Categories
NASIONAL

Azmin: Isu kerjasama Pakatan Sabah & Sarawak dibincang biro politik

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM 31 MAC: Perbezaan pandangan  Pakatan Rakyat (PR) di Sabah dan Sarawak sehingga mengakibatkan kerjasama bersama PAS dibatalkan akan dibincangkan di peringkat biro politik PKR.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali menjelaskan, parti itu akan mendengar penjelasan di peringkat negeri sehingga mereka bertindak sedemikian sebelum membuat sebarang keputusan.

PAKATAN RAKYATKatanya, PKR Pusat sebelum ini kekal dengan keputusan mempertahankan dan memperkukuh Pakatan Rakyat.

“Kita mengaku ada beberapa masalah sedikit dalam beberapa isu. Tetapi pengalaman sebelum ini dalam beberapa isu besar yang melanda Pakatan Rakyat dapat diselesaikan secara muafakat.

“Tidak perlu bertelagah di media kerana media juga ada agenda tertentu. Kalau pimpinan PR di semua peringkat dapat duduk berbincang berdasarkan konsensus saya percaya masalah besar dapat diselesaikan,” katanya kepada media di Bangunan Annex.

Jelasnya, PR di semenanjung khususnya Selangor kekal kukuh dan akan terus memberikan tumpuanj kepada pembangunan negeri.

Sebelum ini, DAP dan PKR di dua negeri berkenaan mengambil pendirian memutuskan hubungan kerjasama dengan PAS ekoran pendirian parti berkenaan untuk kekal membawa usul Pindaan Enakmen Syariah II bagi membolehkan mereka melaksanakan hudud di Negeri Kelantan.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.