Categories
SELANGOR

LAPORAN KHAS: Kaut untung atas angin, senarai hitam penyewa ingkar

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 5 MAC: Tindakan Kerajaan Pusat membenarkan warga asing bekerja di negara ini bukan sahaja membuka peluang kepada mereka bermaharajalela tetapi pihak tidak bertanggungjawab turut meraih keuntungan.

Tidak kurang juga ada kumpulan warga asing yang tinggal di kawasan penduduk tempatan sehingga membina penempatan dan membuka perniagaan sendiri.

Kebanjiran itu juga menyebabkan penyewa tempatan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) berani mengambil kesempatan dengan menyewakan unit  kediaman mereka kepada warga asing bagi mendapatkan keuntungan berlipat ganda.

_MG_1101Kebanyakan warga asing terpaksa membayar sewa lebih tinggi berbanding RM124 dan RM250 sebulan yang ditetapkan ke atas penyewa tempatan.

Harga sewa yang dikenakan kepada warga asing adalah antara RM300 hingga RM500 sebulan.

Ahli Majlis MBPJ, Raja Fairus Raja Mazlan berkata, penyewa tempatan yang mengaut keuntungan ‘atas angin’ perlu disenarai hitam daripada sebarang bentuk bantuan supaya menjadi pengajaran kepada semua pihak.

Katanya, langkah terbabit bagi memastikan tiada lagi isu berbangkit dalam masalah itu.

“Tindakan yang dilakukan pemilik unit terbabit tidak bermoral iaitu melakukan penipuan dengan memeras warga asing untuk mendapatkan kesenangan hidup. Sebaiknya, senaraikan hitamkan nama pemilik unit itu untuk memberi pengajaran kepada mereka.

YB Daroyah sampaikan sumbangan mangsa jatuh PPR Kota Damansara (6)“Kita tidak dapat mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka tetapi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Kerajaan Negeri boleh menyekat penama itu dari mendapat sebarang bantuan lagi,” katanya.

Selain itu, Ahli Majlis MBPJ, Cynthia Gabriel memaklumkan pengurusan MBPJ sudah mengenalpasti beberapa unit PPR yang dihuni warga asing.

Katanya, MBPJ sudah mengeluarkan notis pengosongan kepada unit terbabit dan tindakan pengusiran akan dilakukan dalam masa terdekat.

“MBPJ juga akan membatalkan kontrak penyewaan kepada penyewa berdaftar jika menyalahgunakan unit rumah dengan menyewakannya kepada pihak ketiga.

“Mana-mana unit itu akan ditarik balik dan akan disewakan kepada pemohon yang terdapat di dalam senarai menunggu,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.