Categories
NASIONAL

DAP lapor polis kerjasama 1MDB & Arab Saudi

Oleh: NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 4 MAC: DAP membuat laporan polis berhubung pendedahan di laman sesawang ‘Sarawak Report’ membabitkan kerjasama urusan luar negara antara 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan Arab Saudi.

Laporan polis terbabit dibuat di Balai Polis Damansara oleh Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua, kira-kira jam 11 pagi, hari ini.

Pua ketika ditemui berkata, laporan polis itu dibuat supaya polis dapat menyiasat syarikat dan individu yang terlibat dalam urusan luar negara membabitkan Arab Saudi itu.

1MDB“1MDB adalah anak syarikat kepada Kementerian Kewangan. Suntikan wang kepada syarikat itu berasal daripada pinjaman yang dijamin kerajaan persekutuan.

“Saya amat risau kerana perkara di atas menimbulkan soalan berunsurkan penipuan dan penyelewengan,” katanya.

Pua berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu memperjelaskan kaitan ahli perniagaan, Low Taek Jho Low dalam polisi urusan luar negara dengan Arab Saudi seperti yang didedahkan laman sesawang terbabit.

“Laman itu membongkar beberapa dokumen, e-mel dan perjanjian antara syarikat 1MDB dengan syarikat PetroSaudi International Limited (PSI) sejak September 2009 sehingga PSI menubuhkan anak syarikat sepenuhnya ‘1MDB Petrosaudi Limited’,” katanya.

Katanya, PSI menandatangani sebuah perjanjian dengan 1MDB Petrosaudi Limited yang mengaku dan bersetuju bahawa syarikat itu berhutang sebanyak USD700 juta kepada PSI, pada 25 September 2009.

tony-pua“Mengikut perjanjian usahasama itu, PSI menyuntik aset bernilai USD2.7 bilion untuk memperoleh saham anak syarikat 1MDB Petrosaudi Limited yang bernilai USD1.5 bilion.

“Manakala, 1MDB menyuntik wang tunai USD 1bilion untuk memperoleh 40 peratus syarikat 1MDB Petrosaudi Limited.

“Pada 29 september 2009, PSI menulis surat untuk meminta bayaran balik pinjaman USD700 juta kepada akaun RBS Coutts Bank Ltd iaitu akaun sebuah syarikat bernama ‘good Star limited’ milik Jho Low,” katanya.

Sehubungan itu, Pua berkata, laporan itu turut mendedahkan aset yang disuntik PSI ke dalam 1MDB Petrosaudi Limited tidak dimiliki syarikat berkenaan.

“Oleh itu, polis perlu menyiasat perkara ini kerana pelbagai keraguan berlaku,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.