Categories
SENI

CERPEN: Aku dan si pengemis

Oleh Fadli Zainal Abidin

13/10/2014, 6.40 P.M
Aku bertanya pada Si Pengemis, “Mengapa kau masih mengemis sedangkan kau sudah berada dalam senarai nama penerima BR1M?”

Jawab Si Pengemis, “Semalam kau sudah bersedekah?”

Aku terdiam lalu menyeluk kocek seluar yang tidak ada apa-apa melainkan habuk kain.

14/10/2014, 4.40 P.M.

Si Pengemis bertanya kepada aku, “Kau tahu duit kau ada itu berkat atau tidak?”

Aku menjawab tidak pasti, lalu aku bertanya semula kepada dia sama ada duit hasil mengemis dia itu berkat atau tidak.

Jawab Si Pengemis, “Jika duit si pemberi sedekah itu berkat, maka duit yang aku terima ini pun berkat cuma cara aku meminta-minta ini tidak pasti berkat atau tidak. Ah, kita bukan Tuhan menilai berkat atau tidak!”

Aku terdiam.

20/10/2014, 4.17 P.M

Si Pengemis bertanya kepada aku, “Kau tahu antara aku dan politikus siapa lagi jujur?”

Aku geleng kepala tanda tidak tahu.

Jawab Si Pengemis, “Aku mengemis di jalanan, meminta simpati pada orang ramai agar diberikan sedikit wang, banyak lagi bagus dan orang ramai tahu aku ini pengemis. Tapi si politikus dia meminta simpati pada orang ramai agar dia boleh jadi Menteri, janjikan itu ini, bahkan sanggup halalkan yang haram, diamkan yang halal demi capai cita-cita.

Depan orang ramai dia menjerit-jerit soal hak asasi dan bantu orang miskin. Tapi kau tahu sejauh mana jujur dan ikhlasnya dia? Jangan tanya aku, kau pergi solat dulu, dah masuk Asar.”

Aku kekeliruan. Ini hujah seorang pengemis atau lepasan graduan yang gagal mendapat dana pembiayaan perniagaan daripada Adun kawasannya? Aku tercengang sendiri.

30/12/2014, 6.15 P.M

“Esok tahun baharu, apa azam terbaru?” Aku bertanya pada Si Pengemis.

Jawab Si Pengemis, “Azam yang lama diperbaharui macam kereta MYVI baru.”

Aku letakkan duit seringgit dalam bekas wang dia namun dia menyerahkan semula padaku dan berkata, “Simpan seringgit tu untuk esok, cukupkan sepuluh ringgit kemudian sedekah pada aku semula”.

Demand!

7/1/2015, 5.25 P.M

“Apa pendapat kau tentang Anwar Ibrahim?” Soalan politik yang spontan keluar dari mulut aku.

Si Pengemis terdiam seketika. Kemudian dia buka roti krim perisa jagung Gardenia, lalu dia makan dengan selamba tidak pelawa.

Selesai makan dia minum air kemudian dia menjawab pertanyaan aku.

“Kalau aku di tempat dia, pada usia begitu mesti aku sudah duduk di rumah, menonton sinetron yang mengarut dan membaca surat khabar yang penuh iklan. Tapi dia bukan aku. Aku harap dia tak jadi macam aku”

Sebenarnya aku tak faham apa yang si pengemis katakan. Tapi aku angguk kepala dan senyum sebelum beredar dari situ.

1/2/2015, 5.30 P.M

Hari ini aku tak nampak kelibat dia. Mungkin sudah pulang ke kampung. Mungkin. Mengejutkan! Aku terserempak dengan dia dalam LRT! Dia senyum dan datang kepada aku.

“Kau pun tahu naik LRT?”

Dia senyum, kemudian berkata, “Kemajuan untuk semua rakyat, miskin atau kaya, bekerja atau menganggur.”

Bijak!

16/2/2015, 6.05 P.M

“Tahun ini Raya Cina, Tahun Kambing, kau suka makan kambing?”
Si Pengemis menjawab, “Apa kaitan Tahun Kambing dengan makan kambing? Limau mandarin tak ada?”

Aku hulurkan tiga bji limau Pokam dan dia menerima dengan gembira. Bagaimana aku tahu dia gembira? Dia senyum dan terus beredar dari situ sambil bersiul-siul lagu UTC..

2/3/2015, 5.55 P.M.

Hari ini aku berikan dia sedekah lebih banyak dari sebelum ini. Kemudian aku beritahu, “Bulan depan dah mula GST, semua barang kena GST, makanan kucing pun kena GST, top up pun kena GST!”

Dia memandang aku, kemudian tunjukkan isyarat bagus. Aku tanya bagus kenapa? Dan dia jawab,“Terimalah, hadiah kau undi dia masa pilihan raya lepas, Barang Naik! Barang Naik! Gula naik! Janji Manis membawa kepada kencing manis!” Dia ketawa berdekah-dekah. Orang ramai yang lalu lalang di situ memerhati dengan pandangan bercampur baur.

1/4/2015, 6.15 P.M

“Hari pertama GST! Dulu di Instagram sebelum makan, orang tangkap gambar makanan, sekarang semua tangkap gambar resit!” Aku tunjukkan dia gambar yang dipost di Instagram oleh seorang pengikut tegar sebuah parti politik de-ngan kapsyen. “Ahmad Maslan cakap harga barang tak naik, ini apa? Menyesal aku pangkah dia kat Pontian!”

Kami ketawa bersama-sama. Kemudian aku bertanya pada dia, “Apa kau faham pasal GST?”

Dia menjawab, “Cukai… kini semua orang boleh bayar cukai!” Aku anggukkan kepala tanda faham. Kemudian dia sambung lagi,  “Kau tahu kat mana yang bila kau bagi duit, dia tak kenakan GST?” Aku gelengkan kepala, tanda tak tahu.

Dia jawab, “Sedekahkan pada aku! GST tak ada, pahala dapat, hati tenang! Cepat tweet apa aku cakap ni, tengok berapa retweet kau dapat.”

Aku tersenyum. Ini bukan pengemis biasa, kata aku dalam hati.

Leave a Reply

Your email address will not be published.