Categories
SELANGOR

Sampah haram: MPS berjaya selesai 28 kes 2014

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 FEB: Masalah sampah haram di tanah persendirian menjadi cabaran besar petugas Majlis Perbandaran Sepang (MPS) kerana  pembuangan sisa pepejal itu berlaku di kawasan terpinggir.

Ia ditambah dengan operasi pembuangan sambah berulang di kawasan sama oleh pihak lain walaupun tindakan undang-undang sudah diambil terhadap pesalah pertama.

Penolong Pengarah Jabatan Penguatkuasa MPS, Mohd Azran Musa berkata, terdapat 10 peratus pesalah berulang dicatatkan setakat ini.

SAMPAH HARAM 1“Kita memang memerlukan bantuan orang ramai. Apabila menerima aduan, kita akan terus buat kawalan dalam masa dua minggu.

“Pada masa sama, tanah itu adalah persendirian, maka kita terpaksa bekerjsama dengan agensi lain seperti Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Pentadbir Tanah,” katanya kepada Selangor Kini.

Katanya, 28 kes berjaya diselesaikan pada 2014 dan lima kes dibawa ke tahun 2015.

Selain itu, Mohd Azran berkata, MPS akan melakukan penyitaan terhadap lori dengan denda maksimum RM2,000 untuk sebuah kenderaan terbabit.

Menyentuh masalah sampah haram pukal, Ketua Unit Perkhidmatan Bandar MPS, Norrehan Ahmad Kasman berkata, kebanyakan sampah berbentuk barangan perindustrian ringan seperti alat ganti kereta dan sisa kebun.

GAMBAR SAMPAH KOTORKatanya, kutipan sampah pukal akan dilakukan dua kali sebulan pada minggu kedua dan keempat.

Norrehan berkata, MPS menggunakan pendekatan mempamerkan papan tanda memujuk orang awam terutama di taman perumahan supaya lebih bertanggungjawab dalam menguruskan sisa sampah bagi membendung budaya pembuangan sampah domestik.

Beliau berkata, daerah Sepang mempunyai 253 taman perumahan dan 120 papan tanda sudah dinaikkan sehingga kini.

“Pelbagai bentuk ayat digunakan sebagai pendekatan kempen memujuk dan mendidik masyarakat supaya lebih berdisiplin serta prihatin terhadap kebersihan.

“Setakat ini, ada beberapa kawasan menunjukkan perubahan positif. Kita lakukan kutipan sampah di semua tempat termasuk kampung tradisi,” katanya.

Sebarang aduan sampah boleh dibuat melalui talian 03-6138 9898 dan e-mel aduan MPS di [email protected].

Selain itu, aduan juga boleh dibuat melalui Sistem Talian Aduan Rakyat Selangor (Stars) di talian 03-55447172 dan e-mel di [email protected].

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.