Categories
ADN SELANGOR

ADN: Potret Raja-Raja Melayu perlu dipapar di tempat strategik

SHAH ALAM, 21 JULAI: Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik berpandangan potret Raja-Raja Melayu lebih baik dipaparkan di ruang lebih strategik dan terpelihara seperti di galeri, muzium, parlimen atau pejabat kerajaan.

Mohd Najwan Halimi berkata perkara itu bagi menjamin setiap visual berkaitan kemuliaan Raja-Raja Melayu tidak mudah dicemar atau dirosakkan pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan vandalisme, mencemar dan merosakkan karya mural memaparkan potret Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong di Seksyen U12, semalam.

“Justeru, sebagai anak Selangor dan wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik, saya serta masyarakat di sini tidak boleh menerima sebarang perbuatan tidak bertamadun yang merosakkan karya seni dalam apa jua bentuk,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Najwan menyarankan setiap masyarakat termasuk pelukis dan seniman agar lebih sensitif meletakkan sesebuah karya terutama berkaitan institusi diraja kerana ia perlu dijaga melampaui imej atau mesej politik dan tidak meletakkannya sebaris dengan pemimpin politik.

Pada masa sama, beliau turut menawarkan khidmat dan sedia membantu pelukis mural terbabit untuk mencurahkan kreativiti di tempat sesuai selaras imej serta mesej disampaikan.

Mural tersebut memaparkan wajah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah dan beberapa pemimpin Malaysia yang dilukis oleh Muhammad Suhaimi Ali, 27; Muhamad Firdaus Nordin, 26; dan Abdul Hadi Ramli, 27.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelukis terkilan mural pemimpin diconteng, mahu lukis semula

SHAH ALAM, 20 JULAI: Pelukis potret beberapa pemimpin negara termasuk Dr Noor Hisham Abdullah yang menjadi sasaran contengan kata-kata kesat bertekad untuk melukis semula mural itu di lokasi lain.

Terkilan dengan perbuatan biadab sedemikian, Muhammad Suhaimi Ali, 27, berkata karya itu penghargaan kepada pemimpin negara dalam memerangi pandemik Covid-19, bukan bermotif politik.

Beliau berkata mereka berkongsi kos RM500 dari poket sendiri untuk menghasilkan karya itu yang siap sepenuhnya akhir Jun lalu.

“Kejadian ini tidak mematahkan semangat kami. Potret sama akan dilukis semula di kawasan lain sebab kami sangat menghargai pengorbanan semua pemimpin ini,” katanya yang menghasilkan mural bersama dua lagi rakannya, Mohamad Firdaus, 26, dan Abdul Hadi Ramli, 27.

Ia memaparkan wajah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ketua pengarah kesihatan.

Turut dipaparkan dalam barisan itu Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Firdaus, seorang pelukis potret itu, bergegas ke lokasi mural di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 dekat sini jam 9.30 pagi bagi memadam contengan sebaik sahaja mengetahui karya tersebut menjadi sasaran vandalisme.

“Saya bawa sekali kanvas dan cat sebab nk tutup contengan kata-kata kesat tu. Sebab saya tak mahu ada yang ambil gambar dan sebarkan kerana ia membabitkan Agong (Yang di-Pertuan).

“Bila sampai pemilik bangunan dah ada (di lokasi). Dia tak bagi cat sebab polis nak datang ambil bukti. Saya cuma pasang kanvas elakkan orang awam ambil gambar,” katanya.

Pada 10 Julai lalu, Yang di-Pertuan Agong berkenan mencemar duli melawat mural tersebut diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama anakanda baginda.

Dr Noor Hisham turut bergambar bersama mural potretnya dan menghargai hasil seni tempatan.

Categories
SELANGOR

Polis: Curi peti surat boleh dihukum penjara 7 tahun

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 19 MAC: Perbuatan mencuri peti surat sama seperti kesalahan jenayah lain di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, kata Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli.

“Mencuri peti surat memang menyusahkan masyarakat yang mungkin menyebabkan dokumen mereka tak selamat kerana penutup peti surat dicuri.

“Biasanya, peti surat yang diperbuat daripada besi dicuri untuk dijual di pusat jualan besi buruk. Ia adalah kesalahan mencuri di luar premis dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tujuh tahun,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

peti-surat-rosakYahaya berkata, isu kecurian peti surat boleh dikurangkan dengan mewujudkan kerjasama penduduk setempat yang peka dengan tindakan mencurigakan orang yang tidak dikenali.

