Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Buang sampah haram, pemilik lori dikompaun RM1,000

SHAH ALAM, 9 MAC: Seorang pemilik lori didenda RM1,000 oleh Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) kerana membuang sampah haram berdekatan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Serendah bulan lalu.

Yang Dipertuanya Mohd Hasry Nor Mohd berkata tindakan diambil serta-merta berdasarkan gambar dan nombor pendaftaran kenderaan pelaku yang diadukan orang awam.

“Berdasarkan maklumat, lori itu didaftarkan bawah sebuah syarikat dan pemilik didapati membuang sisa makanan di luar tong sampah yang disediakan di kawasan terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata pemilik lori dikenakan tindakan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 5, Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah (MDHS) 2007.

“Orang ramai dinasihatkan untuk menjaga dan memelihara kebersihan selain bekerjasama menyalur maklumat kepada MPHS supaya aktiviti pembuangan sampah haram dapat dibendung,” kata Mohd Hasry.

Sebarang aduan atau laporan boleh dibuat melalui laman web SISPAA di pautan https://selangor.spab.gov.my/ atau hubungi talian 03-6064 1331.

Categories
EXCO SELANGOR

Laluan BK 8 Bandar Kinrara ditutup, elak aktiviti pembuangan sampah haram

SHAH ALAM, 19 JAN: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mengambil tindakan segera dengan membuka kembali saluran longkang dan menutup laluan di kawasan BK 8 Bandar Kinrara susulan berlaku aktiviti pembuangan sampah di kawasan itu, semalam.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata beliau menerima pelbagai aduan khususnya penduduk sejak minggu lalu dan notis untuk mengosongkan tanah terbabit sudah pun dikeluarkan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian.

“Walaubagaimanapun, aktiviti pembuangan sampah haram iaitu sisa pembinaan terus berlaku sejak beberapa hari lepas. Terdapat juga penempatan haram pekerja binaan di kawasan ini.

“Pihak MBSJ telah membawa jentera pengorek untuk membuka kembali saluran longkang yang ditutup dan seterusnya menghalang akses lori-lori dan kenderaan berat daripada memasuki kawasan ini,” katanya di Facebook.

Sze Han berkata mesyuarat susulan bersama Kementerian Pendidikan Malaysia juga akan dibuat untuk mengatasi masalah itu berikutan tapak itu adalah milik kementerian berkenaan.

“Terima kasih kepada penduduk yang cakna dan ambil berat tentang isu pembuangan sampah haram.

“Kerajaan Negeri Selangor memandang berat isu ini dan tindakan tegas akan diambil ke atas pihak yang tidak bertanggungjawab membuang sampah haram,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

MPKj sita 10 lori buang sampah haram sepanjang Oktober

SHAH ALAM, 28 OKT: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menyita 10 lori kerana terbabit dalam aktiviti membuang sampah secara haram di daerah itu sepanjang Oktober, tertinggi berbanding bulan lalu.

Yang Dipertuanya Najmuddin Jemain berkata tindakan dibuat menerusi operasi gempur Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Kesihatan.

“Empat lori disita di Jalan Kuari Sungai Long manakala Taman Pusara Twin Palms dan Bukit Ampang masing-masing dua lori, Kampung Simpang Balak serta lain-lain kawasan (satu),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Bulanan di Bilik Mesyuarat Utama Menara MPKj pada Selasa.

Menurutnya, sebanyak 17 kompaun turut dikeluarkan atas kesalahan mencemarkan alam sekitar mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap MPKj 2007.

Sementara itu, Najmuddin berkata operasi akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi membanteras kegiatan tersebut demi menjamin kualiti hidup masyarakat.

Pihak berkuasa tempatan itu menyita 51 lori atas kesalahan berkenaan sejak operasi gempur dijalankan awal tahun ini.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Elak tapak lupus sampah terbakar, penduduk digesa awasi lori mencurigakan

SHAH ALAM, 3 MAC: Orang awam khususnya penduduk sekitar Kampung Tradisi Pulau Indah, Pelabuhan Klang diminta melaporkan segera kepada pihak berkuasa jika menyedari kehadiran lori mencurigakan di kawasan itu.

