Categories
EKONOMI

Layang-layang kapal pencorak langit biru

Oleh AFIX REDZUAN

Layang-layang kapal antara seni permainan rakyat yang kian dilupakan ramai sekalipun ia begitu popular kira-kira 30 tahun lalu.

Namun, ia kembali mencorak langit biru hasil kesedaran sebahagian generasi muda yang tidak mudah hanyut dek arus kemodenan.

Melalui Persatuan Layang-layang Kapal Kampung Bukit Kuching, Jeram di Kuala Selangor, ia menggamit nostalgia selepas kali terakhir ia dilayangkan pada 1986.

Langit yang selama ini sepi, kembali meriah dengan karya kreatif anak jati Selangor yang memekari suasana dengan layang-layang kapal.

Istilah ‘kapal’ digunakan berikutan ekor layang-layang itu menyerupai bentuk sebuah kapal sebagai mercu tanda ke-unikan seni Selangor.

Meskipun Malaysia sinonim dengan wau bulan yang terkenal di negeri Cik Siti Wan Kembang, namun keunikan ‘kapal’ pada layang-layang anak Selangor juga tidak kurang hebatnya.

Mula dimainkan sejak 1940-an, permainan tradisional itu subur di hati generasi keempat Kampung Bukit Kuching. Mereka sering berkumpul setiap petang umpama pesta keramaian.

Tidak kira muda mahupun ‘otai’, keharmonian dikongsi bersama penduduk setempat sebagai aktiviti riadah di hadap
an Sekolah Menengah Bukit Kuching.

Timbalan Pengerusi Kumpulan Layang-Layang Cagat Kampung Bukit Kuching Tengah, Mohd Nazri Abdul Samad, berkata dua bahan utama untuk menghasilkan layang-layang itu ialah buluh dan kertas.

Ada beberapa jenis buluh utama yang boleh digunakan antaranya buluh duri, buluh mata rusa, buluh minyak dan buluh tembaga.

Sebatang buluh berukuran enam kaki diperlukan untuk menghasilkan sebuah layang-layang pada harga RM15.

Bagaimanapun, tidak semua buluh tumbuh di hutan, lebih-lebih lagi dengan kepesatan pembangunan yang kian menghakis hutan.

“Buluh terbaik ialah buluh duri tetapi ia sukar untuk didapati sekarang. Na
mun, yang penting ia
lah keanjalan buluh.

“Kalau cuma guna buluh biasa, layang-layang hanya boleh dimainkan dalam saringan pertama dan kedua sahaja.

“Kalau menggunakan buluh yang baik, layang-layang boleh disimpan sehingga lapan tahun dan mampu bersaing dalam tempoh lama.

“Paling penting, kalau jatuh layang-layang tidak patah,” katanya kepada Selangor Kini.

Keunikan bentuk pula bergantung kepada kehalusan seni meraut buluh, selain kreativiti corak badan dengan aneka warna supaya nampak ‘hidup’ ketika di udara.

Ia memiliki corak dan reka bentuk tersendiri antaranya lukisan kasut, logo pasukan bola sepak dan jenama terkenal bidang sukan mahupun kecantikan.

Ada dua kategori pertan-
dingan iaitu tegak bermeter dan ponjot. Tegak bermeter biasanya dimainkan untuk layang-layang individu manakala ponjot untuk layang-layang yang banyak.

Mengikut undang-undang antarabangsa, badan layang-layang kapal biasa-nya diperbuat dengan kelebaran hampir enam kaki dengan berat kurang 100gram manakala ketinggiannya sekitar 17 inci – bergantung kepada kreativiti pembuatnya.

Layang-layang kapal biasanya dimainkan pada ketinggian lebih kurang 150 meter.

Bagi Mohd Nazri, kajian pendidikan layang-layang perlu diwujud di peringkat sekolah sehingga institut pengajian tinggi supaya warisan sedia ada tidak luput ditelan zaman.

“Di beberapa negeri seperti Kelantan dan Johor, kajian mengenai wau sudah dibuat. Kami cadangkan supaya inisia-tif itu diwujudkan,” katanya.

Beliau yakin permainan itu boleh dijadikan batu loncatan bagi menarik pelancong ke Selangor jika pelbagai pertan-
dingan seumpamanya diwujudkan di peringkat negeri.

Selain itu, nilai sesebuah layang-layang kapal mampu mencecah ratusan ringgit jika banyak memenangi pertandingan melalui cop penghargaan yang ditampal pada badan layang-layang.

“Kita akan terus kaji buluh, kertas, bentuk dan undang-undang permainan. Yang penting layang-layang dapat mengharmonikan masyarakat.

“Kalau kami jumpa buluh yang betul, ia akan dibawa pulang dan ditanam semula,” katanya yang berterima kasih kepada Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS)
kerana memberi galakan kepada anak muda tempatan bermain layang-layang kapal.

Leave a Reply

Your email address will not be published.