Categories
SELANGOR

11,000 wanita disasar dapat manfaat program MURNI

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 APRIL: Seramai 11,000 wanita disasarkan setiap tahun dapat manfaat dari perkhidmatan pemeriksaan kanser payudara secara percuma melalui program ‘Mobile Unit Reaching Nationwide with Information’ (Murni) setiap tahun.

Exco Kesihatan, Dr Daroyah Alwi (PKR-Sementa) berkata Kerajaan Negeri juga akan bekerjasama dengan Pusat Wanita Berdaya (PWB) bagi mobilisasi jentera supaya golongan wanita mendapat perkhidmatan terbabit.

DNS-2015-small“Kita mahu program ini diperluaskan di Selangor secara menyeluruh. Kita mahu bekerjasama dengan PWB dan Dun seluruh negeri bagi memperkembangkan program ini.

“Seramai 11,000 wanita disasarkan setiap tahun untuk menerima manfaat Mammogram ini dengan peruntukan sebanyak RM1 juta setiap tahun. Rantaian Mesra Sdn. Bhd. (RMSB) adalah wakil kepada Kerajaan Negeri sebagai pengendali program Mammogram ini,” katanya yang menjawab soalan Rodziah Ismail (PKR-Batu Tiga).

Untuk rekod, sepanjang September 2014 hingga Mac 2015 seramai 495 orang wanita telah menerima manfaat dalam program Mammogram.

Daroyah memaklumkan pelaksanaan Mammogram masih diteruskan malah tindakan penambahbaikan program telah diambil dan dilaksanakan secara berterusan sehingga kini.

Katanya, penambahbaikan ini adalah dari segi penambahan jumlah pengendali operasi Mammogram bagi memudahkan ramai lagi wanita di Negeri Selangor menikmati manfaat yang diberi.

“Untuk makluman sejak program ini dilancarkan sehingga Mac 2015 seramai 19,040 orang peserta telah mendapat manfaat daripada program tersebut,” katanya.

Van MURNI merupakan sebuah trak yang  diubah suai dengan dilengkapi peralatan klinikal bagi menjalankan kempen pencegahan kanser payudara.

Van MURNI akan bergerak dari satu tempat ke satu tempat bagi membantu wanita di kawasan tersebut untuk menjalani ujian pengesanan awal kanser payudara secara klinikal dan mendapatkan informasi lebih lanjut berkenaan barah payudara.

Program itu telah dimulakan pada 4 Februari 2015 bersempena dengan hari kanser sedunia bermula di Bangunan SUK Shah Alam, DUN Bukit Gasing, DUN Damansara Utama, DUN Subang Jaya, DUN Seri Setia dan yang terkini, terlibat secara langsung dalam Program Malaysia Women Marathon 2015 pada 8 Mac 2015.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.