Categories
SELANGOR

Peniaga tekad terus niaga sara keluarga walau lesen dibatal MPS

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KEPONG, 2 MAC: Peniaga Pasar Awam Taman Ehsan terkejut apabila Majlis Perbandaran Selayang (MPS) membatalkan lesen perniagaan mereka walaupun tidak dibincangkan dalam mesyuarat sebelum ini.

Pembatalan lesen pada Khamis lalu itu dibuat berikutan MPS bercadang merobohkan pasar awam itu bagi memberi laluan projek rumah kedai di tapak pasar terbabit.

20150301_110358Ahli Jawatankuasa Bertindak Pasar Taman Ehsan, Latfi Amir, berkata sehingga kini MPS juga tidak memaklumkan sama ada mereka diberikan tempat perniagaan sementara pasar baru siap dibina nanti.

“Pengawai MPS datang, tanpa alasan munasabah batalkan lesen kami serta-merta dan mereka cuma kata perobohan dijalankan pada April nanti. Tidakkah ini tergesa-gesa?

“Sekarang walaupun lesen dibatalkan, kami kena berniaga juga walaupun berisiko kena kompaun sebab kalau tak, mana nak ada pendapatan sedangkan kami ada keluarga dan tanggungan lain seperti rumah dan lain-lain yang perlu dijelaskan.

“Kalau pasar ini dirobohkan April nanti, saya yakin pasar baru yang nak dibina belum siap lagi kerana sekarang pun cuma tinggal masa sebulan sahaja lagi tetapi hingga hari ini lokasi sesuai pun belum diputuskan,” kata Latfi yang mula berniaga sejak pasar itu mula beroperasi pada 2000 lagi.

Tambah Latfi, lesen yang dibatalkan MPS baru sahaja diperbaharui pada Disember 2014 bagi 2015.

“Kami bayar lesen untuk setahun dan 2015 baru masuk Mac, masih panjang tapi dah batal. Siapa nak tanggung? Adakah masuk tempat baru nanti kena mohon lesen baru dan bayar lagi?” kata Latfi lagi.

20150301_112049Peniaga ikan, Fuzi Manaf, turut melahirkan kebimbangan kehilangan pendapatan sepanjang tempoh projek pasar baru disiapkan nanti.

“Adakah pemaju projek rumah kedai ini mahu membayar pampasan kepada kami,” kata Fuzi yang memulakan perniagaan sejak lebih lima tahun lalu.

Yasmin Mohd Kassim yang menjalankan perniagaan kedai makan di Pasar Taman Ehsan sejak 13 tahun lalu turut mempersoalkan tindakan MPS.

“Adakah sudah tidak ada kawasan lain lagi untuk dibangunkan projek sedangkan pasar ini mempunyai kepentingan awam kepada peniaga dan masyarakat di sini.

“Apa pun kami dah ada peguam yang secara sukarela bantu kami untuk hadapi isu ini,” kata Yasmin.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.