Categories
SELANGOR

Tambah Maahad Integrasi Tahfiz Selangor, lahir lebih ramai huffaz

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 4 FEB: Kerajaan Negeri perlu membina lebih banyak Maahad Integrasi Tahfiz seluruh Selangor bagi memenuhi permintaan tinggi pelajar yang berminat melanjutkan pelajaran ke sekolah berkenaan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Haris Kasim berkata, ia susulan sambutan ibu bapa terhadap pendidikan Islam yang sangat menggalakkan sejak beberapa tahun ini.

“Besar harapan Jais supaya Kerajaan Negeri dapat mendirikan lebih banyak Maahad Integrasi Tahfiz Selangor bagi menampung permintaan dan permohonan yang kian meningkat dari tahun ke tahun.

hafazan 5“Dengan adanya pertambahan ini, ia akan menjadi tempat dalam melahirkan lebih ramai golongan huffaz,” katanya ketika berucap dalam Majlis Menghafaz Al Quran, di sini, semalam.

Haris berkata, Bahagian Pendidikan Islam Jais menerima 2,008 permohonan ke tingkatan satu bagi tahun ini di Maahad Integrasi Tahfiz Selangor tetapi jumlah yang mampu ditawarkan hanya 170.

Katanya, statistik itu menunjukkan jurang permintaan pelajar jauh lebih besar berbanding tempat yang mampu disediakan.

“Kerajaan Negeri melalui Jais sentiasa bertekad dan berusaha untuk melahirkan golongan huffaz yang bukan sahaja mampu menghafaz Al Quran, bahkan menguasai pelbagai bidang di dalam masyarakat khususnya di Selangor,” katanya.

Beliau berkata, Jais menyediakan tiga Maahad Integrasi Tahfiz Selangor di Sabak Bernam yang menempatkan 190 pelajar, Klang (296) dan Kuala Langat (293) sehingga kini.

Bhafazan 3erdasarkan permohonan kemasukan ke Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) bagi tahun ini pula, Bahagian Pendidikan Islam Jais menerima 2,294 permohonan dan jumlah yang mampu disediakan hanya 1,124 pelajar bagi pengambilan tahun satu.

Kerajaan Negeri melalui Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyediakan beberapa insentif terhadap golongan berkenaan dalam usaha memartabat serta menggalakkan kelahiran huffaz di Selangor.

Antara insentif itu adalah Elaun Ithbat Hafazan Al Quran Selangor yang dibahagikan kepada dua bahagian iaitu untuk 18 tahun ke atas dan ke bawah.

Bagi 18 tahun ke atas terbahagi kepada tiga kategori iaitu hafazan satu hingga 10 juzuk, hafazan satu hingga 20 juzuk serta hafazan satu hingga 30 juzuk.

Bayaran yang diberikan adalah RM1,200, RM1,800 dan RM3,000 yang dibuat dalam tempoh enam bulan atau dua kali setahun.

Manakala, bagi 18 tahun ke bawah pula disyaratkan perlu khatam hafazan 30 juzuk dan layak menerima elaun RM3,000 yang dibayar sekali setahun.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.