Categories
SELANGOR

Kidex: Kerajaan Pusat perlu fokus masalah rakyat, bukan tambah beban

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 17 FEB: Kerajaan Pusat perlu mencontohi Kerajaan Negeri yang lebih peka terhadap permasalahan rakyat terutama dalam suasana ekonomi yang kurang baik.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Azmizam Zaman Huri berkata, beban terpaksa dipulangkan kembali kepada rakyat seperti pembinaan lebuh raya apabila mereka perlu membayar tol ekoran projek dibina melibatkan kos terlalu tinggi.

kidex12Beliau berkata, kebanyakan rakyat di laman sosial menyokong dan mengucapkan tahniah kepada Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali kerana membuat keputusan bijak dengan membatalkan projek lebuh raya Kidex yang berpihak kepada mereka.

“Ini membuktikan PKR sememangnya tidak setuju lebuh raya itu dibina kerana membebankan rakyat.

“Manifesto PKR terutama dalam buku jingga, jika PR diberi peluang mengambil alih pentadbiran di Putrajaya pada pilihan raya lalu, kita akan menghapuskan semua tol yang ada di Malaysia,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.

Beliau menyokong tindakan Kerajaan Negeri yang menetapkan setiap projek lebuh raya yang ingin dibina perlu mematuhi syarat tertentu seperti pemaju Kidex.

azmizam“Sudah sedia maklum, rakyat sememangnya membantah daripada awal rancangan pembinaan lebuh raya Kidex ini.

“Kita menyokong keputusan Dato’ Menteri Besar membatalkan projek itu selepas pemaju gagal mengemukakan syarat yang diminta Kerajaan Negeri.

“Isu Kidex tidak ada kaitan dalam menjatuhkan Tan Sri Khalid Ibrahim, tapi ia memperlihatkan ketegasan Mohamed Azmin berbanding pentadbiran lalu,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.