Categories
SELANGOR

Pendidikan seks: Dapatkan kajian pakar sebelum dilaksanakan

SHAH ALAM 2 FEB: Kajian menyeluruh mengambil pandangan pakar perlu dilakukan sebelum modul pendidikan seks dilaksanakan kepada pelajar lelaki berusia 16 tahun pada 2016.

Exco Pendidikan, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata walaupun cadangan pelaksanaan pendidikan seks wajar, namun langkah mewajibkan hanya pelajar lelaki adalah tidak relevan dan boleh dipersoalkan.

PC Nik NazmiKatanya, kajian pakar perlu melibatkan pakar kesihatan, psikologi dan golongan agama sebelum kerajaan berhasrat melaksanakan cadangan itu.

“Bagi saya, isu ini perlu melibatkan kedua-dua belah pihak tanpa memberi kecenderungan kepada pelajar lelaki semata-mata.

“Oleh sebab itu, kita tekankan kepada kerajaan supaya mengkaji secara menyeluruh terlebih dahulu sebelum ia dilaksanakan,” katanya dipetik Suara Keadilan.

Beliau yang juga Ketua AMK berkata, lebih baik sekiranya penekanan diberikan kepada aspek pendidikan moral dan sahsiah di sekolah dalam menangani gejala sosial.

“kita sarankan pendidikan menerapkan unsur kerohanian di sekolah itu perlu diberi keutamaan dan dilaksanakan untuk memberi kesedaran kepada golongan muda,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang bakal melaksanakan pendidikan seks kepada remaja golongan lelaki lingkungan 16 tahun ke atas.

Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim memaklumkan, pelaksanaan modul itu mensasarkan remaja lelaki bagi meningkatkan pengetahuan berkaitan kesihatan reproduktif dan seksual, sekaligus membendung masalah sosial.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.