Categories
SELANGOR

Pembangkang patut utamakan pelan induk trafik banding Kidex‏

Oleh: NAEEM RAFFI

PETALING, 13 APR: Pembangkang Selangor harus bekerjasama dengan Kerajaan Selangor yang mahu menubuh pelan induk trafik bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di Lembah Klang.

Adun Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran, berkata Adun Umno BN jika benar-benar prihatin masalah rakyat, mereka perlu bersama-sama membantu menubuhkan pelan itu.

kidex“Kita perlu lihat kepada penyelesaian lebih holistik dan Kerajaan Negeri bercadang membuat pelan induk yang lebih baik daripada pembinaan lebuh raya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media hari ini mengulas usul Adun Umno BN supaya Kerajaan Selangor meneruskan pembinaan projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex).

Turut sama, Adun Damansara Utama, Yeo Bee Yin dan Adun Kinrara, Ng Sze Han.

Merujuk simulasi perunding lalu lintas Kidex, Rajiv berkata purata masa perjalanan berkurangan 1.3 peratus sahaja melalui pembinaan Kidex.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali mencadangkan nisbah 60:40 ditukar kepada 60 peratus pengangkutan awam dan 40 peratus jaringan jalan raya, bukan sebaliknya.

“Adakah kita perlu membina 30 jajaran lebuh raya di Petaling Jaya kerana setiap lebuh raya hanya menambah baik 1.3 peratus sahaja?

Bee Yin pula menegur pembangkang untuk lebih bersedia sebelum membawa usul pada sidang DNS bagi mengelakkan penjelasan sama berulang.

“Biarpun penjelasan laporan berhubung pembatalan Kidex diberi berkali-kali, mereka (pembangkang) tidak buat kajian dan mempersoal perkara sama.

“Jangan buang masa ahli dewan kerana kita punya pelbagai isu dan usul lain untuk dibahas,” katanya.

Pada 16 Februari lalu, Mohamed Azmin mengumumkan pembatalan projek Kidex berikutan syarikat konsesi gagal memenuhi tiga syarat ditetapkan biarpun diberi tempoh secukupnya.

Syarat itu ialah menyediakan penilaian kesan lalu lintas, sosial dan alam sekitar, menyatakan kadar tol sepanjang tempoh konsesi.

FZL

Categories
SELANGOR

MB: Muktamad, KIDEX tetap ditolak

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 APR: Kerajaan Negeri tidak akan mempertimbangkan dan menolak pembinaan Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) kerana gagal mematuhi syarat yang ditetapkan.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata Kerajaan Negeri memuktamadkan pembinaan Kidex ditolak ketika membuat penggulungan pada ketika Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini.

“Saya ingin memaklumkan Kidex gagal mematuhi syarat yang ditetapkan, maka Kerajaan Negeri mengambil keputusan muktamad untuk tidak memberikan kelulusan dan tidak akan berganjak dengan keputusan berkenaan.

kidex12“Keputusan itu disampaikan kepada Menteri Kerja Raya dan delegasi ketika berkunjung di Selangor, pada 19 Mac lalu.

“Keputusan ini bukan sebagai populis tetapi diambil atas bantahan dan sokongan yang diterima, bahkan kajian seperti impak lalu lintas, kajian awalan kesan alam sekitar juga diambil kira,” katanya.

Terdahulu, DNS menolak usul Sulaiman Razak (BN-Permatang) yang mahu pembinaan Kidex dipertimbangkan semula.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri juga menyatakan kepada Kerajaan Pusat untuk menghormati Seksyen 20 A, Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 iaitu semua projek yang dibangunkan perlu dirunding bersama Kerajaan Negeri dahulu.

“Kerajaan Pusat juga mengaku terlepas pandang dan mengarahkan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk mengambil perhatian pada masa depan dan mematuhi seksyen itu untuk berunding dahulu dengan Kerajaan Negeri,” katanya.

IMG_9971Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Negeri juga meminta sasaran penggunaan pengangkutan awam dan persendirian dikaji semula serta dibawa kepada jemaah menteri.