Wakil rakyat Pelabuhan Klang berkata kenderaan terbabit berkemungkinan membawa muatan sampah untuk dibuang di tapak pelupusan haram yang menjadi punca kebakaran kerap berlaku di kawasan berkenaan.

“Mereka boleh menyalurkan maklumat kepada polis, bomba, pihak berkuasa tempatan atau pejabat tanah dan daerah termasuk saya sendiri supaya aktiviti pembuangan sampah haram dapat dihentikan.

“Saya kesal kerana tanah milik kerajaan diceroboh sebegitu rupa sehingga merosakkan alam sekitar selain mengganggu ketenteraman penduduk,” kata Azmizam Zaman Huri kepada SelangorKini.

Beliau turut memberi amaran keras kepada pihak tertentu supaya menghentikan kegiatan tidak bertanggungjawab itu sebelum tindakan lebih tegas diambil.

Jumaat lalu, sebuah tapak pelupusan sampah haram dipercayai tanah jenis gambut di kampung berkenaan terbakar dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam.

Kejadian di tapak berkeluasan lebih empat ekar disyaki berpunca daripada aktiviti pembakaran sisa plastik haram.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

KDEBWM kesan 55 lokasi sampah haram di DUN Sentosa

SHAH ALAM, 23 FEB: Sebanyak 55 lokasi pembuangan sampah haram dikesan KDEB Waste Management (KDEBWM) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa sepanjang tahun lalu.

Pengurus Besar Operasi Mohd Idris Mohamed Yusof berkata lokasi membabitkan Sungai Jati, Bukit Nenas, Labuhan Dagang dan Andalas.

“Bagi menangani masalah ini, kita akan menubuhkan jawatankuasa khas dan memantau isu ini dalam tempoh enam bulan.

“Justeru akan ada peruntukan tambahan untuk menggerakkan usaha ini, walaupun aktiviti tidak bermoral ini akan berulang, tetapi usaha KDEBWM adalah untuk mengurangkan lokasi tapak sampah haram,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Penyelarasan Pembersihan Yang Mantap DUN Sentosa, semalam yang turut dihadiri Ahli Dewan Negerinya, Dr Gunaraj George.

Pada Sidang Dewan Negeri Selangor lalu, EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han memaklumkan sebanyak 874 kes berkaitan pembuangan sampah haram dan pelepasan air sampah direkodkan sehingga September 2020.

Daripada jumlah itu, Majlis Perbandaran Klang (MPK) mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 346 kes yang telah dijatuhkan hukuman.

Categories
PBT SELANGOR

MBPJ keluar 287 kompaun buang sampah secara haram

SHAH ALAM, 30 NOV: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengeluarkan 287 kompaun bagi kesalahan membuang sampah secara haram di kawasan pentadbirannya sepanjang tahun ini.

Datuk Bandar Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata operasi tersebut merangkumi kawasan titik panas pembuangan sampah haram yang sudah dikenal pasti.

“Objektif tindakan penguatkuasaan bagi mendidik masyarakat Petaling Jaya supaya lebih prihatin terhadap isu kebersihan persekitaran.

“Pelaksanaan ini juga bagi memastikan bandar raya ini kekal mampan, berdaya tahan dan dinamik,” katanya dalam perutusan Mesyuarat Majlis Bil.11/2020 hari ini.

Mohd Sayuthi menambah pihaknya juga menempatkan kamera litar tertutup (CCTV) mudah alih di beberapa lokasi sekitar daerah itu bagi memudahkan pemantauan.

Katanya, pemasangan alat tersebut selaras dengan pelaksanaan Petaling Jaya sebagai bandar raya pintar.

Categories
PBT SELANGOR

MPKj sita 11 lori buang sampah secara haram

SHAH ALAM, 29 NOV: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menyita 11 lori terlibat dalam aktiviti pembuangan sampah haram di daerah itu sepanjang bulan ini.

