Categories
KENYATAAN MEDIA

Mangsa perlu tampil, masyarakat jangan hanya melihat

Oleh: DR DAROYAH ALWI

SHAH ALAM –  Kerajaan Negeri menyeru kepada seluruh rakyat di Selangor agar tidak berdiam diri jika mengetahui berlakunya kes keganasan dan penderaan di sekeliling mereka.

Exco Kebajikan, Dr Daroyah Alwi berkata, sebagai sebuah masyarakat yang prihatin, kita perlu menasihati mereka (mangsa) agar segera tampil ke hadapan bagi mendapatkan bantuan.
Menurutnya, mangsa keganasan dan penderaan terutamanya wanita dan kanak-kanak tidak seharusnya berdiam diri tetapi perlu mencari penyelesaian bijak dengan tampil mengemukakan aduan di “One Stop Crisis Centre” (OSCC) yang terdapat di Jabatan Kecemasan setiap hospital.

“One Stop Crisis Centre” (OSCC) atau lebih dikenali sebagai Pusat Khidmat Krisis Sehenti merupakan sebuah pusat perkhidmatan lengkap dan menyeluruh kepada mangsa penderaan, perkosaan dan keganasan rumah tangga.”

“Pusat khas yang ditubuhkan pada 1997 ini berfungsi untuk memberi rawatan kecemasan, pemeriksaan dan dokumentasi, khidmat kaunseling, sokongan emosi dan penempatan sementara bagi membantu dalam menstabilkan semula emosi mangsa serta membolehkan mereka memperolehi ketenangan fikiran seterusnya menyelesaikan masalah dihadapi setiap mangsa,” katanya semasa sesi perjumpaan dan taklimat serta penyerahan Kit OSCC kepada wakil enam buah hospital di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Dalam pertemuan tersebut, dilaporkan OSCC di Hospital Klang menerima kes yang paling ramai tahun lalu (2014) iaitu sebanyak 792 kes diikuti Hospital Ampang (344 kes) Hospital Selayang (300) dan hospital-hospital lain.
Agak menyedihkan selain ramai mangsa penderaan hari ini masih bersikap ‘mengunci mulut’, masyarakat sekeliling pula bersikap buat tidak tahu.

Dr Daroyah berkata, masih ramai masyarakat negeri ini khususnya di kawasan luar bandar belum memahami fungsi sebenar pusat itu dan terdapat juga segelintir masyarakat yang tidak mengetahui langsung akan kewujudannya.

Menurutnya lagi, perkara seumpama itu tidak seharusnya dipendamkan atau dibiarkan melarat kerana ia boleh merosakkan emosi dan berlakunya kes penganiayaan yang berterusan.

“Sehingga ke hari ini, peranan dan fungsi OSCC mendapat maklumbalas yang baik. Oleh yang demikian, peranan unit tersebut perlu disebar luas agar lebih banyak kes keganasan rumah tangga, penderaan, rogol, cabul serta eksploitasi terhadap wanita dan kanak-kanak dapat dikesan awal seterusnya diselesaikan dengan lebih cepat.

“Dengan kerjasama yang baik dengan pihak berkuasa seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan khidmat guaman, kebajikan dan keselamatan mangsa sentiasa menjadi keutamaan.

Pada majlis tersebut, Kerajaan Negeri menyediakan sebanyak 100 buat Kit OSCC kepada setiap hospital yang menyediakan perkhidmatan tersebut. Kit tersebut dilengkapi dengan keperluan diri antaranya tuala, baju, kain pelikat atau batik, kelengkapan mandi dan selipar untuk diberikan kepada pesakit (mangsa).

Sehingga hari ini, terdapat enam buah hospital kerajaan yang mempunyai kemudahan OSCC iaitu Hospital Klang, Ampang, Kajang, Sungai Buloh, Selayang dan Serdang.

# Dr Daroyah Alwi adalah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pembangunan Wanita Dan Keluarga

Leave a Reply

Your email address will not be published.