“Pada 2008, nisbah menunjukkan 12 (pengangkutan awam):88 (persendirian), 2012 (27:73), 2014 (25:75). Ini menunjukkan keperluan kepada sistem pengangkutan amat mendesak.

“Pembinaan lebuh raya bukan satu-satunya penyelesaian kerana yang hendak kita pindahkan manusia, ‘we want to move people not machine’. Banyak mana lebuh raya dibina belum tentu dapat menyelesaikan masalah trafik.

“Justeru, nisbah 40:60 oleh Kerajaan Pusat perlu ditukar kepada 60:40 supaya Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) diberi ruang lebih banyak dalam sistem pengangkutan awam,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

KIDEX: Adun kerajaan & pembangkang gamatkan DNS

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 9 APR: Perbahasan berkenaan pembinaan Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) menimbulkan kekecohan antara Adun kerajaan dan pembangkang di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Usul dikemukakan Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) mendapat perhatian Datuk Teng Chang Kim (DAP-Sungai Pinang) yang mempertikaikan kenyataan Sulaiman berhubung peraturan dewan ketika Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) berbahas.

“Kalau Permatang memahami peraturan dewan, usul ini dikemukakan menurut peraturan tetap 17 iaitu Speaker tidak boleh menolak selagi notis 14 hari mencukupi untuk diberikan.

kidex“Yang boleh lulus atau tolak usul ini adalah dewan dan bukan Speaker. Jangan sengaja salahkan Speaker,” katanya.

Kenyataan Chang Kim itu menimbulkan rasa tidak puas hati Sulaiman seterusnya membabitkan Datuk Shamsuddin Lias (BN-Sungai Burung).

Shamsuddin yang turut serta dalam ‘pertikaman lidah’ antara Chang Kim dan Sulaiman menyatakan perkara berkaitan peraturan tetap di dalam dewan sepatutnya dijelaskan Speaker, Hannah Yeoh.

Chang Kim turut didakwa tidak meminta izin untuk bangkit mencelah.

teng Chang kim“Saya sudah minta izin, tak dengar ke? Mana kamu tadi…tidur ke?,” kata Chang Kim membalas dakwaan itu.

Sebelum itu, Suee Lim berkata, usul Kidex dibawa Sulaiman disifatkan sebagai usul tidak sihat.

“Kerana apa? Kerana Dato’ Menteri Besar kita sudah berulang kali dalam dewan sepanjang dua minggu ini memberi jawapan melalui sesi penggulungan mengapa Kidex ditolak,” katanya.

-NFN-

Isu Kidex: Apa salah saya?

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata Kerajaan Negeri tidak boleh memaksa rakyat untuk menerima pembangunan negeri sebaliknya perlu mendengar dan mencari inisiatif lain menggantikan KIDEX.

Categories
KENYATAAN MEDIA

MB: Projek Kidex dalam RSN Selangor 2035 tak diambil kira

Oleh: Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali

Status penyediaan Kajian Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 (RSN Selangor 2035) adalah di peringkat Laporan Tinjauan dan telah dipublisitikan bermula 8 Disember 2014 hingga 9 Januari 2015 dan telah dilanjutkan tempohnya sehingga 31 Januari 2015.

Salah satu perkara yang dimasukkan di dalam Laporan Tinjauan, Kajian RSN Selangor 2035 adalah berkaitan dengan cadangan Projek Lebuhraya Kinrara Damansara (KIDEX) yang dikemukakan oleh Kerajaan Persekutuan melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Walaubagaimanapun, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) ke 7/2015 pada 17 Februari 2015 dan disahkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) ke 8/2015 pada 25 Februari 2015 telah membuat keputusan tidak mempertimbangkan dan membatalkan pembangunan Projek Lebuhraya Kinrara Damansara (KIDEX) selaras dengan kuasa Kerajaan Negeri berhubung pembangunan tanah dan kelulusan perancangan.