Yang Dipertua Dato’ Zul-kefli@Zulkefli Khalid berkata tindakan dibuat menerusi operasi gempur Unit Alam Sekitar dari Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Kesihatan MPKj.

“Tiga lori disita di Jalan Kuari Sungai Long, Sungai Serai, Hulu Langat manakala lapan lagi di lain-lain kawasan seluruh MPKj yang tidak dijalankan secara komersial.

“Sebanyak 31 kompaun dikeluarkan atas kesalahan itu mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 4 dan UUK 13(1) Pembuangan, Pemungutan dan Pelupusan Sampah Sarap MPKj 2007,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata jumlah itu berkurang berbanding beberapa bulan sebelum ini berikutan operasi statik di pintu masuk tapak sampah haram.

Menurutnya, pihak berkuasa tempatan itu sentiasa komited membanteras kegiatan pembuangan sampah haram bagi meningkatkan kualiti hidup masyarakat di kawasan berkenaan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor kaji hanya satu syarikat urus sampah industri, pembinaan

SHAH ALAM, 6 NOV: Kerajaan Negeri mengkaji untuk mewajibkan hanya satu syarikat dibenar mengutip sampah industri dan pembinaan bagi mengelakkan ia dibuang secara haram.

EXCO Kerajaan Tempatan Ng Sze Han berkata kebanyakan sampah haram yang ditemui adalah dari kategori komersial, perindustrian dan keinstitusian (ICI).

“Oleh itu, Kerajaan Selangor sedang dalam proses mengkaji untuk mewajibkan satu syarikat sahaja iaitu KDEB Waste Management (KDEBWM) untuk menguruskan sampah industri dan pembinaan.

“Ia masih dalam peringkat kajian dan pertemuan dengan persatuan pengilang-pengilang akan dilakukan untuk menentukan garis panduan dan tatacara operasi piawai (SOP) bagi membantu menyelesaikan masalah pembuangan sisa sampah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri Balakong, Wong Siew Ki pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Kes buang sampah haram turun 50 peratus tahun ini

SHAH ALAM, 6 NOV: Kes pembuangan sampah haram negeri ini turun kepada 874 setakat September, kurang separuh berbanding tempoh sama tahun lalu.

Sebanyak 1,983 kes dicatatkan tahun lalu, manakala 1,532 kes dilaporkan pada 2018.

EXCO kerajaan tempatan berkata jumlah kes yang dijatuhkan hukuman oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) juga semakin berkurangan.

“Sebanyak 364 kes dijatuhkan hukuman tahun ini dalam pentadbiran Majlis Perbandaran Klang berbanding 1,592 kes tahun lalu, sementara Majlis Perbandaran Kajang menurun kepada 71 kes berbanding 151 kes pada 2019.

“Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Majlis Daerah Sabak Bernam pula tidak mencatatkan sebarang kes,” kata Ng Sze Han pada sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Katanya, pejabat daerah dan tanah serta pegawai PBT boleh mengambil tindakan ke atas pemilik tanah yang terlibat dengan kegiatan itu melalui Notis 7A untuk pemulihan.

Ng Sze Han menjelaskan Notis 7B kemudian akan dikemuka bagi mendapat pengesahan terhadap pemulihan yang dibuat.

“Sekiranya pemilik masih ingkar, tindakan perampasan tanah oleh pentadbir tanah akan dilakukan mengikut Notis 8A, Seksyen 130 Kanun Tanah Negara 1965,” kata wakil rakyat Kinrara.

Categories
PBT SELANGOR

MPS kesan 22 tapak buang sampah haram, keluar 57 kompaun

SHAH ALAM, 29 OKT: Sebanyak 22 tapak pembuangan sampah haram berjaya dikesan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sepanjang tahun ini.

Yang Dipertua Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata dalam tempoh sama, 57 kompaun dikeluarkan terhadap syarikat dan individu yang melakukan aktiviti tersebut.

“Ia membabitkan 13 di Rawang, Gombak dan Kepong masing-masing empat dan satu di Selayang.

