Categories
SELANGOR

Pertanian lestari kurangkan risiko pelbagai penyakit

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SABAK BERNAM, 18 FEB: Kaedah pertanian lestari dalam penanaman padi menghasilkan produk bebas bahan kimia yang mampu mengurangkan risiko pelbagai penyakit dalam jangka masa panjang.

Pertanian lestari juga mampu meningkatkan pendapatan pesawah kerana permintaan hasil pertanian organik itu tinggi di pasaran.

IMG_9498Exco Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Zaidy Abdul Talib berkata, pendapatan pengusaha sawah padi juga dapat ditingkatkan apabila penggunaan kaedah itu boleh menjayakan projek penanaman padi lima musim setiap dua tahun.

“Bila dua tahun ada lima musim, ini akan melibatkan kesuburan tanah di samping faktor lain seperti air, kesan kehidupan sosial dan pesawah.

“Antara sifat pertanian lestari adalah menyuburkan tanah berbeza dengan baja kimia. Kalau banyak kita guna, maka terpaksa buat pemulihan kesuburan tanah untuk tanam musim seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Insentif Pengurusan Sawah Padi Kerajaan Selangor kepada petani daerah Sabak Bernam di Balai Raya JKKK Parit 12 Timur, di sini, semalam.

tani 3Katanya, penanaman padi lima musim setiap dua tahun juga dijangka mampu mengekalkan Selangor sebagai negeri yang mengeluarkan hasil padi tertinggi setiap musim.

“Purata hasil di Selangor 6.15 metrik tan semusim berbanding purata seluruh negara 4.5 tan semusim. Ini bermakna, Selangor tertinggi meninggalkan negeri lain termasuk Kedah,” katanya.

Zaidy berkata, sebelum ini beberapa pengusaha sawah padi sudah mula mencuba menanam padi lima musim setiap dua tahun.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.