Categories
SELANGOR

Cukup 4 kali, jangan tangguh lagi buka Hospital Shah Alam

Oleh : NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 23 APR: Operasi Hospital Shah Alam yang dijangka bermula sepenuhnya menjelang 2016 disambut baik kerana membolehkan penduduk Lembah Klang menikmati kemudahan kesihatan lebih baik.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad, berharap projek itu berjaya disiapkan dan beroperasi pada waktu ditetapkan serta tidak tertangguh seperti sebelum ini.

“Kementerian menyebut hospital itu siap sepenuhnya, pada 1 Januari 2016. Saya sedikit khuatir dan kurang yakin walaupun itu yang diharapkan sejak sekian lama.

hospital shah alam sketch“Lihat sahaja rekod sebelum ini, tarikh jangka siap ditukar lebih empat kali atas ketidakcekapan kontraktor. Tidak mustahil perkara sama berulang.

“Perkara ini amat mengecewakan kerana menyebabkan kezaliman terhadap warga Shah Alam dan Klang.

“Mereka terpaksa bersesak di Hospital Tengku Ampuan Rahimah yang tidak mampu lagi menampung kebanjiran pesakit,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri S Subramaniam yang memberi jaminan Hospital Shah Alam siap sepenuhnya menjelang 2016 berikutan status projek yang kini 99 peratus.

Projek pembinaan Hospital Shah Alam bermula November 2007 dengan kos asal RM482.6 juta yang sepatutnya siap Jun 2011.

Bagaimanapun,ia tergendala atas kegagalan kontraktor pertama dan terpaksa dihentikan bagi mendapatkan kontraktor baharu.

khalid samadUntuk rekod, kos projek meningkat RM565 juta ekoran banyak perubahan berlaku dalam proses menyiapkan baki pembinaan.

“Ini adalah kegagalan Barisan Nasional memenuhi tanggungjawab kepada rakyat Selangor. Pengurusan dan pentadbiran kewangan yang tidak cekap kerana projek ini diberikan kepada syarikat tidak layak, tidak berpengalaman serta diberikan secara rundingan terus.

“Apabila projek ini bermasalah, Kerajaan Persekutuan sekali lagi gagal tangani dengan cekap sehingga kerja di tapak tergendala hampir dua tahun,” katanya.

Khalid juga berharap insiden kerosakan struktur bangunan di beberapa hospital kerajaan sebelum ini tidak berulang dan iktibar perlu diambil dari kes terbabit

“Saya sudah menghantar surat rasmi kepada Menteri Kesihatan untuk membuat lawatan tapak ke Hospital Shah Alam, pada Mac lalu. Namun, sehingga kini masih tiada respon dari beliau.

“Saya harap, peristiwa syiling runtuh dan dinding retak tidak berlaku,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.