“Biasanya kalau di kondominium atau pangsapuri berpagar ada pengawal keselamatan. Penduduk dan persatuan boleh bekerjasama dengan pengawal keselamatan.

“Begitu juga dengan pangsapuri terbuka. Sikap prihatin mampu membendung kecurian bukan sahaja peti surat tetapi harta benda lain dan polis pula pantau pusat jualan besi buruk,” katanya.

Bagaimanapun, Yahaya meberitahu, sehingga kini polis Subang Jaya tidak menerima sebarang aduan khusus berkenaan kehilangan peti surat.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Penduduk harus prihatin tangani vandalisme peti surat

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 19 MAC: Masyarakat tidak boleh memandang ringan perbuatan merosak dan mencuri peti surat milik persendirian atau Pos Malaysia yang banyak berlaku di kawasan pangsapuri.

Hal itu kerana perbuatan tidak bertanggungjawab terbabit mengakibatkan pemilik peti surat kehilangan dokumen penting, sekali gus menyebabkan kerugian kepada pihak terlibat.

faizul jmbPengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Saujana, Faizul Najib Abd Munaim berkata, antara punca kejadian kehilangan peti surat termasuk dicuri untuk dijual di pusat jualan kitar semula dan barangan lusuh.

“Biasanya peti surat diperbuat daripada besi aluminium yang mempunyai harga agak baik dalam pasaran barangan lusuh.

“Ini menyebabkan timbul pihak tak bertanggungjawab mencuri penutup peti surat untuk dijual bagi mendapatkan duit.

“Penduduk kena ada sifat bertanggungjawab dan prihatin sama ada barang itu milik kita atau milik bersama kerana semua orang terkena tempiasnya,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

peti surat rosakNaib Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Rumah Pangsa Kos Rendah PJS 7, Abd Rahman Punar pula berkata, pihaknya terpaksa menggunakan peruntukan RM7,500 yang diperoleh daripada Adun Subang Jaya bagi menggantikan 420 peti surat yang rosak di kediaman itu.

“Peti surat kami sebelum ini diperbuat daripada papan. Sebab terlalu uzur, kita tukar baru yang diperbuat daripada besi. Bila dah tukar yang baru, saya harap tak dicuri pula,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Vandalisme Di Kuala Langat Semakin Menular

KUALA LANGAT 24 MEI : Gambar pemimpin Pakatan Rakyat (PR) termasuk Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di sekitar Banting dan Morib sekali lagi diconteng oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Ini merupakan kejadian kali ketiga yang berlaku di kawasan itu dalam masa dua bulan.

Pemangku Yang Di Pertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Muhammad Hafiz Shaari berkata sebelum ini dua kali papan iklan diconteng dan disimbah cat.

“Tidak sampai sebulan MDKL menggantikan beberapa papan iklan yang disimbah cat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, kali ini ianya diconteng pula,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata perilaku vandalisme itu merugikan harta benda awam serta mencacatkan persekitaran.

Hafiz yang kesal dengan perbuatan vandalisme yang dilakukan kerana pihaknya terpaksa menukar papan iklan itu dalam tempoh tidak sampai sebulan.

Bagaimanapun MDKL sudah merancang menggantikan papan tanda berkenaan kepada papan tanda lain selewat-lewatnya minggu depan.

?Kami perlu menggantikan papan iklan sedia ada kepada papan iklan ?Visit Kuala Langat? minggu depan tetapi tidak sangka semalam kejadian yang sama berulang semula.

?Masyarakat perlu tahu papan iklan yang diganti semula memerlukan perbelanjaan yang besar, jadi kerjasama daripada semua pihak untuk menjaga harta awam perlu digiatkan,? katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid yang kecewa dengan tindakan berulang kali itu menggesa pihak yang bertanggungjawab agar datang bersemuka jika tidak berpuas hati dengan pentadbiran Pakatan.

?Lebih menyedihkan bulan ini merupakan bulan melawat Kuala Langat dan kejadian ini memberi kesan kepada tanggapan pengunjung terhadap daerah ini,? katanya.

Abdullah Sani berkata, baginya tindakan memangkah gambar pemimpin PR merupakan tindakan sabotaj selain menakutkan orang ramai untuk memilih PR dalam pilihan raya akan datang.