Categories
SELANGOR

Penduduk harus prihatin tangani vandalisme peti surat

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 19 MAC: Masyarakat tidak boleh memandang ringan perbuatan merosak dan mencuri peti surat milik persendirian atau Pos Malaysia yang banyak berlaku di kawasan pangsapuri.

Hal itu kerana perbuatan tidak bertanggungjawab terbabit mengakibatkan pemilik peti surat kehilangan dokumen penting, sekali gus menyebabkan kerugian kepada pihak terlibat.

faizul jmbPengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Saujana, Faizul Najib Abd Munaim berkata, antara punca kejadian kehilangan peti surat termasuk dicuri untuk dijual di pusat jualan kitar semula dan barangan lusuh.

“Biasanya peti surat diperbuat daripada besi aluminium yang mempunyai harga agak baik dalam pasaran barangan lusuh.

“Ini menyebabkan timbul pihak tak bertanggungjawab mencuri penutup peti surat untuk dijual bagi mendapatkan duit.

“Penduduk kena ada sifat bertanggungjawab dan prihatin sama ada barang itu milik kita atau milik bersama kerana semua orang terkena tempiasnya,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

peti surat rosakNaib Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Rumah Pangsa Kos Rendah PJS 7, Abd Rahman Punar pula berkata, pihaknya terpaksa menggunakan peruntukan RM7,500 yang diperoleh daripada Adun Subang Jaya bagi menggantikan 420 peti surat yang rosak di kediaman itu.

“Peti surat kami sebelum ini diperbuat daripada papan. Sebab terlalu uzur, kita tukar baru yang diperbuat daripada besi. Bila dah tukar yang baru, saya harap tak dicuri pula,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.