Categories
SELANGOR

Exco, bintang bola Selangor anggap titah Sultan pembakar semangat

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 31 MAC: Titah DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar kecemerlangan sukan khususnya sukan bola sepak dimartabatkan disambut baik Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari.

Amirudin berkata titah Baginda Sultan itu tepat pada masanya dan beliau sudah memulakan pelbagai rancangan dalam usaha meningkatkan kecemerlangan sukan sejak mula menduduki kerusi Exco lagi.

Sultan“Walaupun pelbagai langkah sudah dan sedang diambil tetapi kami akan pertingkatkan lagi dengan rancangan lebih tersusun untuk kemajuan sukan negeri ini,” kata Amirudin kepada Selangor Kini.

Jelas beliau, titah ucapan Sultan Selangor juga seolah-olah memberi semangat baru kepada atlit dan pihak yang terlibat dalam pembangunan sukan Selangor.

Sementara itu, pemain kebangsaan yang juga bintang bola sepak kelahiran Selangor, Safee Sali berkata sukan bukan sahaja mampu menyatupadukan rakyat tanpa mengira kaum malah merupakan salah satu sumber ekonomi sekiranya diuruskan secara profesional.

“Sukan merupakan salah satu industri penting memajukan sesebuah negeri di mana ini akan menarik minat anak muda kerana mereka mendapati kewujudan peluang perkerjaan profesional sebagai pemain bola sepak yang mempunyai masa hadapan,” kata Safee kepada Selangor Kini.

Safee turut berharap sukan bola sepak Selangor kembali bangkit sekaligus memberi saingan yang sihat kepada mana-mana pasukan termasuk JDT yang diwakilinya sekaligus merancakkan lagi sukan bola sepak tanah air.

“Walau ke mana pun saya pergi, kita semua dah tahu Selangor mempunyai sejarah yang baik dalam bola sepak. Saya harap Selangor akan menjadi sebuah pasukan digeruni kembali dan mempunyai pengurusan yang profesional,” kata Safee lagi.

Pemain pertahanan Selangor, Rizal Fahmi Abd Rosid pula berkata titah ucapan Baginda itu sendiri pembakar semangat kepada pasukan Selangor untuk beraksi lebih cemerlang dalam baki perlawanan Liga Super.

“Langkah memartabatkan sukan khususnya bola sepak memang langkah terbaik terutama bagi kami dan peminat bola sepak sebab bola sepak sukan nombor satu negara.

“Titah Tuanku itu sendiri satu dorongan yang kuat untuk kami semakin bersemangat,” kata Rizal.

Leave a Reply

Your email address will not be published.