Keputusan ini selaras dengan pendirian Kerajaan Negeri yang tegas mengambil tindakan terhadap kegagalan pemaju untuk memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan demi menjamin kesejahteraan rakyat Selangor.

Berikutan itu, Kerajaan Negeri Selangor telah mengarahkan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor supaya semua perkara berkaitan dengan cadangan pembangunan Projek Lebuhraya Kinrara Damansara (KIDEX) tersebut TIDAK AKAN DIAMBIL KIRA semasa penyediaan draf Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 kelak dan Mesyuarat Pendengaran Hasil Maklumbalas Publisiti Laporan Tinjauan, Kajian RSN Selangor 2035 yang berkaitan cadangan Pembangunan Projek Lebuhraya Kinrara Damansara (KIDEX) yang telah ditetapkan pada 10 Mac 2015 ini adalah DIBATALKAN. Pendengaran bagi perkara-perkara lain adalah diteruskan.

 

Categories
SELANGOR

MB: Projek Kidex tidak diambil kira dalam RSN Selangor 2035

SHAH ALAM 27 FEB: Projek Lebuhraya Kinrara Damansara (Kidex) tidak akan diambil kira dalam penyediaan draf Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 (RSN Selangor 2035).

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata Mesyuarat Pendengaran Hasil Maklumbalas Publisiti Laporan Tinjauan, Kajian RSN Selangor 2035 berkaitan projek Kidex pada 10 Mac 2015 ini turut dibatalkan.

kidex“Keputusan itu selaras pendirian Kerajaan Negeri yang tegas mengambil tindakan terhadap kegagalan pemaju memenuhi syarat ditetapkan demi menjamin kesejahteraan rakyat,” kata Mohamed Azmin dalam kenyataan media.

Mohamed Azmin berkata sebelum ini status penyediaan RSN Selangor 2035 di peringkat Laporan Tinjauan dan dipublisitikan bermula 8 Disember 2014 hingga 9 Januari 2015 dan tdilanjutkan tempohnya sehingga 31 Januari 2015.

Salah satu perkara dimasukkan di dalam Laporan Tinjauan, Kajian RSN Selangor 2035 adalah berkaitan dengan cadangan projek Kidex yang dikemukakan Kerajaan Persekutuan melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Katanya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) ke 7/2015 pada 17 Februari 2015 dan disahkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) ke 8/2015 pada 25 Februari 2015 membuat keputusan tidak mempertimbangkan dan membatalkan projek Kidex.

“Ia selaras dengan kuasa Kerajaan Negeri berhubung pembangunan tanah dan kelulusan perancangan,” kata Mohamed Azmin.

EZY

Categories
SELANGOR

Kerajaan Pusat patut dedah perjanjian Kidex

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 20 FEB: Kerajaan Pusat digesa menjelaskan mengapa perjanjian Lebuhraya Kinrara Damansara (Kidex) tidak boleh didedahkan kepada umum sepertimana disyaratkan Kerajaan Negeri.

Adun Bukit Gasing, R. Rajiv berkata pengumuman itu lebih penting untuk rakyat berbanding terus mencari jalan meneruskan Kidex walau tanpa persetujuan Kerajaan Negeri.

kidex“Adalah salah apabila pihak kementerian mengabaikan tiga syarat utama yang ditetapkan Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Pusat melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ada syaratnya, Kerajaan Negeri juga ada hak untuk melindungi kepentingan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata pihaknya memenuhi kesemua syarat ditetapkan dan akan merujuk perkara berkenaan kepada Pejabat Peguam Negara.

Pada Isnin lalu, Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali mengumumkan pembatalan Kidex ekoran pihak konsesi gagal mematuhi tiga syarat sebelum 14 Februari.

Antaranya termasuk gagal menyediakan Penilaian Impak Lalulintas yang bebas, Penilaian Impak Sosial dan Penilaian Impak Alam Sekitar.

Syarikat konsesi juga gagal mendedahkan anggaran rasmi jumlah tol yang akan dikutip dan kadar pulangan kepada pelaburan termasuk kadar tol yang akan dikenakan.