“Kami mengeluarkan notis kacau ganggu serta kompaun di bawah Seksyen 4, Undang-undang Kecil (UUK) Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap MPS 2007,” katanya kepada SelangorKini.

Tambah beliau, tindakan sitaan juga dilakukan di bawah Seksyen 21 UUK Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap MPS 2007.

Categories
AGENDA NASIONAL

MPK pasang CCTV, pantau pembuangan sampah haram

SHAH ALAM, 25 OKT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau aktiviti pembuangan sampah haram di Jalan Kebun Nenas, di sini.

Yang Dipertua Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata pemasangan alat itu bagi memburu individu tidak bertanggungjawab selain mengelak kawasan terbabit dicemari sampah.

“Sampah haram di sini telah dibersihkan pada Jun namun didapati kejadian terus berlaku sehingga kini.

“Kita akan memasang CCTV dan membuat rondaan serta tindakan tegas akan dikenakan kepada pihak terlibat,” katanya memetik laporan Kosmo.

Terdahulu, beliau bersama Pengerusi 99 Kebajikan Insan Selangor (Kesan) Muhd Ali Zakariah meninjau lokasi pembuangan sampah haram tersebut.

Ahmad Fadzli berkata kerja pembersihan akan dijalankan dan kawasan itu dipasang tali pita bagi menghalang aktiviti berkenaan.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

ADN Sentosa gigih atasi isu tapak pembuangan sampah haram

Masalah pembuangan sampah haram antara kesulitan utama yang sering dihadapi Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa Dr G Gunarajah sejak bergelar wakil rakyat lebih dua tahun lalu.

Cakna mengenai isu berkenaan, beliau berusaha gigih mengatasinya dari berlarutan. Hasil-
nya masalah itu kian berkurangan.

“Saya perkenalkan kempen Bersih dan Hijau sejak 28 April tahun lalu untuk memastikan Sentosa sentiasa bersih dan memupuk kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga alam sekitar.

“Saya juga mengadakan program gotong-royong bersama beberapa sekolah dan berjaya mengutip 1,106kg sampah,” katanya.

Beliau yakin masalah itu dapat diselesaikan melalui kerjasama Majlis Perbandaran Klang dan KDEB Waste Management seterusnya memastikan Sentosa bebas daripada ‘tapak’ pembuangan sampah haram.

Banjir kilat

Gunarajah mengesan dua lagi masalah iaitu banjir kilat dan ketiadaan pasar harian yang diperlukan peniaga bagi meningkatkan taraf ekonomi hampir 52,000 penduduk.

Dr G Gunarajah

“Dengan adanya pasar harian kekal akan memudahkan masyarakat mendapatkan barang keperluan makanan dengan selesa,” katanya.

Kekerapan banjir pula ekoran longkang tersumbat dan tanah mendap. Isu tersebut diatasi dengan bantuan agensi kerajaan yang melaksanakan projek tebatan.

Selain itu, pelbagai inisiatif ditawar kepada penduduk ke arah menjadi negeri pintar. Beliau juga berharap Kerajaan Negeri meneruskan projek pembangunan seimbang dari sudut sosioekonomi mahupun prasarana.

Gunarajah turut memuji kepimpinan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari yang selalu mengutamakan rakyat daripada mencampuri urusan politik.

“Kerajaan pimpinan Amirudin sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai asas pentadbiran beliau, malah pelbagai sumbangan diperkenalkan dan masih diteruskan bagi membantu rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Projek yang dijayakan:

  • Membantu 250 anak orang kelainan upaya (OKU) berusia empat hingga 13 tahun dari segi pendidikan
  • Menawarkan peluang pekerjaan kepada hampir 100 penduduk dengan kerjasama syarikat Citylink Express
  • Membentuk gabungan persatuan penduduk dan kawasan
  • Rukun Tetangga bagi aktiviti kemasyarakatan di Sentosa
  • Mewujudkan Pusat Pembangunan Komuniti, ruang untuk penduduk mengadakan aktiviti secara percuma
  • Mengadakan seminar pendidikan percuma kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia