Categories
SELANGOR

Azizi lapor diri Datuk Bandar Petaling Jaya 1 April

Oleh : AFEEQA AFEERA

SELAYANG, 26 MAC: Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Mohd Azizi Mohd Zain akan melapor diri secara rasmi sebagai Datuk Bandar Petaling Jaya yang baharu berkuatkuasa pada 1 April.

Pelantikan Mohd Azizi itu sekaligus menjawab teka teki orang ramai berhubung posisi Datuk Bandar Petaling Jaya setelah penjawat terdahulu, Datin Paduka Alinah Ahmad bersara pada 31 Disember 2014.

aziziBeliau yang ditemui dalam sidang media di pejabatnya hari ini mengesahkan perkara itu dan menganggap lantikan berkenaan sebagai tanggungjawab besar setelah diberi kepercayaan oleh Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

“Isu berkaitan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) menjadi tarikan buat masyarakat dan rakyat jadi ini tanggungjawab yang besar dari satu majlis perbandaran, saya diberi amanah untuk berkhidmat di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

“Dari segi isu ia perkara yang sama sahaja seperti pengurusan sisa pepejal dan infrastruktur cuma di Petaling Jaya agak berbeza kerana kawasan ini membangun dan kebanyakan pembangunan sampai ke tahap maksima,” katanya.

Mohd Azizi berkata tumpuan akan diberikan kepada pembangunan berkualiti yang mengambil kira kepentingan masyarakat setempat memandangkan kebanyakan isu yang berlaku di bandar raya itu amat dekat dengan rakyat.

Katanya pada peringkat awal, beliau akan berhubung dengan pembayar cukai bagi mengetahui segala masalah berbangkit termasuk aduan yang disalurkan kepada wakil rakyat.

“Perkara yang sama akan saya lakukan di Petaling Jaya di mana sebanyak mungkin akan berhubung dengan wakil rakyat supaya saya dapat mendekati dan merasai isu yang dibawa.

“Dengan adanya hubungan ini, saya lebih senang faham dan MBPJ dapat selesaikan masalah yang berbangkit secara efisyen,” katanya lagi.

Mohd Azizi yang sebelum ini pernah menjawat posisi sebagai Bendahari Negeri Selangor mula berkhidmat sebagai YDP MPS secara rasmi pada 2 Januari 2013.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.