Categories
SELANGOR

MB: Projek Datum Jelatek terima 1,200 permohonan Bumiputera

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 9 FEB : Tidak timbul isu mengkhianati hak Bumiputera ekoran keputusan Kerajaan Selangor meneruskan pembangunan Datum Jelatek.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali berkata isu itu tidak patut dikaitkan dengan sentimen perkauman.

Datum JelatekBeliau berkata sebanyak 1,200 permohonan Bumiputera meskipun hanya 680 unit kondominium ditawarkan kepada golongan itu untuk memiliki hartanah di kawasan berkenaan.

“Siapa kata tak mampu? Sebanyak 1,200 permohonan sudah berdaftar dan yang beli (hartanah) ini adalah penduduk asal di situ.

“Yang beli itu mungkin bukan generasi pertama. Ibu bapa dia mungkin tak mampu tetapi anak dia mampu,” katanya di Dewan Jubli Perak.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Pengerusi Badan Bertindak Datum Jelatek (BBDJ), Salleh Samad yang mendakwa Kerajaan Negeri gagal menepati aku janjinya untuk menjaga kepentingan orang Melayu ekoran bertegas untuk melaksanakan projek Datum Jelatek.

Mohamed Azmin berkata rata-rata penduduk yang mendiami pangsapuri kos rendah di situ membeli rumah dengan harga asal antara RM19,000 hingga RM29,000 seunit dalam tempoh 30 hingga 40 tahun yang lalu.

Bagaimanapun, katanya penduduk diberi pampasan sebanyak RM250,000 secara tunai sebaik sahaja hasrat Kerajaan Negeri untuk membangunkan kawasan berkenaan ditimbulkan.

“Itu pengkhianat Melayu ke? Beritahu saya organisasi mana yang bayar pampasan sebanyak itu?”

“Kita kena beri Melayu peluang untuk memiliki hartanah ini, cuma masalah dengan Perkasa adalah mereka sering kaitkan Melayu dengan setinggan dan rumah kos rendah.

“Kita mahu bangunkan jenis Melayu yang lain, Melayu juga patut ada peluang memiliki hartanah yang bagus di Kuala Lumpur dan Selangor,” katanya lagi.

Sebelum ini, Mohamed Azmin berkata projek Datum Jelatek tetap akan diteruskan meskipun menerima bantahan, selain menegaskan Kerajaan Negeri tidak akan melayan sebarang bantahan bersifat perkauman dan ekstremisme sempit.

Projek Datum Jelatek bermula pada 2008 di atas tapak seluas 2.4 hektar di sebelah Stesen LRT Jelatek, melibatkan pembangunan 4 blok bangunan kondominium mewah, hotel, pejabat dan pusat beli-belah.

Pembangunan itu dilaporkan akan diteruskan pada hujung November lalu selepas ditangguhkan sementara berikutan bantahan penduduk yang mahu ia dibatalkan kerana tidak mengikut peruntukan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 1972).

Mereka mendakwa projek itu bertujuan menukar kawasan majoriti Melayu itu menjadi kawasan Cina kerana ia hanya mampu dimiliki kaum Cina dan warga asing dari China.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.