Categories
SELANGOR

Ahli Majlis sambut baik batal Kidex

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 FEB: Ahli Majlis MBPJ Zon 17, Raja Fairus Raja Mazlan menyambut baik keputusan pembatalan Kidex seperti diumumkan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

“Sebagai Ahli Majlis, kita menyambut baik keputusan itu dan akan terus bersama Kerajaan Negeri. Bagaimanapun, selepas ini sudah tentu ada rundingan yang memerlukan penglibatan banyak pihak dalam isu ini,” katanya.

kidex2Cynthia Gabriel dari zon 12, pula menyifatkan keputusan yang dibuat Dato’ Menteri Besar adalah tepat dan berasas.

“Kami memang positif dan gembira dengan keputusan itu kerana ia adalah keputusan tepat selepas mempertimbangkan semua perkara.

“Selama ini, banyak bantahan dari pelbagai pihak dalam isu ini kerana ia merupakan projek yang tidak memberi manfaat kepada penduduk malah membahayakan penduduk sekitar,” katanya.

Pada 6 Februari lalu, Mohamed Azmin mengumumkan pembatalan projek KIDEX selepas syarikat konsesi gagal mematuhi tiga syarat ditetapkan seperti diminta sebelum 14 Februari 2015.

Keputusan itu dibuat selepas meneliti maklum balas orang ramai selain berpendirian pembinaan lebuh raya di Selangor perlu bermanfaat bukan sahaja kepada pengguna lebuhraya tetapi turut dinikmati penduduk di lebuh raya itu dibina.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MBPJ kemuka alternatif ganti Kidex

Oleh: NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 17 FEB: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan mengemukakan beberapa cadangan alternatif kepada Kerajaan Negeri bagi mengantikan projek Kidex.

Pemangku Datuk Bandar MBPJ, Puasa Md Taib berkata, cadangan alternatif itu akan diutarakan kepada Kerajaan Negeri dalam masa terdekat termasuk penyediaan jalan alternatif atau penambahbaikan infrastruktur.

PuasaKatanya, MBPJ memerlukan jalan keluar dari Petaling Jaya 52 ke Lebuhraya Pantai Baru (NPE) ketika ini.

“Keperluan itu sangat mendesak dan setakat ini hanya ada satu jalan keluar masuk sahaja.

“Kita akan kemukakan masalah dan cadangan kepada Kerajaan Negeri dan Pusat. Namun, terpulang kepada mereka untuk putuskan masa depan dan keperluan penduduk,” katanya kepada Selangor Kini.

Puasa berkata, MBPJ akan meneruskan perkhidmatan PJ City Bus sebagai alternatif kepada salah satu masalah terbabit pada masa ini.

“Projek ini sudah kita laksanakan lebih dari empat bulan dan ia kejayaan besar dilakukan MBPJ. Ia akan mengambil kira beberapa pendekatan baru dan membuat dua pusingan bas serta mengekalkan perjalanan setiap 15 minit sekali,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Kidex: Rakyat setuju batal, tambah bas percuma

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 17 FEB: Rakyat menyambut baik keputusan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin membatalkan projek Kidex susulan kegagalan pemaju mematuhi syarat yang ditetapkan.

Kebanyakan mereka berkata, Kerajaan Negeri berpendirian tegas apabila menetapkan lebuh raya di Selangor perlu bermanfaat kepada pengguna dan rakyat.

hafis matsoom 52-webBagi Hafez Mat Soom, 52, berkata dana kidex itu boleh digunakan sebaiknya dengan penambahbaikan jalan raya di Selangor terutama bandaraya Shah Alam kerana menjadi tumpuan pengunjung dalam dan luar.

“Duit peruntukan Kidex itu lebih baik ditumpukan pada keselamatan jalan raya terutama kepada penunggang motosikal.

“Apa yang lebih penting keselesaan dan bermanfaat kepada penduduk. Itu yang perlu diutamakan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Salem Sherdin, 39, berkata peruntukan menambah perkhidmatan bas percuma di setiap daerah lebih bermanfaat kepada penduduk setempat berbanding projek lebuh raya itu.

