keunikan Hasbullah Awang sukar dicari ganti

Oleh: NAZLI IBRAHIM

Pemergian pengulas sukan terkenal tanah air, Allahyarham Datuk Hasbullah Awang suatu kehilangan besar dalam industri penyiaran negara.

secara peribadi, pemergiannya memberi kesan mendalam apatah lagi Allahyarham baru sahaja memberi ulasan kepada SelangorKini, berkaitan sukan tanah air.

Allahyarham membuat ulasan sempena memperingati hari lahir bekas penjaga gol kebangsaan, mendiang Datuk R Arumugam pada 27 Januari lalu yang dimuat dalam SelangorKini.

Malah, saya diarah untuk merisik kemungkinan menjadikan Allahyarham sebagai penyumbang SelangorKini bagi halaman sukan yang bakal diwujudkan.

hasbullahNamun, kita hanya merancang tetapi Allah SWT jugalah sebaik-baik perencana tetapi

Sorotan imbasan akhir Allahyarham mengenai hidupnya sebagai pengulas sukan amat memberi kesan dan kenangan mendalam.

Allahyarham Hasbullah ada memberitahu, beliau terlibat sebagai pengacara sukan secara kebetulan dalam satu kejadian di Stadium Kuantan.

“Masa itu, saya bertugas di RTM Kuantan. Sepatutnya pengulas bola waktu itu Othman Mohamad tetapi kerana emakmya sakit, dia suruh saya ganti.

“Ketika buat ulasan, ada pengarah dari RTM Kuala Lumpur, Amran Hamid dan Zulkarnain Hassan. Masa ‘half time’ mereka datang jumpa saya dan beritahu saya patut jadi pengulas sukan.

“Itulah mulanya. Memang betul-betul kebetulan,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata, peristiwa itu berlaku pada 1976 melibatkan perlawanan separuh akhir Piala Malaysia antara Pahang dan Singapura.

Hasbullah yang kelihatan mesra dan ceria ketika itu turut mengupas kembali pembabitan Arumugam sebagai penjaga gol kebangsaan dan Selangor.

Selain mengulas perlawanan bola sepak yang menjadi sukan kegemarannya, Hasbullah juga sering diberi tanggungjawab membuat liputan temasya sukan besar dunia.

Antara temasya sukan dunia melibatkan beliau adalah Sukan Olimpik sebanyak tujuh kali, Sukan Komanwel (3), Sukan Asia (4) dan Sukan Sea (9).

Beliau menghembuskan nafas terakhirnya di Institut Jantung Negara (IJN) dipercayai akibat koplikasi jantung, pada jam 12.17 tengahari, hari ini.

Antara pencapaian Hasbullah sepanjang penglibatan dalam dunia penyiaran adalah dianugerahkan sebagai Penyiar Serba Boleh 1988, Pengulas TV Terbaik Sri Angkasa 1989, 1991 dan 2004.

Allahyarham turut dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP), Ahli Mangku Negara (AMN) dan Pingat Pangkuan Negara (PPN).

Leave a Reply

Your email address will not be published.