Categories
KENYATAAN MEDIA

Henti tugas loji rawatan air Sungai Semenyih

Oleh: ZAIDY ABDUL TALIB

1. Susulan daripada penurunan kadar pH dan peningkatan parameter Mangan dan Ammonia di Sg. Semenyih pada jam 3.15 petang 3 Mac 2015, loji rawatan air (LRA) Sg. Semenyih telah mengurangkan kadar pengepaman air mentah daripada 682 juta liter sehari (JLH) kepada 409 JLH dan seterusnya menghentikan operasi loji pada jam 5.15 petang pada hari tersebut. Kadar pH yang dicatatkan di dalam air mentah adalah 5.65, Ammonia pada 1.60 ppm dan Mangan pada kadar 1.51 ppm.

2. Siasatan LUAS bersama pihak ABASS pada 3 Mac 2015 yang lepas, telah mendapati analisa pensampelan in-situ bagi parameter pH, Ammonia dan Mangan di Sg. Semenyih dan anak-anak sungainya adalah pada kadar normal. LRA Sg. Semenyih telah beroperasi semula pada kapasiti penuh jam 3.00 pagi semalam apabila parameter pH kembali stabil di muka sauk pada kadar 6.86, Ammonia pada kadar 0.95 ppm dan Mangan pada kadar 0.41 ppm pada jam 2 pagi semalam. Sehingga jam 7 malam semalam bacaan di muka sauk bagi parameter pH adalah 6.69, Ammonia 1.07 ppm dan Mangan 0.28 ppm. Siasatan masih lagi diteruskan untuk mengenalpasti punca yang menyebabkan pencemaran tersebut berlaku.

3. Pihak SYABAS menjangkakan bahawa bekalan air di kawasan pengguna yang terjejas di Wilayah Petaling, Kuala Langat dan Sepang akan pulih sepenuhnya menjelang pagi ini. Sementara itu, bagi kawasan yang terlibat di Wilayah Hulu Langat, bekalan air dijangka pulih sepenuhnya menjelang pagi 6 Mac 2015. Bagi mendapatkan perincian status pemulihan bekalan air mengikut setiap kawasan masing-masing, pengguna digalakkan mengakses laman web SYABAS (www.syabas.com.my)

4. Bagi mengurangkan kesulitan pengguna di kawasan yang belum pulih sepenuhnya bekalan air masing-masing, pihak SYABAS akan terus menyediakan bantuan bekalan air kecemasan melalui 49 lori-lori tangki yang telah digerakkan sejak berlakunya gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

 # Zaidy Abdul Talib adalah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani

Leave a Reply

Your email address will not be published.