“Dengan adanya khidmat bas percuma, kita dapat kurangkan kesesakan lalu lintas dan penggunaan kenderaan di jalan raya.

“Selain itu, kita dapat jimat kos minyak memandangkan ekonomi negara yang semakin kurang baik,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Kadar tol bukan rahsia keselamatan negara, kenapa Kidex enggan dedahkan?

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SABAK BERNAM, 18 FEB: Keengganan syarikat konsesi projek Lebuhraya Kinrara Damansara (Kidex) mendedahkan kadar tol termasuk kenaikannya dan keuntungan kepada Kerajaan Selangor serta masyarakat menimbulkan tanda tanya.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, Kerajaan Negeri dan rakyat mempunyai kepentingan untuk mengetahui sepenuhnya butiran perjanjian konsesi lebuh raya yang dibatalkan pembinaannya itu.

“Ini jelas, setiap projek harus berkonsepkan pembangunan berkualiti, rakyat dipeduli. Kita tak nak projek seperti Highland Tower nampak gah tetapi akhirnya runtuh dan lebuh raya yang kurang selamat apabila banyak kemalangan serta ‘fly over’ runtuh.

no kidex“Pembinaan lebuh raya bukan sekadar memberi manfaat kepada pengguna jalan raya tetapi harus memberi kebaikan kepada penduduk sekitar begitu juga kadar tol. Jumlah kenaikkan dan sasaran keuntungan perlu didedahkan.

“Apa juga terkandung dalam pra syarat perjanjian perlu didedahkan kerana ia tidak melibatkan rahsia keselamatan negara. Tak salah kongsi bersama rakyat yang membayar tol dan cukai,” katanya.

Zaidy berkata, Kidex gagal memenuhi syarat supaya mendedahkan perkara terbabit, sebelum 14 Febuari lalu seperti yang disyaratkan Kerajaan Negeri.

Katanya, Kidex juga gagal menyediakan kajian bebas impak sosial terhadap penduduk sekitar selain gagal mengambil kira pandangan rakyat.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Kidex: Kerajaan Pusat perlu fokus masalah rakyat, bukan tambah beban

Oleh: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 17 FEB: Kerajaan Pusat perlu mencontohi Kerajaan Negeri yang lebih peka terhadap permasalahan rakyat terutama dalam suasana ekonomi yang kurang baik.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Azmizam Zaman Huri berkata, beban terpaksa dipulangkan kembali kepada rakyat seperti pembinaan lebuh raya apabila mereka perlu membayar tol ekoran projek dibina melibatkan kos terlalu tinggi.

kidex12Beliau berkata, kebanyakan rakyat di laman sosial menyokong dan mengucapkan tahniah kepada Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali kerana membuat keputusan bijak dengan membatalkan projek lebuh raya Kidex yang berpihak kepada mereka.

“Ini membuktikan PKR sememangnya tidak setuju lebuh raya itu dibina kerana membebankan rakyat.

“Manifesto PKR terutama dalam buku jingga, jika PR diberi peluang mengambil alih pentadbiran di Putrajaya pada pilihan raya lalu, kita akan menghapuskan semua tol yang ada di Malaysia,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.

Beliau menyokong tindakan Kerajaan Negeri yang menetapkan setiap projek lebuh raya yang ingin dibina perlu mematuhi syarat tertentu seperti pemaju Kidex.

azmizam“Sudah sedia maklum, rakyat sememangnya membantah daripada awal rancangan pembinaan lebuh raya Kidex ini.

“Kita menyokong keputusan Dato’ Menteri Besar membatalkan projek itu selepas pemaju gagal mengemukakan syarat yang diminta Kerajaan Negeri.

“Isu Kidex tidak ada kaitan dalam menjatuhkan Tan Sri Khalid Ibrahim, tapi ia memperlihatkan ketegasan Mohamed Azmin berbanding pentadbiran lalu,” katanya.

-NFN-