Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Aplikasi mudahkan warga PPR buat aduan, daftar program negeri

SHAH ALAM, 17 APRIL: Aplikasi khusus buat penghuni projek perumahan rakyat (PPR) diwujudkan bagi membantu komuniti di kawasan terbabit membuat aduan.

Penasihat utama Think City berkata sistem Kita untuk Kita (K2K) yang dibangunkan bersama Kerajaan Selangor juga memudahkan penduduk mendapat maklumat berkaitan program negeri.

“Ia juga meliputi maklumat bantuan kewangan, barangan dan sebagainya dengan syarat pengguna aplikasi berkenaan mestilah penghuni PPR.

“Melaluinya, program negeri sedia ada lebih mudah dimaklumkan untuk manfaat penghuni PPR seperti program keusahawanan yang dapat meningkatkan sumber pendapatan,” kata Dr Shahridan Faez kepada Selangorkini.

Beliau menambah hanya PPR Kampung Baru Hicom menggunakan aplikasi itu setakat ini, yang secara tidak langsung membentuk pengurusan komuniti secara sistematik.

Petang tadi, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat sekitar PPR terbabit sempena Hari K2K dan merasmikan pusat pengurusan Perumahan dan Hartanah Selangor.

Inisiatif yang dibangunkan susulan pandemik Covid-19 merangkumi aspek sosial, ekonomi, kesihatan dan infrastruktur PPR boleh dimuat turun di Google Play Store.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

K2K tingkat kualiti, taraf hidup penghuni PPR

SHAH ALAM, 17 APRIL: Kerajaan Negeri bekerjasama dengan Think City Sdn Bhd (Think City) menyediakan platform komuniti perumahan awam dikenali K2K (Kita Untuk Kita) Selangor bagi meningkatkan kualiti dan taraf hidup penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Dato’ Menteri Besar berkata menerusi projek perintis dilakukan di PPR Kampung Baru Hicom di sini, ia mengambil pendekatan menyeluruh, bekerjasama dengan komuniti untuk mencari jalan penyelesaian memenuhi aspek sosial, ekonomi dan fizikal.

“Think City telah mengubah paradigma dan menjadikan pandemik yang lepas sebagai satu peluang untuk mengukur, membuat kajian dan mengenal pasti keperluan yang sesuai dengan apa diharapkan Kerajaan Negeri.

“Iaitu kita beri apa yang mereka perlukan seperti pengurusan dan pemprosesan data serta analisa data raya yang mampu memberi jawapan polisi kerajaan lebih tepat,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan di PPR Kampung Baru Hicom sempena Hari K2K Selangor.

Sementara itu, Think City menerusi kenyataan memaklumkan K2K adalah usaha menghubungkan program kerajaan, sumbangan korporat, komuniti perumahan awam dan sistem pengurusannya melalui platform digital menyediakan langkah penyampaian dan impak yang cekap, berkesan dan telus.

“Ini termasuk menghubungkan masyarakat dengan makanan dan barang lebih murah, menyediakan akses mudah untuk kemahiran dan latihan.

“Sistem ini disokong mobilisasi komuniti dan pengukuran impak melalui analisis data dari platform digital serta sumber lain,” kata Pengarah Urusannya, Hamdan Abdul Majeed.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Empat PPR dapat baucar makanan, manfaat 2,635 penyewa

SHAH ALAM, 1 APRIL: Sebanyak empat Projek Perumahan Rakyat (PPR) negeri ini menerima baucar belian barangan asas bernilai RM50 setakat Februari.

EXCO perumahan berkata sumbangan kepada 2,635 penyewa diagih secara berfasa mulai Januari yang boleh ditebus di pasar raya 99 Speedmart.

Rodziah Ismail menjelaskan inisiatif Pakej Kita Selangor bagi meringankan beban golongan terjejas pendapatan susulan wabak Covid-19.

“Setiap keluarga di PPR Hicom, PPR Kota Damansara, PPR Serendah dan PPR Council Home, Bangi akan terus menerima manfaat ini sehingga Julai.

“Pada Mei, jumlah baucar ditambah kepada RM100 sebagai persiapan menyambut Aidilfitri,” katanya menambah sebanyak RM827,750 diperuntuk untuk membantu penghuni PPR terbabit.

Rodziah berkata sumbangan sama turut diberikan kepada hampir 3,000 penduduk PPR Lembah Subang membabitkan dana RM150,200 bagi memastikan kebajikan mereka terpelihara.

Pakej Kita Selangor yang diumum pada 20 Januari memperuntuk RM4.35 juta bagi menjayakan program Bakul Makanan untuk membantu golongan terjejas akibat wabak Covid-19.

Bantuan itu meliputi pemandu teksi dan bas, petugas barisan hadapan, penyewa PPR, warga tani dan pemandu lori KDEB Waste Management.

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

2,365 penghuni empat PPR terima baucar RM350

SHAH ALAM, 19 FEB: Seramai 2,365 penghuni di empat Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Selangor bakal menerima baucar sebanyak RM350, kata EXCO perumahan.

Rodziah Ismail berkata inisiatif itu diberikan secara berperingkat dalam tempoh enam bulan bermula bulan ini (RM50), Mac (RM50), April (RM50), Mei (RM100), Jun (RM50) dan Julai (RM50) melibatkan implikasi kewangan lebih RM800,000.

“Kita harap baucar ini sedikit sebanyak meringankan beban penghuni PPR di bandar untuk membeli keperluan harian keluarga.

“Selain itu Kerajaan Negeri juga sedang merangka pelbagai program antaranya memastikan kanak-kanak di PPR menerima makanan seimbang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Simbolik Penyerahan Dana Bantuan Bakul Makanan di Kediaman Rasmi Menteri Besar, semalam.

Empat PPR di bawah Kerajaan Negeri ialah Kota Damansara, Kampung Baru Hicom di Shah Alam, Serendah di Rawang dan Council Homes di Bandar Baru Bangi.

Sebelum ini penghuni PPR turut menikmati pengecualian sewa bulan Januari dan penangguhan sewa Februari dan Mac untuk 2,365 penyewa PPR dan penangguhan sewa tiga bulan (Januari- Mac) untuk 450 penyewa Skim Smart Sewa melibatkan kos RM2.7 juta.

Inisiatif tersebut antara yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor bagi meringankan beban rakyat untuk mendepani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

 

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO saran KPKT tiru langkah Selangor pantau PPR

SHAH ALAM, 27 JAN: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) digesa mencontohi Kerajaan Selangor dalam memantau Projek Perumahan Rakyat (PPR).

EXCO perumahan dan kesejahteraan bandar berkata pihaknya bukan saja menitikberatkan persekitaran kondusif bagi penduduk kawasan tersebut malah turut menumpukan aspek kebajikan serta kaedah membantu mereka menambah pendapatan.

“KPKT diminta beri tumpuan kepada penghuni PPR terutama di Lembah Subang yang pengurusannya sudah berpindah tangan kepada mereka dari Kerajaan Selangor.

“Perkara ini perlu diambil serius kerana sepanjang pandemik Covid-19 pelagai isu timbul berkaitan penduduk di situ,” kata Rodziah Ismail selepas Program Penyerahan Bantuan Mangsa Banjir Wanita KEADILAN Selangor kepada Wanita KEADILAN Pahang.

Program di Dewan Pusat Wanita Berdaya Seksyen 23 di sini turut dihadiri Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.

Mengulas lanjut, Rodziah berkata sehingga kini terdapat empat PPR di bawah pengurusan Kerajaan Selangor iaitu PPR Hicom, PPR Kota Damansara, PPR Taman Tasik Teratai Serendah dan Council Homes Bandar Baru Bangi.

Katanya, pada 20 Januari lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan pengecualian dan penangguhan bayaran sewa PPR melibatkan kos RM1.7 juta serta manfaat 2,361 unit penyewa.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA JENAYAH

EXCO: PPR Selangor bakal jadi model negeri lain

SHAH ALAM, 17 JAN: Selangor mewujudkan Program Perumahan Rakyat (PPR) ke arah merealisasikan model kediaman kos rendah terbaik kepada negeri lain.

EXCO perumahan berkata PPR contoh merangkumi pengurusan cekap, penyelenggaraan rapi, kesejahteraan keluarga dan penduduk, keselamatan serta ruang komunal bersepadu.

“Impian mewujudkan model atau ikon PPR kepada pihak luar antara perkara ditekankan sepanjang 100 hari saya memegang portfolio perumahan sejak 7 Oktober tahun lepas.

“Selain itu Kerajaan Negeri turut menekankan aspek pembangunan strata menerusi pemerkasaan Bahagian Pesuruhjaya Bangunan (COB) dan bimbingan kepada Badan Pengurusan Bersama (JMB),” kata Rodziah Ismail kepada SelangorKini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri turut memperkenal Dasar Rumah Mampu Milik SelangorKu (RSKU) 3.0 bagi mengganti dasar sedia ada.

“Usaha menambah baik dasar perumahan bertujuan meningkatkan pemilikan kediaman pertama dalam kalangan rakyat negeri ini,” katanya.

Dasar RSKU 2.0 diperkenal pada April 2018 menumpu penambahbaikan aspek pemilikan, perancangan dan pelaksanaan untuk manfaat pemaju, pelaksana dasar dan pemilik rumah.

Rumah Selangorku dijual pada harga antara RM42,000 sehingga RM250,000 dengan variasi lima jenis rumah berkeluasan antara 700 sehingga 1,000 kaki persegi.

Categories
AGENDA NASIONAL

EXCO gesa persekutuan lanjutkan pengecualian sewa PPR, perumahan awam

SHAH ALAM, 23 OKT: EXCO perumahan dan kesejahteraan bandar menggesa Kerajaan Persekutuan melanjutkan pengecualian bayaran sewa kepada golongan berpendapatan rendah (B40) yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan perumahan awam.

Rodziah Ismail berkata pengecualian itu perlu kerana golongan berkenaan paling terkesan dengan situasi ekonomi tidak menentu sejak pandemik Covid-19 melanda negara.

“B40 merupakan golongan yang paling terjejas dengan situasi yang melanda. Kebanyakan mereka yang bekerja di sektor bawahan diberhentikan kerja.

“Kesukaran mendapatkan pekerjaan pada ketika ini merupakan satu cabaran buat golongan B40,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac lalu, Kerajaan Selangor memberikan pengecualian bayaran sewa bagi bulan April melibatkan semua penyewa PPR di bawah pengurusan pentadbiran negeri dengan jumlah keseluruhan bernilai RM562,358.

Selain itu, penangguhan bayaran sewa selama dua bulan turut diberikan bagi bulan Mei dan Jun di semua PPR terlibat dengan kos sebanyak RM1.124 juta.

Rodziah menambah kerajaan juga perlu meneliti data Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan negara mengalami penyusutan ekonomi paling ketara dalam kalangan negara Asean.

“Mengikut data itu, ekonomi kita menyusut sebanyak 17.1 peratus dalam suku kedua 2020. Begitu juga dengan kadar pengangguran yang meningkat kepada 4.7 peratus pada Julai lalu berbanding 3.3 peratus pada Julai 2019.”

Katanya, peratusan pengangguran itu merupakan angka yang besar iaitu bersamaan dengan 745,100 orang.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Empat PPR dikecuali bayar sewa sebulan

SHAH ALAM, 9 APRIL: Selangor hari ini mengumumkan pengecualian bayaran sewa selama sebulan membabitkan empat Program Perumahan Rakyat (PPR) di bawah seliannya.

PPR terbabit ialah PPR Kampung Baru Hicom, PPR Kota Damansara, PPR Serendah dan Council Homes Bandar Baru Bangi membabitkan 2,632 unit penyewa.

EXCO Perumahan Haniza Mohamed Talha berkata PPR tersebut turut diberi penangguhan sewa selama dua bulan pada Mei dan Jun bagi meringankan beban mereka yang terjejas susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Berdasarkan aduan diterima, terdapat penyewa tidak mampu membayar sewa bulanan atas beberapa sebab seperti pemotongan gaji oleh majikan, tidak dapat keluar berniaga dan hilang mata pencarian.

“Justeru, Kerajaan Negeri berharap perkara yang diputuskan ini sedikit sebanyak mengurangkan beban yang ditanggung oleh semua penyewa,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, beliau turut menyeru rakyat mematuhi arahan PKP untuk memastikan kehidupan kembali seperti sedia kala.

Pada 21 Mac lalu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mengumumkan pengecualian bayaran sewa sebulan membabitkan 9,185 unit rumah PPR.

PPR terbabit ialah PPR Sentul Murni, Rumah Transit Bukit Jalil, PPR Lembah Subang 1, PPR Lembah Subang 2, PPR Kampung Hassan Hulu Selangor dan PPR Ladang Siliau Port Dickson.

Turut tersenarai, PPR Tok Suboh, PPR Amanjaya, PPR Kota Setar, PPR Sinar Intan 3, PPR Gua Musang dan PPR Kota Bahru.

Categories
AGENDA NASIONAL

KPKT kembangkan Pusat Komuniti Sifar Sisa di 19 PPR

IPOH, 29 FEB: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) merancang untuk mengembangkan Pusat Komuniti Sifar Sisa (ZeComm) di 19 Projek Perumahan Rakyat (PPR) seluruh negara.

Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Mohammad Mentek berkata ketika ini pihaknya telah menubuhkan lima ZeComm iaitu di PPR Kota Bharu, Kelantan; PPR Lembah Subang 2, Selangor; PPR Tehel, Melaka; PPR Senawang, Negeri Sembilan dan Rumah Pangsa Jalan Hospital, Ipoh.

Beliau berkata inisiatif diperkenalkan sejak 2018, bagi kawasan perumahan terpilih itu selaras dengan pengasingan sisa pepejal yang dirangka untuk menyediakan akses penduduk menjalankan rawatan sisa makanan serta menjual barangan kitar semula, sekali gus mendapatkan ganjaran.

“Melalui ZeComm, satu pusat sifar sisa disediakan iaitu sebuah pusat pengumpulan barangan kitar semula dan pusat kompos. Penduduk perlu mengasingkan sisa makanan dan barang kitar semula dan akan diberi ganjaran dalam cara penebusan barangan harian seperti beras, minyak masak dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian sempena Hari Komuniti Negara yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim di sini, hari ini.

Mengenai Hari Komuniti Negara, Mohammad berkata ia diadakan bertujuan menghargai sumbangan serta kerjasama rakan-rakan strategik daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta institusi pengajian tinggi yang berusaha membantu memperkasa serta mendaya upaya komuniti.

“Sambutan ini secara tidak langsung memberi pendedahan dan hebahan kepada seluruh rakyat supaya sentiasa meneruskan usaha menjadikan komuniti sebagai golongan sasar utama dalam agenda pembangunan.

“Kami juga menyeru rakan strategik berpotensi untuk menjayakan pelaksanaan Dasar Komuniti Negara dan dengan langkah ini, kesejahteraan komuniti perumahan di bandar terutamanya dalam kalangan golongan B40 lebih berdaya maju dan sejahtera secara holistik,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Skim khas serap penyewa PA, PPR ada tunggakan sewa

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Kira-kira 4,900 penyewa Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR), di sekitar ibu kota yang mempunyai tunggakan sewa bulanan melebihi RM1,000 dikenal pasti untuk diserapkan dalam ‘Skim Khidmat Menjelaskan Tunggakan Sewa’.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperkenalkan skim berkenaan bagi mengatasi masalah penghuni yang mempunyai tunggakan sewa di kawasan PA dan PPR.

“Menerusi skim ini, DBKL akan melantik penghuni yang tidak mampu membayar sewa di kawasan perumahan mereka sebagai pekerja kebersihan dengan hasil pendapatan akan disalur terus kepada DBKL bagi membayar tunggakan sewa melalui pemotongan gaji yang diperoleh.

“DBKL telah bekerjasama dengan pihak kontraktor kebersihan di PA dan PPR serta penyewa sekitar ibu kota berhubung perkara ini. Skim ini disambut baik dan kesemua penyewa bersetuju dengan pendekatan ini,” katanya ketika merasmikan Program Perumahan Ku Bersih 2019 di PPR Seri Kota, Bandar Tun Razak, hari ini.

Khalid berkata, skim itu dilihat mampu menangani masalah tunggakan sewa sekali gus mengelak penyewa dikenakan tindakan penguatkuasaan sekiranya gagal membayar tunggakan itu.

Sementara itu, Khalid berkata Program Perumahan Ku Bersih 2019 adalah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) membabitkan pihak swasta, syarikat korporat, badan bukan kerajaan (NGO) serta orang perseorangan ke arah mewujudkan persekitaran bersih di seluruh PA dan PPR serta memupuk amalan menjaga kebersihan dalam kalangan penduduk.

“Tanggungjawab menjaga kebersihan selalunya dianggap tugas pihak berkuasa. Pandangan ini salah. Sebaliknya setiap individu hendaklah mempunyai rasa tanggungjawab menjaga kebersihan kawasan sekitar mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan bercadang memperuntukkan hasil jualan tanah berjumlah RM164 juta di Kuala Lumpur yang dijual dengan harga rendah pada satu masa dahulu untuk digunakan bagi tujuan penambahbaikan dan keceriaan di kawasan PA dan PPR.

“Beberapa penambahbaikan seperti mengecat bangunan, kemudahan fasiliti serta memasang kamera litar tertutup ( CCTV) akan dilaksanakan.

“Bagaimanapun, saya memerlukan kerjasama penduduk perumahan untuk sama-sama menjaga kebersihan serta menggunakan kemudahan yang disediakan dengan sebaiknya,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

KPKT lancar Sekretariat Muafakat Komuniti PPR

KOTA BHARU, 20 APRIL: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini melancarkan Sekretariat Muafakat Komuniti Program Perumahan Rakyat (PPR) bagi membantu peserta di projek perumahan untuk menjaga kebersihan, mengurus tempat dan menjana pendapatan.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata projek perintis bagi program berkenaan telah dimulakan di PPR Lembah Semanggol, Selangor sebelum ini dan mendapat sambutan yang baik daripada peserta di projek perumahan tersebut.

“Kita faham PPR sebelum ini tak mampu dikendalikan dan diselenggara oleh penduduk kerana mereka tak ada kapasiti untuk menguruskan 1,000 unit rumah dengan 6,000 penduduk.

“Bagaimanapun, sekretariat ini yang diuruskan sendiri oleh pegawai KPKT akan melatih bagaimana penduduk di setiap PPR untuk menjadi masyarakat yang berdaya dalam pelbagai aspek termasuklah kebersihan, keselamatan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Surat Tawaran dan Perasmian Pejabat Sekretariat PPR Kota Bharu yang turut dihadiri Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri Dr Izani Husin dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPKT Dr Mary Wong Lai Lin di sini, hari ini.

Pada majlis berkenaan, Zuraida turut menyerahkan surat tawaran sijil induksi dan kit pengurusan dan keselamatan PPR Kota Bharu kepada 480 peserta projek perumahan tersebut.

Beliau berkata PPR Kota Bharu merupakan tempat pertama sekretariat tersebut dilancarkan dan ia akan diperluaskan ke projek-projek perumahan kos rendah yang lain di bawah seliaan KPKT dari semasa ke semasa.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata KPKT akan menawarkan untuk menjual rumah PPR tersebut kepada peserta jika mereka mempunyai rekod yang baik dalam pembayaran sewa di projek perumahan berkenaan dalam tempoh lima tahun.

Katanya harga tawaran bergantung kepada ‘median income’ di sesebuah kawasan manakala kutipan sewa dan penyelenggaraan yang ditetapkan tidak melebihi RM350 sebulan akan diserahkan kepada kerajaan negeri.

Mengulas mengenai 97 jentera Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang dikatakan tersadai akibat kerosakan, Zuraida berkata pihaknya masih menyiasat kes berkenaan dan tidak teragak-agak untuk mendapatkan khidmat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika berlaku sebarang penyelewengan.

“Kita tidak akan melindungi mana-mana pihak dalam perkara ini,” katanya. -BERNAMA

Categories
NASIONAL SUKANKINI

Bangun infrastruktur, aktiviti sukan PPR kos rendah

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 20 APRIL: Kerajaan komited memastikan lebih banyak aktiviti dan infrastruktur sukan dibangunkan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) seluruh negara demi manfaat belia, di kawasan itu.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, PPR adalah kawasan diwakili golongan berpendapatan rendah (B40) yang lazimnya dilupakan memandangkan pembangunan sering dikhususkan di kawasan bandar atau luar bandar.

“Dalam perkara ini, KBS dan Kerajaan Negeri akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan lebih banyak aktiviti sukan serta infrastruktur sukan khususnya yang berdekatan boleh diguna pakai belia serta anak muda yang menetap di PPR.

“Kita akan cuba pergi ke sebanyak negeri yang mempunyai PPR kos rendah kerana fokus utama adalah untuk meningkatkan lagi infrastruktur sukan dan ini mustahak untuk jangka masa panjang.

“Kita mahu memastikan landskap sukan negara dapat ditambah baik, oleh sebab itu kita tidak boleh hanya memfokuskan di kawasan luar bandar atau bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Sukan Belia PPR Peringkat Selangor, di PPR Lembah Subang 2, di sini, hari ini.

Hadir sama, EXCO Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dan Ahli Dewan Negeri Seri Setia, Halimey Abu Bakar.

Terdahulu, lebih 1,000 belia dan penduduk di kawasan PPR Lembah Subang 1 dan 2 turut serta menjayakan program yang kali kedua digerakkan melalui KBS.

Syed Saddiq berkata, Sukan Belia PPR diwujudkan bagi memperkasa budaya bersukan dalam kalangan masyarakat ke arah mewujudkna negara bersukan menjelang 2020.

“Ia juga memberi galakan secara berterusan kepada belia dan orang ramai berhubung kepentingan gaya hidup aktif serta sihat melalui aktiviti kecergasan.

“Sukan ini dapat mengurangkan aktiviti vandalisme dalam kalangan remaja dan belia, bahkan mewujudkan perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan komuniti di PPR,” katanya.

Antara pengisian program adalah pertandingan ‘Street Soccer’, 3 on 3 Bola Jaring, Sukaneka Keluarga, ‘Family FunRobik’, ‘Dart Challenge’, Sepak Raga Ratus, pertandingan Caroom, ‘Fit & Fun Aerobikthon’, ‘Chair Fitness’ dan ‘Busker Show’.

Turut diadakan pertandingan mewarna kanak-kanak, perkhidmatan gunting rambut, perkhidmatan ‘Sport Massage’, perkhidmatan tukar minyak hitam selain Pameran dan pemeriksaan kesihatan, pendaftaran skuad antidadah serta pemeriksaan mata percuma.