Categories
SELANGOR

Isu batal MOU air dibincang mesyuarat exco & jawatankuasa air Pakatan Rakyat

Oleh : NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 13 MAC: Keputusan Kerajaan Selangor membatalkan perjanjian induk pensturukturan semula industri air diputuskan dalam mesyuarat bersama antara barisan Exco dan Jawatankuasa Air Pakatan Rakyat pada 8 Mac lalu.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata perkara sama juga dibincangkan secara mendalam bersama barisan exco sebelum ini.

ISU AIR SELANGOR BARU“Keputusan tersebut melibatkan peranan dan tindakan eksekutif, ia dibincangkan secara mendalam dalam mesyuarat exco sebelum ini.

“Ia juga dibincangkan sekali lagi bersama Jawatankuasa Air Pakatan Rakyat, dua hari sebelum (8 Mac) Dato’ Menteri Besar mengumumkan keputusan pembatalan di Parlimen pada 10 Mac lalu,” katannya kepada Selangor Kini.

Mengulas lanjut, Zaidy berkata tidak timbul isu membelakangkan peranan Adun dalam perkara itu, sebaliknya forum penerangan bakal dianjurkan dalam masa terdekat bertujuan memberi penjelasan kepada semua wakil rakyat negeri itu.

“Kita buat yang terbaik dalam hal ini. Dalam membuat keputusan, kita libatkan peranan eksekutif dan jawatankuasa terlibat.

“Sementara soal rasionalisasi keputusan itu, kami akan adakan pertemuan konsensus bersama Adun-adun,” katanya.

Zaidy menjangkakan konsensus bersama itu bakal berlangsung sebelum Persidangan Penggal Ke-3, Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-13, pada 30 Mac depan.

“Itu yang dibincangkan dalam mesyuarat exco minggu ini. Belum ada tarikh yang tepat, tetapi kita cuba adakan dalam masa terdekat, sebaiknya sebelum sidang DNS bermula,” katanya.

Perjanjian induk pensturukturan semula industri air Selangor terlupus dengan sendirinya berikutan Kerajaan Pusat tidak menghormati prinsip dan semangat perjanjian termasuk mengiktiraf kedaulatan tanah dan aset air Selangor.

Sekurang-kurangnya tanah sepanjang 26,000 kilometer yang menempatkan paip air iaitu sebagai aset dalam perjanjian mahu diambil alih oleh Kerajaan Pusat.

Sebaliknya Kerajaan Selangor hanya bersetuju menyerahkan aset air yang sudah dinaik taraf oleh syarikat konsesi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.